PERTEMBUNGAN GOLONGAN PROFESIONAL DENGAN ULAMA?





Isu Fitnah terhadap YB Khalid @KhalidSamad

Ucapan YB Khalid Samad di Melaka dua minggu lepas diputar-belit sehingga ramai orang yang tidak tahu cerita sebenar mula membenci dan menghina beliau dengan kata-kata yang kesat.

Yang lebih kesal kerana dalang yang memutar-belit itu adalah ahli parti sendiri. Mereka ini kononnya mendokong kepemimpinan ulama' tetapi perangai mereka tidak sebagaimana yang diajar oleh para ulama'. Mereka memecah-belahkan perpaduan dalam parti dan membiakkan kebencian ahli parti kepada pimpinan. Curiga dan prejudis kini berleluasa sesama-sendiri.

Kerana sikap jahat mereka ini, orang ramai juga mula prejudis dan mempersalahkan ulama' sedangkan ulama' tidak ada kaitan dengan kerja jahat mereka. Mereka ini jenis sokong membawa rebah.

2 tuduhan kepada YB Khalid Samad adalah 1) YB Khalid menuduh TGHH sebagai punca pentembungan antara kumpulan ulama' dan profesional. 2) Ahli PAS tidak perlu wala' kepada Majlis Syura.

Dalam wacana berkenaan dan mendengar setiap butir perkataan yang diucapkan oleh YB Khalid. Video penuh juga boleh dilayari di Youtube. Apa yang disebutkan oleh YB Khalid adalah pertembungan antara ulama' dan profesional dalam PAS dilihat ketara selepas PRU 12 yang lalu. Ia diburukkan selepas isu Kerajaan Perpaduan atau UG dibangkitkan secara meluas di media. Itu sahaja.

Tuduhan kedua berkenaan wala' adalah jauh terpesong. Maksud beliau, kata-kata pimpinan bukan suatu yang qat'ie (yang tidak boleh diubah) sebagaimana wahyu. Justeru ada ruang untuk bertanya dan jika ada pandangan yang lebih baik, ia boleh diajukan. YB Khalid membawa kisah Al-Habab bin al-Munzir yang mencadangkan tempat yang lain dari cadangan asal Rasulullah dalam Perang Badar kepada Rasulullah.

Al-Hubab bin al-Munzir bertanya sama ada tempat asal itu ditetapkan oleh Allah(wahyu) atau hanya merupakan buah fikiran baginda. Rasulullah menjawab bahawa ia berdasarkan buah fikiran baginda dan bukannya wahyu.

Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasulllah dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab.

Dapat difahami dengan mudah maksud sebenar YB Khalid, melainkan oleh orang yang tidak mahu faham.

Konsep wala' perlu difahami dengan jelas. Ia bukan bermaksud taat membuta tuli. Tetapi wala' biasa ditakrifkan sebagai meletakkan kecintaan yang sebenar serta kesetiaan dan penghormatan yang tinggi kepada pimpinan yang disertakan dengan sokongan dan bantuan sama ada berbentuk nyata atau tidak.

Konsep wala' tidak bermaksud membodohkan pengikut dan ahli tetapi ia sebagai pengikat kasih dan ketaatan antara ahli dan pimpinan seterusnya dalam menggerakkan kerja jemaah dengan lebih lancar. Ia tidak sesekali menghalang ahli dan pengikut daripada bersuara termasuk untuk menegur pimpinan.

Justeru,ahli-ahli PAS tidak termakan dengan kerja jahat segelintir ahli yang mahu menjahanamkan parti ini.