PKR perlu bebaskan rumah Norhayati - Mohd Sayuti Omar
Rumah Norhayati terletak di Taman Sri Kijang, Alma di Bukit Mertajam Pulau Pinang disita semalam atas perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Sekiranya beliau gagal melunaskan ganti rugi berkenaan dalam masa 14 hari semua barangan di dalam rumah itu akan dilelong.
Kita sangat berharga semoga nasib atau masalah dihadapi Norhayati akan diselesai dalam tempoh terdekat. Semua pihak kena sedar kronologi yang dilalui oleh Ketua Wanita PKR itu ialah dalam tindakan untuk membela partinya.
Tidak ada apa-apa keperluan untuk beliau berbuat begitu kalau bukan untuk parti. Norhayati disaman oleh kerana beliau dikatakan memfitnah penyaman itu dengan menuduh penyaman itu tidak berakhlak, berpengetahuan dalam agama dan penyaman itu juga mencadangkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail bercerai dengan suaminya Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Umum PKR.
Tuduhan Norhayti Jaafar itu dibuat dalam satu sidang akhbar kemudian disiarkan dalam media massa termasuk Harakah. Selain Norhayati berberapa pihak lain juga disaman.
Walaupun apa yang dilakukan Norhayati diluar pengetahuan dan arahan parti, tetapi parti kena ambil peduli kerana ia berbuat begitu demi parti. Tidak ada apa-apa kepentingan untuk dirinya atas kenyataan yang menyebabkan dia difitnah.
Dalam hal ini seluruh ahli PKR boleh berpakat untuk membantu Norhayati. Tidak menjadi masalah kalau kutipan derma di kalangan ahli dilakukan untuk membantu Norhayati. Kalau kutipan untuk tujuan aktiviti parti lain boleh dibuat kenapa tidak untuk membantu ahli parti yang teraniaya?
Begitu pun kutipan seperti itu bukan patut dijadikan amalan tetapi setidak-tidak untuk dijadikan iktibar di masa akan datang. Ahli parti khasnya penjawat jawatan hendaklah berhati-hati dalam membuat kenyataan walaupun atas tujuan hendak membela parti dan pemimpin atasan. Juga apa yang boleh diambil iktibar sudah menjadi sunatullah dalam politik mana-mana ahli yang mendapat musibah ia akan tanggung sendiri.
Semoga kes dihadapi Norhayati itu akan diatasi dengan baik dan PKR akan menunjukkan sikap bertanggungjawab dan ehsan kepada ahli-ahlinya.