Sempena
bulan Ramadhan al-mubarak yang bakal tiba, elok rasanya, kita
menambahkan ilmu tentang ibadah puasa. Semoga artikel ini memberi
menafaat kepada pembaca dan mudah-mudahan, ibadah kita akan diterima
Allah.. Di bawah ini ada 50 persoalan yang sering kali menjadi
kemusykilan mengenai ibadat puasa.
1. Bolehkah seseorang itu berniat puasa selama sebulan kerana takut terlupa?
Pada hari pertama, boleh berniat puasa sebulan, boleh juga berniat
setiap malam untuk menguatkan azam, untuk menempuh cabaran berpuasa.
2. Adakah boleh tidak bersahur disebabkan malas untuk bangun bersahur?
Yang membezakan puasa kita dengan puasa bangsa Yahudi ialan makan sahur.
Seeloknya bangun sejam sebelum masuk waktu imsak. Lagi lewat kita
bersahur lebih berkat.
3. Benarkah berdosa wanita yang tidak berpuasa kerana haid, makan diwaktu siang kerana tidak menghormati bulan Ramadan?
Tidak berdosa dan boleh makan pada waktu siang selagi wanita tersebut tidak makan dikhalayak ramai.
4. Apakah hukumnya seorang suami menjimak isterinya pada siang hari dalam bulan Ramadan dan apakah hukumnya?
Hukum bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadan haram dan di kenakan
kaffarah (Kaffarah hanya dikenakan kepada lelaki sahaja) seperti
berikut:-
- Memerdeka seorang hamba(sudah tiada)
- Berpuasa 2 bulan berturut-turut jika sudah dicuba beberapa kali namun tidak mampu disegi syarak hendaklah,
- Menberi 60 orang miskin makan setiap seorang satu cupak makan asasi.
- Wajib qadha puasa yang terbatal kerana bersetubuh tersebut.
5. Bolehkah seorang wanita mengandung dan menyusukan anaknya tidak berpuasa kerana tidak berupaya?
Menurut pendapat ulama mazhab Syafei bahawa wanita hamil dan menyusui
apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah
berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqadha puasanya
kelak.
6. Adakah batal puasa bagi wanita yang bersolek di bulan Ramadan?
Tidak batal, asalkan gincu bibir yang dipakainya sederhana dan tidak
mempunyai perasa ditakuti ketika menjilatnya lalu menelannya di anggap
batal.
7. Adakah sah puasa sekiranya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?
Sah puasa memberus gigi selepas azan subuh berkumandang. Perbuatan
tersebut tidak membatalkan puasa. Hukumnya sunat dia menggosok gigi
sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari(selepas
masuk waktu zohor)
8. Adakah terbatal puasa jika bermimpi jimak dan keluar air mani?
Bermimpi berjimak dan keluar air mani dalam berpuasa tidak membatalkan
puasa kerana bermimpi adalah bukan perkara yang disengajakan.
9. Adakah muntah tidak membatalkan puasa?
Melakukan dengan sengaja membatalkan puasa. Sekiranya muntah tanpa
kerelaannya sendiri dan tidak dapat menahannya, maka tidaklah batal
puasa.
10. Benarkah tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan itu dikira sebagai ibadah? Jika benar tidur yang bagaimana?
Tidur di siang hari pada bulan Ramadan itu ibadah dan dapat pahala.
Tidur yang dimaksudkan itu ialah tidur kerana keletihan berpuasa. Ini
bererti semua pancainderanya tidak melakukan sebarang kegitan yang
dilarang oleh syarak.
11. Adakah batal puasa sekiranya terlalu lama mandi dan berkumur?
Mandi berlebihan batal puasa, tetapi memasukkan sedikit air kerana
berkumur tidak batal puasanya, kecuali berkumur terlalu dalam secara
berlebihan.
12. Adakah batal puasa sekiranya melakukan aktiviti renang?
Melakukan aktiviti renang dengan niat untuk menyejukkan badan adalah
makruh. Tetapi apabila air tersebut masuk ke dalam rongga yang terbuka
seperti hidung, telinga dan sebagainya, maka hukum puasanya adalah
terbatal dengan sebab melakukan aktiviti renang dengan sengaja.
13. Adakah sah puasa bagi seseorang yang pitam?
Sah puasanya, kecuali pitam yang berpanjangan dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
14. Apakah hukum cabut gigi, berbekam dan semasa berpuasa?
Hukumnya makruh.
15. Adakah melakukan pengubatan, misalnya suntikan ke tubuh badan dibolehkan?
Jika suntikan itu terpaksa dilakukan maka ia termasuk dalam darurat dan tidak membatalkan puasa.
