BUKTI HUBUNGAN DATO’ SERI NAZRI AZIZ DAN MICHAEL CHIA, “CONFLICT OF INTEREST” DALAM PENYIASATAN TUDUHAN RASUAH RM40 JUTA
Jawapan-jawapan
di dalam Parlimen oleh Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempertahankan
habis-habisan individu-individu yang disabitkan di dalam skandal wang
Umno Sabah berjumlah RM40 juta menimbulkan banyak tanda tanya.
Sebagai
seorang menteri kanan yang dipertanggungjawabkan menangani kes-kes
rasuah dan pengubahan wang haram (money laundering) yang sensitif
seperti kes RM40 juta ini, Dato’ Seri Nazri Aziz perlulah telus, bersih
dan dilihat tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana
individu yang dipertahankan beliau.
Malangnya,
KEADILAN mempunyai bukti bahawa kaum keluarga beliau mendapat manfaat
terus (direct benefit) dari sumbangan Michael Chia, iaitu individu utama
yang dituduh di dalam skandal RM40 juta.
Anak
kepada Dato’ Seri Nazri Aziz iaitu Nedim Nazri Aziz dan keluarganya
mendapat manfaat melalui sebuah kenderaan mewah jenis Hummer hitam
dengan nombor pendaftaran WNX 9776.
Kenderaan
mewah Hummer hitam WNX 9776 ini dianggarkan berharga lebih RM459,000
dan dimiliki oleh Michael Chia. Hakmilik ini boleh disahkan melalui
carian saman di laman MyEG.
(Sila rujuk Lampiran A)
Saman bernombor 1100105197 bertarikh
1 April 2011 (Gambar A1) mengesahkan bahawa kenderaan Hummer hitam
(gambarnya disertakan sekali di dalam carian saman MyEG seperti dalam
Gambar A2) adalah dimiliki oleh Michael Chia atau Chia Tien Foh
(670406-12-5261).
Melalui
kerjasama dengan Sarawak Report, KEADILAN telah menjalankan siasatan
kami sendiri untuk mengesahkan bahawa kenderaan mewah Hummer itu
benar-benar digunakan oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz.
Bukti-bukti
berikut (diperolehi melalui siasatan mengenai latar belakang anak Dato’
Seri Nazri Aziz dan pemantauan Hummer WNX 9776) mengesahkan bahawa
kenderaan tersebut digunakan sepenuhnya oleh anak Dato’ Seri Nazri Aziz:
1. Kenderaan tersebut berada di parkir Clearwater Residence, Damansara Heights iaitu kediaman anak Dato’ Seri Nazri Aziz
Pemantauan
kami menunjukkan bahawa Hummer WNX 9776 dipandu oleh pemandu peribadi
keluarga Nedim Nazri Aziz. Rutin harian kenderaan tersebut banyak
berkisar di antara Clearwater Residence (kediaman anak Dato’ Seri Nazri
Aziz) dan Bangsar Shopping Complex (kedai anak Dato’ Seri Nazri Aziz).
Lampiran B
(Gambar B1 – B6) menunjukkan gambar-gambar pemantauan di lobi Clearwater
Residence yang jelas membuktikan bahawa kenderaan itu berulang-alik
dari Clearwater Residence dan dipandu oleh pemandu dan pengawal peribadi
keluarga Nedim Nazri Aziz.
2. Bukti-bukti bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di Clearwater Residence
Lampiran C menunjukkan 4 gambar.
Gambar C1
adalah petikan skrin (screen shot) laman Twitter Nedim Nazri Aziz
@nednazri mengajak rakan-rakannya bersantai di kolam renang di unit
kondominium mewahnya di Clearwater Residence, berlatar belakangkan Kuala
Lumpur.
Gambar C2
adalah petikan skrin (screen shot) laman Twitter Alwi Kamaruddin @alwi77
yang mengesahkan bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di satu unit di
Clearwater Residence.
Gambar C3
menunjukkan gambar kolam renang di satu unit di Clearwater Residence
berlatarbelakangkan Kuala Lumpur seperti yang diambil oleh petugas
KEADILAN yang berjaya memasuki unit di situ. Gambar ini mengesahkan
bahawa kolam renang di kediaman Nedim Nazri Aziz adalah salah satu kolam
renang di Clearwater Residence.
Gambar C4 menunjukkan petikan skrin (screen shot) dari laman www.clearwaterresidence.com yang mengesahkan mengenai kolam renang seperti yang dirujuk oleh Nedim Nazri Aziz.
Lampiran C mengesahkan bahawa Nedim Nazri Aziz tinggal di Clearwater Residence.
3. Bukti-bukti yang mengesahkan keluarga Nedim Nazri Aziz menggunakan Hummer WNX 9776
Lampiran D menunjukkan 5 gambar.
Gambar D1
adalah petikan skrin (screen shot) dari laman Twitter Bee Khan @BeeKhan
yang mengesahkan bahawa akaun Twitter itu adalah milik isteri kepada
Nedim Nazri Aziz (rujuk twit yang merujuk kepada @nednazri sebagai
“daddy”).
Gambar D2
adalah petikan skrin (screen shot) dari akaun Twitter @BeeKhan yang
menunjukkan gambar bayi mereka di dalam sebuah Toyota Vellfire, iaitu
satu lagi kenderaan yang digunakan keluarga mereka.
Gambar-gambar
D3 hingga D6 adalah petikan dari pemantauan yang menunjukkan dua
individu yang mengendalikan Hummer WNX 9776 (seperti yang dibuktikan
dalam Lampiran B) adalah individu-individu sama yang memandu Toyota
Vellfire yang berulang alik ke Clearwater Residence.
Ini
membuktikan bahawa dua individu tersebut adalah pemandu dan pengawal
peribadi keluarga Nedim Nazri Aziz yang turut memandu Hummer WNX 9776
yang dimiliki Michael Chia.
KEADILAN
mempunyai bukti-bukti lain yang cukup untuk membuktikan bahawa Nedim
Nazri Aziz, anak kepada Dato’ Seri Nazri Aziz mendapat manfaat kewangan
melalui penggunaan kereta mewah Hummer WNX 9776 yang dimiliki Michael
Chia.
Dalam
keadaan Michael Chia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dan Dato’ Seri Nazri Aziz bertanggungjawab terhadap
SPRM, kenyataan-kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz yang bermati-matian
mempertahankan Michael Chia sudah pasti menimbulkan perselisihan
kepentingan (conflict of interest). Ini sudah cukup untuk menimbulkan
keraguan bahawa ada unsur-unsur rasuah di antara Dato’ Seri Nazri Aziz
yang melindungi Michael Chia melalui kenyataan-kenyataan beliau kerana
si tertuduh membiayai kenderaan mewah yang digunakan oleh anak beliau
(Dato’ Seri Nazri Aziz).
KEADILAN
mengalu-alukan maklumbalas Dato’ Seri Nazri Aziz yang sebelum ini begitu
gah mempertahankan Michael Chia, sebelum kami mengambil tindakan yang
selanjutnya. Beliau juga harus sedar bahawa penafian membabi buta
kononnya beliau tidak tahu menahu mengenai urusan peribadi anaknya tidak
boleh diterima rakyat.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
1 NOVEMBER 2012
(semua gambar boleh dimuatturun di laman rafiziramli.com dan dikepilkan di dalam dokumen)kredit to steadyakul47