Rencana
Hajat terakhirku - Chin Peng
Apabila anda membaca surat ini, saya sudah tidak di dunia ini lagi.
Niat asal saya ialah meninggal dunia secara senyap-senyap dan membiarkan saudara-mara saya mengendalikan sendiri hal-hal pengebumian. Akan tetapi, pengaruh daripada kesilapan media pada awal bulan Oktober 2011 yang mewartakan bahawa kesihatan saya telah berada di taraf yang amat kritis meyakinkan saya betapa perlunya saya meninggalkan surat ini.
Semenjak menyertai Parti Komunis Malaya dan akhirnya menjawat
setiausaha agongnya, saya telah menyumbangkan sepenuh jiwa dan raga saya
kepada usaha parti, iaitu berjuang demi satu masyarakat yang lebih adil
dan lebih indah, yang berdasarkan cita-cita sosialisme.Kini, apabila
saya pergi, sampailah masanya untuk mengembalikan jasad saya kepada
keluarga saya.
Apa yang dikesali ialah mereka mengenali ayah sendiri jauh setelah mereka mendewasa, seorang ayah yang begitu asing bagi mereka. Saya tidak berhak menuntut mereka memahami dan memaafkan saya. Mereka tidak ada pilihan. Mereka terpaksa menerima realiti yang zalim. Sama seperti ramai keluarga para pahlawan dan kawan-kawan saya yang lain, mereka terpaksa menanggung kesusahan dan penderitaan yang di luar kemahuan mereka sendiri. Mereka terpaksa menanggunginya kerana keputusan kami hendak mencabar dan mengubah kuasa yang kejam.
Sayang beribu sayang, saya tidak berjaya menziarah makam ibu-bapa saya yang dikebumikan di kampung halaman Sitiawan. Saya tidak dibenarkan menjejakkan kaki di tanah air tercinta, bumi tempat saya dan rakan-rakan seperjuangan saya berjuang keras menentang kaum penceroboh dan penjajah asing.
Saya dan kawan-kawan saya telah menyumbangkan seumur hidup kami kepada usaha perjuangan politik yang kami yakini, dan telah memberikan berbagai pergorbanan. Apapun risiko yang menimpa diri kami, keluarga kami dan masyarakat kita, kami terima dengan hati terbuka.
Pada hakikatnya, saya hanya ingin dikenang sebagai seorang manusia yang baik, yang sanggup mengistiharkan kepada dunia bahawa dia berani menghabiskan seumur-hidupnya demi cita-cita yang dipegangnya, iaitu mewujudkan satu dunia yang lebih baik kepada rakyat jelata.
Berjaya atau tidak lain perkara, yang penting ialah usaha yang saya lakukan ke arah tersebut. Mudah-mudahan, jalan yang saya tempuhi ini akan dilanjutkan dan disempurnakan lagi oleh generasi muda.Saya yakin penuh bahawa api perjuangan demi keadilan sosial dan perikemanusiaan tidak akan padam.
Selamat tinggal, kawan-kawan seperjuangan yang tercinta! Selamat tinggal, saudara-saudari setanahair yang dikasihi! Selamat tinggal, tanah air yang dicintai! - 25 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
* Chin Peng (Ong Boon Hua) ialah bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya.