Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
hari ini mendedahkan pembekal dakwat kekal di Dewan Rakyat dengan
menyatakan individu itu "rakan rapat" pemimpin tertinggi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan mendakwa kontrak berkenaan diberikan secara
rundingan terus.
"Kontrak dakwat kekal ini diraih
oleh seorang pakar rundingan terus bernama Mohd Salleh Md Ali, nombor
kad pengenalan 671112665021 (IC asal dari Singapura).
"Dikhabarkan
pakar rundingan terus ini mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin
negara, malah juga dikatakan rapat dengan Pengerusi SPR dan
Timbalannya," katanya di Dewan Rakyat.
Kontroversi dakwat kekal menjadi
pertikaian dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu selepas ia mudah
ditanggalkan walaupun hanya dengan membasuhnya.
SPR yang didesak mendedahkan pembekal dakwat itu berkeras enggan berbuat demikian atas alasa "isu keselamatan".
Rafizi berkata, Mohd Salleh
memiliki tiga syarikat yang mendapat banyak kontrak kerajaan secara
rundingan terus, antaranya Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd yang
didakwa membekal dakwat pada pilihan raya 5 Mei lalu.
"Ada tiga syarikat yang dikawal
oleh niagawan bernama Mohd Salleh termasuklah satu syarikat bernama
Integrated Challenger Malaysia Sdn Bhd.
"Daripada syarikat ini, ada dua
lagi syarikat yang masuk menerusi rundingan terus yang dikawal oleh Md
Salleh menggunakan nama kerani syarikatnya, Norsiah Yusof.
"Beliau adalah ahli pengarah
dalam syarikat yang dikawal Mohd Salleh," katanya ketika perbahasan
perbekalan tambahan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi mencabar kerajaan untuk
memberi penjelasan dan tidak hanya berdiam diri kerana perkara itu boleh
mendorong kepada tanggapan buruk terhadap pengendali pilihan raya.
Beliau juga meminta menteri berkaitan mengesahkan pendedahannya mengenai pembekal dakwat kekal itu pada sesi penggulungan.
"Sebab itu dulu saya minta SPR
dedahkan sebelum kita yang dedahkan. Ini kerana ia akan datangkan
pelbagai persepsi tidak baik. Bukankah lebih baik beritahu awal-awal,"
katanya.
Semalam, Pakatan Rakyat (PR)
mengemukakan saman ke atas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf
dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana membuat kenyataan palsu
berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak dalam dakwat
berkenaan.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bertegas SPR tidak bercadang
untuk mendedahkan syarikat pembekal dakwat kekal.