Hutang isi rumah semakin tinggi: Salah siapa? Oleh Ibn Yusof
10 July 2013
HUTANG
hasil pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman
PTPTN dan pelbagai jenis hutang yang menjadi beban utama dalam
keseluruhan hutang isi rumah. Peningkatan hutang isu rumah yang
ditanggung rakyat kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan,
menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, hutang isi rumah
sudah mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) (2012: 80.5%, 2011: 76.6%, 2010: 75.8%). Ratio ini secara
relatifnya antara yang tertinggi, berbanding negara serantau. Manakala
purata pendapatan isi rumah terus lembab pada peningkaran sekitar 8%
saban tahun (2012: RM5,000).
Abaikan fakta nombor dan angka itu, dalam erti kata lain,
setiap isi rumah di Malaysia sekarang berhutang dan kebanyakannya
melebihi daripada apa yang sepatutnya dan terjerat dalam hutang yang
berpanjangan. Golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam negara ini
yang kini berada dalam nisbah hutang yang lebih tinggi sekali gus
meningkatkan bebanan keseluruhan isi rumah. Awal tahun ini, ketika
mengulas mengenai hutang isi rumah kepada KDNK, sesuatu yang lebih
mengejutkan apabila dinyatakan satu daripada lima rakyat Malaysia tidak
mempunyai simpanan (The Star, 27-02-2013).
Ya kita mengiktiraf usaha baik Bank Negara Malaysia (BNM)
yang mengambil pelbagai langkah awalan menyeluruh termasuk mengeluarkan
beberapa garis panduan untuk mengawal aliran peningkatan hutang isi
rumah. Contohnya, Garis Panduan mengenai Pembiayaan Bertanggungjawab
yang berperanan agar pihak institusi kewangan tidak sewenang-wenangnya
menawarkan pelbagai jenis produk pembiayaan yang sedap didengar hanya
untuk melariskan produk mereka, dan juga Garis Panduan Kad Kredit untuk
menggalakkan pemegang kad kredit mengamalkan amalan pengurusan kewangan
berhemat, dan pelbagai rancangan lain BNM bagi memberi kesedaran awam
dan celik kewangan.
Namun
ironinya, saban tahun laporan ekonomi sentiasa mencatatkan ‘ayat-ayat
positif’ daripada pihak bertangungjawab seperti, “masih belum sampai ke
tahap kritikal”, “pencegahan telah dilakukan sebelum bertambah parah”,
“masih dalam pemantauan”, “akan mengarahkan institusi kewangan bersikap
proaktif”, “kita sudah memperkenalkan program pendidikan kewangan”,
“bahagian pemberian pinjaman isi rumah daripada jumlah pemberian
pinjaman bank kekal stabil” dan lain-lain kenyataan.
Walhal, kita membicarakan tentang peminjaman isi rumah yang
semakin meningkat sejak sepuluh tahun lalu, dan ayat positif sedemikian
tidak langsung cocok dengan tahap keberhutangan isi rumah yang semakin
meningkat saban tahun, ditambah pula harga rumah yang meningkat dan
pertumbuhan kredit yang pesat.
Peningkatan harga rumah dan keberhutangan isi rumah boleh
mengundang risiko kepada sektor kewangan. Kita dapat lihat pertumbuhan
pantas dalam pinjaman perumahan yang meningkat pantas berbanding sewaan
dan pendapatan dalam dua tahun kebelakangan ini. Menurut laporan BNM,
ketika ini sektor perbankan terdedah kepada hutang isi rumah sebanyak
55%.
Walaupun institusi perbankan menjadi penyumbang utama
kredit, wujud juga kebimbangan berkenaan kenaikan keberhutangan isi
rumah membabitkan institusi kewangan bukan bank (IKBB). Justeru selain
usaha yang dilakukan penyelia kepada institusi kewangan untuk mengekang
peningkatan paras hutang yang ditawarkan institusi kewangan, kewujudan
institusi lain seperti syarikat wang berlesen, koperasi dan IKBB seperti
Malaysia Building Society Berhad (MBSB) atau AEON Credit Service (M)
Bhd yang menawarkan pinjaman atau pembiayaan dengan tawaran yang
menarik, namun institusi ini tidak berada di bawah pengawalan dan
penyeliaan BNM.
Pengalaman daripada negara lain telah membuktikan bahawa
antara punca utama krisis kewangan ialah apabila runtuhnya aktiviti
perbankan. Para pelanggan akan mencari-cari pinjaman kredit yang lebih
mudah daripada IKBB apabila perbankan sedia ada mula mengetatkan polisi
untuk permohonan kredit.
Merujuk
pada 2012 sahaja, peningkatan 30% dalam pinjaman peribadi sahaja
diterajui IKBB yang mana 80% daripada pinjaman peribadi IKBB itu diberi
kepada kakitangan kerajaan yang mempunyai akses kepada Kod Angkasa (The
Edge, Financial Daily, 25-03-2013). Tambahan pula, Laporan Kestabilan
Kewangan dan Sistem Pembayaran 2012 oleh BNM menyatakan bahawa IKBB
serta institusi pembangunan kewangan (DFI), terbabit dalam 57% kemudahan
pinjaman peribadi kepada isi rumah.
Kelebihan sesetengah IKBB menerima Kod Angkasa iaitu
kebenaran untuk mengeluarkan pembiayaan peribadi kepada kakitangan
kerajaan, antara punca mengapa perkhidmatan pinjaman peribadi menjadi
lebih mudah. Dan dalam persekitaran yang kompetitif, apabila wujud
syarikat kewangan yang merendahkan kadar faedah, ini sedikit sebanyak
mempengaruhi institusi kewangan lain untuk turut berlumba-lumba
merendahkan kadar faedah demi memperoleh pelanggan dan mencatat
keuntungan.
Maka kita boleh lihat bagaimana pinjaman peribadi menjadi
lebih mudah dan menjadi produk dan perkhidmatan yang mampu menjadi
antara penyumbang utama kepada perolehan syarikat dan institusi kewangan
tanpa mengambil kira fakta tahap keberhutangan isi rumah yang semakin
meningkat.
Selain itu, peningkatan hutang isi rumah untuk sektor
berpendapatan rendah ini dikatakan lebih menjurus kepada mereka yang
berada di kawasan bandar, sektor berpendapatan rendah yang terpaksa
menanggung hutang melebihi paras yang dianggap berhemat. Dan ini
bertentangan dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni
Hanadzlah, bahawa peningkatan hutang isi rumah tidak kritikal, antara
alasan yang diberikan adalah kerana hutang itu mempunyai aset pendasar
apabila merujuk kepada pinjaman dan pembiayaan harta tanah (The
Star-StarBiz, 04-07-13).
Namun fakta yang dipersembahkan di atas menunjukkan antara
punca peningkatan keberhutangan isi rumah lebih menjurus kepada
peningkatan ketara dalam pinjaman atau pembiayaan peribadi syarikat
kewangan seperti IKBB.
Justeru, cadangan atau solusi praktikal diperlukan untuk
perhatian pihak bertanggungjawab. Peningkatan keberhutangan isi rumah
sedikit sebanyak disebabkan oleh promosi terhadap kemudahan memperoleh
pinjaman peribadi dengan pakej yang pelbagai sebagai tarikan utama
seperti kadar faedah yang rendah serta tempoh pinjaman yang lebih lama.
Oleh
itu, diharap pengenalan enakmen baru melalui Akta Perkhidmatan Kewangan
2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dapat memastikan IKBB
melaksanakan pembiayaan secara bertanggungjawab, sama seperti yang
ditekankan BNM kepada semua institusi kewangan di bawah seliaan BNM.
Peluasan skop pengawasan oleh BNM merangkumi penyeliaan kumpulan
kewangan dan IKBB yang menjalankan aktiviti pengantaraan kewangan adalah
jalan mudah mengawal aktiviti kumpulan kewangan dan IKBB, agar tidak
menjadi potensi risiko kepada kestabilan kewangan negara.
Namun, selagi mana sistem kewangan sedia ada lebih banyak mendorong
pasaran untuk terus bergantung hidup secara kredit atau hutang (secara
berlebihan), selagi itu juga kita akan mendengar ahli ekonomi berhujah
hal sebegini akan membawa kepada krisis kredit yang berupaya merendahkan
kuasa beli pengguna, sekaligus mengurangkan aliran tunai dan
melembapkan ekonomi domestik.Manakala ahli sosiologi pula menyuarakan kebimbangan dengan kewujudan krisis kredit yang boleh menyebabkan tekanan, depressi, masalah mental, bunuh diri dan pergaduhan serta perpisahan antara hubungan kekeluargaan. Dan pemerhatian makro perlu dibuat sebelum pergi pada kesimpulan mudah, bahawa kegagalan isi rumah dalam mengurus kewangan berhemat sebagai punca utama mereka terjebak dalam hutang yang berlebihan.-Roketkini.com