Nak terawih sendirian, awal ramadhan surau dan masjid penuh? baca ni dulu..
Cara solat terawih sendirian
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,
09 Jul 2013
Soalan;
1. Bagaimanakah cara melakukan solat tarawih bersendirian?
2. Adakah selawat selepas setiap dua rakaat solat tarawih itu perlu dan bolehkah jika tidak berselawat.
Jawapan;
1. Solat terawih sama seperti solat-solat sunat yang lain yang biasa kita lakukan, iaitu ditunaikan dua rakaat-dua rakaat dengan bermula dari takbir dan diakhiri dengan memberi salam. Ketika hendak solat, niatkan di dalam hati untuk mengerjakan solat terawih atau qiyam Ramadhan, kemudian lakukan solat sebagaimana biasa. Bacaan-bacaan di dalam solat juga sebagaimana yang biasa dibaca dalam solat-solat yang lain. Kesimpulannya, yang berbeza dalam solat terawih ini ialah niatnya sahaja. Adapun rukun-rukun dan sunat-sunat di dalam solat, sama seperti dalam solat yang lain. Oleh sebab solat terawih dilakukan dua rakaat-dua rakaat, maka setiap dua rakaat hendaklah memberi salam dan kemudian bangun mengerjakan lagi dua rakaat hinggalah sempurna bilangan rakaat yang dikehendaki (lapan, 20 atau sebagainya).
2. Adapun berselawat selepas setiap dua rakaat, tidaklah wajib dan tidak mencacatkan solat terawih jika tidak melakukannya. Amalan berselawat itu hanya dilakukan sebagai selingan antara dua-dua rakaat solat untuk memberi kerehatan sesuai dengan nama solat itu “Solat Terawih”. Selawat itu bukanlah sabit daripada amalan Nabi SAW secara khusus. Jika kita tidak berselawat, kita boleh menggantinya dengan ibadah lain seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bertazkirah dan sebagainya. Dan harus juga kita meneruskan solat tanpa menyelanginya dengan sebarang ibadah yang lain.
http://fiqh-am.blogspot.com/