16. Jika seseorang menunaikan puasa Ramadan tiba-tiba dia tidak dapat
menahan rasa haus kerana cuaca teramat panas, bolehkan meminum sedikit
air sekadar untuk membasahkan tekaknya?
Sekiranya orang yang berpuasa meminum air walaupun setitik atau seteguk,
batal puasanya dan wajib baginya mengqadha puasanya itu.
17. Bilakah waktu yang sesuai untuk mandi wajib selepas bersama dengan suami pada malam hari pada bulan Ramadan?
Melambat-lambatkan mandi wajib adalah makruh. Sekiranya seseorang lelaki
atau perempuan berjunub pada malam hari dalam bulan Ramadan dan tidak
sempat mengangkat hadas besar sehingga terbit fajar (masuk waktu subuh),
maka puasa kedua-dua mereka sah dengan syarat mereka berniat pada malam
hari. Sama juga keadaan ini bagi mereka yang bermimpi pada malam hari
sehingga keluar air mani.
18. Adakah sah puasa seseorang, ketika sedang bersahur terdengar azan subuh berkumandang?
Sah puasanya, dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus membuang sisa makanan yang berada di dalam mulutnya.
19. Saya berpuasa di Mekah lebih awal satu hari dari mereka berpuasa di
Malaysia. Apabila saya balik, puasa saya sudah cukup 30 hari dan orang
Malaysia masih berpuasa lagi. Adakah boleh saya berbuka dan berhari
raya?
Mengikut khaul yang lebih betul tidak boleh berbuka dan berhari raya,
hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk
Malaysia.
jangan tak puasa taw,,,
20. Apabila kita berpuasa dibulan ramadhan, dan melakukan onani, apakah
kita perlu membayar fidyah/puasa berturut-turut seperti org yang
melakukan persetubuhan. atau puasa tadi hanya perlu diganti satu hari
sahaja.
Puasa wajib digantikan semula dengan berpuasa sebanyak mana hari yang ditinggalkan tersebut sahaja.
21. Batalkah puasa jika menggunakan ubat utk mata seperti EYE More semasa berpuasa?
Pesakit mata yang menggunakan ubat untuk mata seperti eye more dengan
cara menitikkannya ke dalam mata semasa berpuasa, tidak batal puasa
kerana ia bukan termasuk kategori anggota yang berongga.
22. Ada satu hadis mengenai jika kita berpuasa tanpa makan sahur adalah
puasa kita menyerupai puasa orang yahudi, jadi adakah amalan puasa itu
sia-sia dan tidak diterima Allah swt.
Bersahur adalah sunat dan merupakan sunnah nabi s.a.w. Jika kita tidak
bersahur kita tidak dapat pahala sahur. Puasa yang dikerjakan tanpa
bersahur akan diberi ganjaran oleh Allah juga.
23. Adakah sah bila kita niat puasa ganti wajib dengan niat bahasa melayu sahaja?
Sah puasa dengan hanya niat dalam bahasa Melayu sahaja.
24. Apakah perbezaan puasa antara kanak-kanak dan orang dewasa?
Kanak-kanak yang berpuasa akan diberikan ganjaran pahala manakala puasa
bagi orang dewasa adalah satu kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah SWT
25. Saya mempunyai penyakit ‘asma’ dan terpaksa menggunakan ‘inhaler’
untuk membantu pernafasan ketika diserang asma. Jika saya sedang
berpuasa, adakah puasa saya sah?
Pesakit asma yang menggunakan inhaler untuk membantu pernafasan ketika
diserang asma semasa sedang berpuasa adalah tidak terbatal puasanya.
Mengikut pandangan ulama’ zaman ini, inhaler tidak membatalkan puasa
lebih-lebih lagi mereka yang menghidapi athma kronik yang memerlukannya
setiap saat dan ketika. Keharusan itu bukan bermaksud wajib atau sunat
tetapi sebagai rukhsah (kelonggaran) atas keperluan dan dharurat
seseorang pesakit yang membolehkan pesakit athma terus berpuasa tanpa
berbuka dan menyukarkannya untuk melakukan puasa berterusan di dalam
bulan Ramadhan.Walau bagaimanapun seseorang yang jarang diserang athma
dan tidakbergantung dengan inhaler, tiba-tiba athma menyerang ketika
berpuasa, mereka juga diberi rukhsah (kelonggaran) dengan alasan sakit
untuk berbuka dengan tujuan makan ubat dan sebagainya dan
menggantikannya (qadha’) di hari yang lain pula.
26. Seseorang yang berpuasa, kentut atau qada hajat didalam air, Adakah batal puasanya?.
Seseorang yang berpuasa, kentut atau qadha’ hajat di dalam air puasa
tidak batal sekiranya dia meyakini bahawa air tidak memasuki dubur dan
qubulnya.
27. Saya di beritahu oleh seorang rakan yang waktu imsak hanya lah
sebagai “amaran” yang waktu subuh akan tiba. Dia juga mengatakan yang
kita masih boleh makan atau minum sebelum azan subuh bermula walaupun
melewati waktu imsak. Dia juga memberitahu bahawa ada hadis yang
menyatakan tentang perkara ini.
Waktu puasa yang sebenarnya ialah waktu naik fajar subuh hingga terbenam
matahari atau hingga masuknya waktu maghrib. Harus bagi seseorang
bersahur pada waktu imsak, tetapi sebaik-baiknya mengambil sikap ihtiyat
(cermat) dengan menahan daripada makan dan minum beberapa waktu yang
lebih awal untuk mengelakkan melampaui batas-batas yang diharuskan dan
meragukan.
28. Suami saya langsung tidak mengerjakan solat wajib lima waktu apatah
lagi solat sunat. Jauh sekali solat Jumaat. Apakah puasanya diterima?
Puasa adalah puasa, solat adalah solat kedua-duanya wajib disempurnakan
secara bersama. Malahan semua Rukun Islam yang terdiri daripada
sembahyang, puasa, zakat dan haji dikehendaki ditunaikan semuanya dengan
sempurna.Sesiapa meninggalkan salah satunya tanpa uzur ia dianggap
meninggalkan Rukun Islam.
Berpandukan pendapat ini orang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat
tanpa uzur yang munasabah dianggap lemah iman dan dibimbangi
keimanannya. Jika ia berpuasa lengkap syarat dan rukunnya puasanya tetap
sah sakalipun berdegil dengan solat terpulanglah kepada Allah SWT untuk
mempertimbangkannya.
29. Benarkah pap smear tidak membatalkan puasa?
Batal puasa apabila memasukan sesuatu dalam rongga terbuka seperti kemaluan depan dan belakang.
30. Saya selalu selsema, selain menghembus saya juga tarik ke dalam, batalkah puasa saya?
Hingus yang keluar dari rongga hidung apabila disedut semula ke dalam hidung batal puasanya
31. Adakah boleh ambil darah semasa berpuasa?
Boleh ambil darah semasa berpuasa dan tidak membatalkan puasa hukumnya adalah makruh.
32. Apakah rongga terbuka yang boleh menyebabkan terbatal puasa seseorang jika dimasukkan sesuatu?
Yang dimaksudkan dengan rongga terbuka ialah hidung, mulut, telinga dan
qubul dan dubur apabila dimasukkan sesuatu ke dalam rongga tesebut yang
menyebabkan terbatal puasa.
33. Ketika kedua-dua suami isteri sedang berpuasa di bulan ramadan,
suami menyuruh isteri memegang alat sulitnya tetapi tidaklah sehingga
mengeluarkan air mani. Apakah status puasa kedua-duanya? perlukah
membayar denda dsb?
Puasa bagi kedua-dua suami isteri sah dan tidak dikenakan apa-apa
bayaran denda. Tuan puan dinasihatkan supaya tidak melakukan perkara
tersebut di siang hari pada bulan puasa kerana ia boleh mengurangkan
pahala puasa.
34. Suami-isteri bercium pada hari berpuasa,adakah puasanya terbatal?
Suami isteri boleh bercium di pipi sahaja dan tidak batal puasa yang
kita kerjakan.Tetapi sekiranya memasukkan lidah ke dalam mulut batal
puasa yang dikerjakan.
35. Huraian berkenaan puasa dan rawatan pergigian (tampalan, cabutan, scaling dsb)?
Menampal, mencabut dan scaling gigi di siang hari Ramadhan adalah makruh
hukumnya, tetapi boleh membatalkan puasa sekiranya tertelan darah dan
bahan rawatan bersama air liur.
36. Sah atau tidak puasa seorang wanita yang tidak mandi hadas setelah habis haid pada malam sebelumnya?
Sah puasa bagi wanita yang telah kering haid pada malam hari tetapi belum mandi hadas sehingga siang hari Ramadhan.
37. Adakah batal jika kita mengorek hidung/telinga pada siang hari pada bulan ramadhan dengan sengaja?
Batal puasa yang dikerjakan bagi mereka yang megorek hidung atau telinga
hingga ke dalam rongga.Tetapi mengorek di tepi hingga tidak sampai ke
dalam rongga tidak membatalkan puasa.
38. Saya tak terbangun makan sahur dan niat puasa selepas waktu imsak adakah sah atau tidak ?
Sah puasa yang dikerjakan walaupun berniat selepas waktu imsak.
