Don't delay, accept Anwar's offer for dialogue - Saifuddin tells Najib



Ku Li sokong kerajaan terima dialog Anwar


Walaupun majoriti pemimpin Umno menolak tawaran dialog Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan tawaran itu perlu dipertimbangkan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, sekiranya ia mendatangkan manfaat tidak salah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak merebut peluang tersebut.
"Mengenai dialog tersebut, ia terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya.
"Jangan fikir siapa kalah atau menang, kerana pada akhirnya jika ia bermanfaat untuk rakyat terutama bagi yang miskin, saya rasa peluang itu perlu direbut," katanya pada sidang media dirumahnya di Langgak Golf, Kuala Lumpur.
Beliau juga menggesa sebarang tawaran yang melibatkan kepentingan rakyat perlu dipertimbangkan secara serius bagi memastikan nasib rakyat terbela dan tidak diabaikan.
"Apa pun, jika ia melibatkan kepentingan rakyat, pertimbangan serius perlu diambil kira," katanya.
Anwar semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.
Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, pemimpin Umno secara jelas menolak rundingan damai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir melihat cadangan pemimpin pembangkang itu sebagai usul terdesak.
Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mendedahkan kepada The Malaysian Insider pada Isnin, jika keputusan diserahkan sepenuhnya kepada ahli MT Umno, jemputan Anwar untuk mengadakan dialog pastinya ditolak secara terang-terangan.
Kebanyakan ahli MT menolak cadangan ketua pembangkang itu namun Presiden Umno, Najib membangkitkan isu itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jumaat lalu.
Sumber itu menjelaskan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam kelihatan paling meragui tawaran Anwar untuk mengadakan dialog.
Mereka menuduh Anwar tidak jujur dan menyatakan bahawa satu-satunya alasan untuk tawaran berdialog itu ialah untuk memastikan perjuangan Anwar terus relevan, terutama sejak petisyen yang difailkan parti pembangkang ditolak oleh mahkamah.
Anwar menjelaskan antara topik yang boleh dibincangkan bersama ialah membabitkan isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini; masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara.
Katanya, perbincangan juga harus menyentuh aspek urus tadbir kerajaan bagi membasmi rasuah dan keadilan dalam pemberian tender.

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=86202:ku-li-sokong-kerajaan-terima-dialog-anwar&Itemid=2#ixzz2e7SfU5He
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter