Rencana
Kalau hendak berubah perlu serius, ubah habis-habisan - Aspan Alias
Dalam keadaan sebegini, sama ada ia wajar atau tidak kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan harga petrol dan ia menambahkan rasa kerunsingan rakyat terhadap masa depan kepimpinan negara. Mungkin ada kewajaran untuk menaikan harga minyak itu, tetapi ia tetap membebankan rakyat dan menjadikan negara dalam keadaan krisis keyakinan yang lebih serius dan ‘real’.
Kerajaan mungkin memberikan alasan kenaikan itu hanya tindakan mengurangkan subsidi harga petrol tetapi tindakan itu diambil dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kepimpinan negara. Kerajaan mungkin tersepit di antara keperluan mengurangkan defisit bajet negara, dan mengintai peluang untuk mendapatkan tambahan sokongan rakyat kerajaan.
Najib tidak mendapat kepercayaan sepenuhnya dari dalam parti dan di
antara komponen BN sendiri. Tidak ada salahnya jika parti dalam komponen
BN itu merasakan keadaan begini kerana masing-masing mempunyai matlamat
untuk negara. Daripada pihak pembangkang pula, masalah bukannya kecil
terutama dari DAP dan PKR kerana masing-masing sedang menghadapi masalah
dalam pentadbiran parti mereka sendiri.
Entah apa yang hendak disorokan daripada pengetahuan ROS dan rakyat semua, hanya pimpinan parti itu sahaja yang tahu. Tetapi yang pasti parti itu tidaklah sebersih yang digambarkan dahulu. Mereka tetap sama dengan sikap dan nilai kepimpinan parti dalam BN selama ini.
Pengongkongan kuasa oleh sebahagian kumpulan dalam kepimpinan parti itu tetap bertambah nyata dan jelas. Kumpulan yang menguasai parti itu jelas terlalu takut jika kumpulan mereka tidak lagi menguasai parti itu dan hilang pengaruh mereka dalam pemilihan ulangan CEC sekarang ini.
PKR sibuk mencari helah untuk memalingkan pandangan dan perhatian rakyat terhadap isu membabitkan Ketua Umum nya dalam menghadapi sesi perbicaraan di mahkamah minggu hadapan. Dalam sistem politik acuan Dr Mahathir ini, akhirnya membuahkan politik yang tidak baik kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.
Jika dikaji dengan sehalus-halusnya masalah yang timbul, tidak ada kena mengena dengan ahli parti dan rakyat. Yang membuat masalah adalah pemimpin mereka sendiri yang membawa perpecahan dikalangan ahli-ahli yang masing-masing mempunyai ‘preferences’ terhadap individu pemimpin yang bertelagah itu..
Masalahnya sekarang tidak ada pemimpin yang boleh menjadi penyelamat di kalangan yang ada dalam kerajaan. Umno, bukannya kali ini sahaja menghadapi masalah seperti ini, tetapi semasa itu masih ada mereka yang sedang berkuasa mampu memberikan penyelesaian kepada apa jua bentuk kemelut politik negara.
Dahulu dalam keadaan parti dan kerajaan, ada pemimpin seperti Ghaffar Baba yang mampu membawa semua pihak untuk menyelesaikan masalah yang wujud. Tetapi yang ada hari ini yang setaraf dengan kedudukan Ghaffar Baba ini, iaitu Muhyiddin Yassin tidak mempunyai ‘umph’ yang kuat untuk membawa penyelesaian dalam parti untuk jangka masa yang panjang.
Sebaliknya Muhyiddin kerana kelemahan kepimpinannya lebih cenderung untuk mendiamkan diri untuk kepentingan peribadi beliau sahaja. Tidak ada pemimpin yang berani dan berkemampuan untuk bertindak. Itulah perbezaa kualiti kepimpinan dahulu dan sekarang dan itu jugalah membezakan keadaan dahulu dengan sekarang ini.
Sebagaimana yang saya sebut selalu, Umno sudah ketiadaan kepimpinan. Jika ada pun pemimpin yang boleh melakukan perubahan itu mereka akan di hapuskan dari awal lagi kerana peranan ‘warlords’ dalam parti yang kerja mereka tidak lain selain dari hanya menjaga kepentingan diri dan keluarga sendiri. Pemimpin yang berkemampuan dan ‘viable’ untuk negara hanya duduk di tepian gelanggang politik tanah air, hanya memerhati perlakuan mereka yang sedang asyik dengan kuasa dan glamour politik semata-mata..
Bagi saya seluruh anggotan BN itu termasuk di Sabah dan Sarawak menerima hakikat yang mereka merupakan bahagian yang penting dalam komponen BN itu dan mereka perlu melakukan tugas untuk memberikan pembaikan keadaan ini. Semua pihak wajar mengakui hakikat kelemahan yang ada kepada kita dan perlu bersama-sama mencari penyelesaian terhadap apa yang melanda negara kita kini.
Mungkin dengan mencari seorang pemimpin yang lain dari yang ada dalam barisan kepimpinan sekarang ini boleh membawa arus perubahan dalam ‘ambience’ yang baru bagi melupakan keadaan kekalutan politik yang dirasakan oleh banyak pihak. Keadaan politik dan kerajaan itu amat bergantung kepada individu pemimpin yang mengetuai kepimpinan negara. Baik pemimpin itu maka baiklah kepimpinan negara. Begitu jugalah sebaliknya.
Kekalutan yang berlaku dalam negara kita ini sudah terbukti tidak mampu diperbaiki oleh kepimpinan yang ada pada hari ini, walaupun rakyat telah memberikan masa melebihi satu dekad untuk membetulkan keadaannya. Kalau diberikan waktu yang lebih lama dengan barisan kepimpinan yang ada pada hari ini keadaan tidak akan berubah. Negara terpaksa mencari individu yang mampu menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Mungkin pemimpin itu sudah lama tidak berada dalam ‘mainstream’ kepimpinan negara kerana permainan politik kotor sejak berdekad yang lalu. Bukan sedikit bilangan pemimpin berkemampuan yang telah diketepikan secara sistmatik oleh pemimpin yang tamak dan tindakan mengenepikan pemimpin seperti ini adalah kerana kemampuannya yang jelas. Sudah begitu lama Umno ketiadaan pemimpin berwibawa kerana permainan pemimpin lain yang begitu 'obsessed' dengan kuasa yang ada di tangan mereka.
Isu ini wajar menjadi fokus dan tumpuan semua pemimpin besar dalam parti-parti yang wujud di negara ini bagi melakukan ‘once and for all’ perubahan drastik supaya negara kembali kepada landasan kenegaraan yang betul.
Kita tidak boleh membiarkan negara kita dalam kemurungan tanpa ada sesuatu dilakukan secara betul dan benar. – aspanaliasnet.blogspot.com, 6 September, 2013.