39. Apakah hukumnya makan pil perancang untuk melewatkan darah haid turun untuk meneruskan puasa di bulan puasa?
Dilarang kepada wanita memakan pil perancang dengan tujuan berkenaan
kerana ia akan memberi kemudharatan kepada kesihatan inspanidu tersebut.
40. Saya membuat rawatan Hemodialisis. Adakah batal puasa saya?
Puasa pesakit tidak batal walau pun dia menerima rawatan hemodialisis/cuci darah.
41. Saya ingin tahu, adakah batal puasa jika menelan kahak yang sedia ada didalam tekak?
Kahak yang terdapat di dalam tekak jika tertelan tidak batal tetapi
sekiranya kahak itu sudah berada di mulut sekiranya ditelan dengan
sengaja maka batal puasa tersebut dan wajib qadha’ puasa.
42. Batal kah puasa kita, jika kita memasukkan jari kedalam kemaluan
belakang kita dengan niat ingin membersihkan dubur kita setelah membuang
air besar?
Sekiranya perkara tersebut dilakukan semata-mata untuk membersihkan najis ia tidaklah membatalkan puasa.
43. Apa hukumnya bila seseorang itu memakai ‘tindik lidah’ dan ingin menjalani ibadah puasa. Adakah puasanya sah?
Islam adalah agama yang menitik beratkan akhlak dan budi pekerti. Meniru
cara hidup atau budaya orang bukan Islam, tidak digalakkan. Justeru
itu, panel menasihatkan supaya sesiapa yang memakai subang di lidah,
hendaklah dibuka semasa berpuasa.
44. Apakah hukum puasa bagi mereka yang tidur sampai ke petang atau masuk waktu zuhur?
Sah puasa tersebut tetapi dihukumkan makruh.
45. Bagaimana sekiranya sahabat saya dalam keadaan sakit. Atas nasihat
doktor, beliau tidak boleh berpuasa seumur hidupnya. Bagaimanakah beliau
hendak menggantikan puasanya. Cukupkah dengan sekadar fidyiah. Dan
berapakah sukatannya?
Cukup sekadar dia membayar fidyah untuk puasanya sehari bersamaan dengan
satu cupak beras(675gram). Jadi, untuk bulan ramadhan, dia dikehendaki
membayar 30 cupak beras
46. Adakah sepasang suami isteri dikira sebagai bersetubuh apabila
perhubungan tidak sampai ke tahap jimak iaitu zakar dimasukkan ke dalam
faraj ketika siang hari pada bulan puasa? Sebagai contoh, perhubungan
yang hanya melibatkan pelukan atau ciuman sesama suami isteri.
Perhubungan yang melibatkan pelukan dan ciuman sesama isteri diwaktu siang hari pada bulan ramadhan adalah makruh.
47. Saya bekerja di stesen minyak, pada bulan puasa in kami membuka
stesen mini mart stesen minyak kami dan menjual makanan kepada orang
islam yang tidak berpuasa. apakah hukum kepada perkara tersebut?.
Mengenai hukum membuka mini mart dan menjual makanan kepada orang islam
yang tidak berpuasa adalah haram hukumnya. Dihukumkan haram adalah
kerana orang Islam diharamkan mengambil/memakan sebarang makanan dan
minuman pada siang hari pada bulan ramadhan. Oleh yang demikian, menjual
makanan kepada mereka yang diharamkan makan juga turut dihukumkan
haram. Wallahu ‘alam.
48. Jika seseorang berpuasa tetapi masih berpegangan tangan, berpeluk walhal masih belum berkahwin adakah puasanya terbatal?
Perbuatan berpegangan tangan berpelukan antara lelaki dan wanita yang
belum berkahwin adalah berdosa. Perbuatan tersebut boleh membawa kepada
maksiat yang lebih besar iaitu zina. Jika mereka keluar mani hasil
daripada perbuatan tersebut (berpegangan tangan dan berpeluk), maka
puasa mereka batal dan mereka wajib menggantikan puasa yang batal itu.
49. Batalkah puasa iaitu, “Berniat berbuka atau membatalkan puasa
sebelum waktu”. Adakah seperti kita berniat puasa juga cuma bezanya ia
adalah untuk membatalkannya? Atau adakah dengan lintasan dalam hati
sahaja sudah cukup membuatkan puasa saya terbatal.?
Berniat untuk berbuka/membatalkan puasa tidak menyebabkan puasa
seseorang itu terbatal. Puasanya akan terbatal sekiranya dia mengambil
makanan ataupun melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.
50. Adakah dibolehkan melambatkan berbuka puasa?
Adalah baik sekiranya menyegerakan berbuka puasa dengan air manis dan sebiji kurma sebelum menunaikan solat Magrib.
_____________________________________
Sumber: JAKIM, Ustaz Cyber