Betul ke Umno penyelamat manusia dunia dan akhirat? - Aspan Alias

December 15, 2013

Isu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan Syiah yang dihebohkan sekarang ini tidak ada kena-mengena dengan akidah atau perjuangan Islam. Itu hanya permainan politik pimpinan Umno yang kini semakin terhakis daripada pandangan rakyat. Pemimpin yang mengeluarkan isu Syiah sejak perhimpunan agung yang lalu sehingga sekarang ini tidak pun mengamalkan cara dan kehendak Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.
Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Umno itu telah dan masih melanggar pantang larang sebagai ASWJ itu. Ketandusan idea politik mereka menyebabkan ada pihak yang mahu di kalangan kita orang Islam ini bergaduh, kerana sejak beberapa ketika dahulu Umno itu ‘survive’ di atas perpecahan orang Melayu yang rata-rata beragama Islam itu.

Malahan Umno yang didaftarkan pada Februari 1988 dahulu diasaskan oleh perpecahan orang Melayu khususnya ahli Umno. Umno tidak mungkin ‘survive’ dalam situasi tenang dan aman, kerana jika keadaan politik itu aman, maka Umno takut rakyat memberikan fokus untuk menilai prestasi mereka terhadap rakyat.

Sesiapa yang berjalan di dalam gelap itu merasakan di depan dan belakang mereka ada hantu atau harimau dan berbagai-bagai lagi yang mereka takuti. Selalu saya mendengar di jalan-jalan kecil yang sunyi dan gelap gelita itu anak-anak muda menyanyi dengan sekuat hati bagi memecahkan kesunyian dan menghilangkan sedikit rasa takut dan gementar itu.

Bermacam-macam lagi saya dengar. Ada yang menyanyikan lagu P Ramlee, malah ada juga menyanyikan lagu Mat Sentul. Ada yang membakar mercun dan berbagai-bagai cara untuk menghilangkan rasa takut itu sementara sampai ke rumah atau tempat lain.Pendeknya mereka akan berbuat bising untuk menghilangkan rasa takut itu.

Tetapi sekarang keadaan itu tidak berlaku lagi kerana elektrik sudah sampai di setiap rumah dan di jalan raya pula sudah ada lampu yang dipasang oleh Lembaga Letrik Negara atau sekarang ini TNB. Anak-anak muda sekarang tidak tahu kerana mereka tidak mengalami keadaan itu. Lahir mereka ke dunia ini sudah ada lampu eletrik dan air.  ‘Air dalam bosi, potik ditopi di tongah menyalo’.

Tetapi masih ada lagi manusia yang masih mempunyai rasa takut dan tidak meyakinkan itu, tetapi bukan dirasai oleh orang kampung saya. Perasaan itu masih ada di dalam jiwa pemimpin Umno dan ramai ahli-ahlinya. Perasaan takut seolah-olah ada hantu di depan dan di belakang dan dalam kesunyian mereka itu membuatkan mereka mencari apa sahaja jalan untuk memecah kesunyian untuk menghilangkan rasa takut dan gementar itu.

Mereka sekarang tidak menyanyikan lagi lagu P Ramlee atau Mat Sentul, mereka menyanyikan lagu ala rap yang bertajuk Syiah dan Sunni.  Mereka mahu menghilangkan rasa takut mereka dengan berbuat bising. Selalunya orang yang penakut ini akan bercakap besar dan garang seperti yang kita dengar di kalangan mereka yang entah macam mana duduk di atas dan memimpin kita itu. Pemimpin seperti ini terpaksa melakukan banyak perkara pelik bagi menutup kelemahan mereka yang mudah dilihat oleh orang ramai.

Kenapa Umno memilih untuk menjadikan isu agama sebagai cara mendinding diri mereka daripada kejatuhan itu diketahui ramai? Umno tahu cabaran kepadanya ialah PAS. Parti Islam itu merupakan parti yang digeruni oleh Umno walaupun dalam ucapan pemimpin mereka, mereka cuba untuk melindungi rasa takut mereka dengan kata-kata ego dan pengecut mereka. Mereka tidak berani untuk menunjukkan jiwa besar dengan mengakui kelemahan mereka.

Umno sarat dengan pemimpin palsu yang hanya menunjuk-nunjuk kehebatan mereka sedangkan rakyat semakin hari semakin memahami hakikat ini. Mereka menunjuk-nunjukkan kekayaan mereka yang rakyat tahu adalah hasil manipulasi wang rakyat juga dalam sistem pentadbiran yang begitu sarat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu.

Bagi saya, isu Syiah dan Sunni ini elok kita abaikan sahaja kerana ia diperbesarkan oleh mereka yang mengaku Ahli Sunnah tetapi segala larangan ahli Sunnah itu dilakukan secara terbuka. Bagi mereka, Umno sahaja yang dibenarkan melanggar segala kehendak agama itu.

Umno seolah-olah maksum dan tidak ada siapa yang mesti meragui mereka. Merekalah pejuang bangsa, merekalah pejuang pembangunan negara dan yang lebih dahsyat lagi merekalah pejuang dan pelindung agama kita.

Mereka lebih hebat daripada aulia dan anbia yang ditugaskan menjaga dunia dan alam ini selepas kewafatan Nabi Muhammad lebih seribu tahun dahulu.

Bagi mereka Umno adalah segala-galanya. Tidak makbul doa seseorang itu dan tidak sampai hajat sesiapa pun tanpa dikehendaki oleh Umno. Umno sahaja yang menentukan nasib semua orang dunia dan akhirat.
Saya baru sahaja tahu yang dunia dan alam ini diwariskan kepada Umno untuk menjaganya. Kalau tidak ada Najib, Muhyiddin dan Zahid serta Tengku Adnan Mansor, tentu kacau-bilau dunia ini.

Kalau boleh, masukkan Anwar Ibrahim sekali sebaris dengan mereka, mungkin pasti kita semua selamat di dunia dan akhirat. Mati kita mungkin mati dalam iman, bak kata P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk. Di akhir kalam nak mati pun kita akan bangun seketika, dan senyum.

Mengikut jalan cerita dalam filem itu mereka yang sudah merompak pun mati mereka dalam iman. Itulah cerita yang dilakonkan kembali oleh pemimpin-pemimpin Umno sekarang ini. Selamat menonton! – aspanaliasnet.blogspot.com, 15 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.