Analysis by Halen Ang
Bentong bukan sebuah kerusi Umno. Meskipun begitu, Menteri Besar Pahang pasti akan mengerah jentera Umno bekerja keras untuk memenangkan calon MCA di kawasan Parlimen Bentong kerana tidak mahu telinga beliau tergadai.
“… DAP tidak boleh menang di Bentong. Tidak boleh menang. Jika DAP menang di Bentong, anda potong telinga saya, saya terjun Sungai Pahang. Tidak. Boleh. Menang.”
Kerusi Adnan adalah di DUN Pelangai yang terletak dalam Parlimen Bentong.Selain N.36 Pelangai yang dipegang Adnan, kedudukan kerusi-kerusi DUN lain di Bentong (berdasarkan keputusan PRU12) ialah:
- N.35 Sabai — Datuk M. Davendran-MIC (3,304 undi) kalahkan Kamache Doray Rajoo-DAP (3,159 undi)
. - N.34 Ketari — Ng Keong Chye-Gerakan (6,835 undi) kalahkan Lee Kok Yeep-DAP (5,953 undi)
. - N.33 Bilut — Datuk Hoh Khai Mun-MCA (6,024 undi) kalahkan Tam Tai San-DAP (4,916 undi)
Perbandingan dengan Pandan
Para pemilih Cina di Bentong telah mengundi mengikut dasar perkauman pada tahun 2008.
Gejala ‘split voting’ inilah juga yang membawa kepada kejayaan Ong Tee Keat di Pandan di mana Ong, yang tatkala itu naib presiden MCA, berjaya menewaskan Syed Shahrir (PKR).
Tee Keat menang dengan majoriti 2,961 undi kerana orang Cina Pandan keberatan untuk menyokong seorang calon pembangkang Melayu.
Walaupun MCA menang Parlimen Pandan, BN kalah kedua-dua kerusi DUN yang terletak di dalam kawasan Pandan, iaitu Chempaka dan Teratai. Calon Umno tewas kepada calon PAS di Chempaka dan calon Gerakan tewas kepada calon DAP di Teratai.
Pada peringkat negeri, pemilih Pandan hanya memberikan 18,958 undi kepada BN mengikut pecahan 11,480 bagi Umno + 7,478 bagi Gerakan.
Pada peringkat Parlimen pula, pemilih Pandan memberikan 25,236 undi bagi MCA-Ong Tee Keat. Ada perbezaan sejumlah 6,278 undi!
Bermakna pemilih Cina yang memberi undi Parlimen kepada Tee Keat namun pada masa yang sama tidak sanggup menyerahkan undi kepada calon DUN Umno.
Lihat butir-butir di ‘Ong Tee Keat menang Pandan atas sentimen anti-Melayu‘
Perkara yang sama berlaku di Bentong di mana pemilih Cina tidak memberikan undi mereka kepada calon PKR keturunan India.
Atas sebab itulah wakil menyandang jawatan, iaitu Liow Tiong Lai yang sekarang Timbalan Ketua MCA, mampu menang. Akan tetapi sejarah tidak dijangka akan berulang.
Memperinci keputusan PRU12 Bentong
Di peringkat Parlimen, BN telah mengutip 25,134 undi.Di peringat DUN merangkumi empat kerusi, BN telah mengutip 21,569 undi, iaitu Bilut 6,024 + Ketari 6,835 + Sabai 3,304 + Pelangai 5,406.
Liow Tiong Lai memperolehi faedah daripada ‘split voting’ – perbezaan 3,565 undi – kerana Bentong adalah kawasan majoriti Cina dan lawan PKRnya adalah calon keturunan India.
Cuba lihat pada pola pengundian berikut:
- Umno (Adnan Yaakob) menang selesa di Pelangai dengan majoriti hampir 3k (2,970 undi)
- MCA menang sederhana di Bilut dengan majoriti 1,108 undi
- Gerakan menang tipis di Ketari dengan majoriti 882 undi
- MIC menang amat tipis di Sabai dengan majoriti 145 undi
Dalam pilihanraya yang lepas, calon pembangkang Parlimen Bentong G. Ponusamy (PKR) mendapat sebanyak 12,585 undi.
Calon-calon pembangkang (3 orang DAP, seorang PAS) di peringkat DUN kawasan tersebut mendapat sejumlah 16,464 undi kesemuanya, iaitu DAP di Bilut 4,916, DAP-Ketari 5,953, DAP-Sabai 3,159 dan PAS-Pelangai 2,436 undi.
Bermaksud seramai 3,879 orang – kebanyakan mereka pemilih Cina – yang mengundi DAP di peringkat DUN tidak menyokong calon India PKR di peringkat Parlimen.
Gejala perkauman ini, yakni calon MCA walaupun gerenti kalah kepada calon Cina DAP namun masih mengatasi calon pembangkang yang bukan Cina, telah diperhatikan dalam tahun 2008 oleh http://amriyunos.blogspot.com/2010/04/salah-siapa-bn-hilang-undi-cina.html
Kali ini dalam tahun 2013, yang bersaing dengan MCA di Bentong bukanlah calon India PKR.
DAP mempertaruhkan seorang calon Cina yang telah berjaya memupuk histeria anti-Lynas di kalangan ahli-ahli masyarakatnya yang dibelenggu pemikiran ABU.
Jadi Liow Tiong Lai tidak harus begitu yakin bahawa beliau boleh menang Bentong.
Kempen DAP dibantu jentera Si Gunting
YB Hoh Khai Mun, iaitu ketua bahagian MCA Bentong dan juga Adun Bilut merangkap exco negeri untuk Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar membidas pencalonan Wong Tack oleh DAP di Bentong.Boleh baca ‘Pakatan inconsistencies persist with backpedalling stances on Lynas plant‘ di laman MCA. Kenyataan YB Hoh Khai Mun ini tidak dipetik oleh The Star.
Bad news for the DAP is good news for the MCA is no news in The Star
Setiausaha Pemuda MCA Chai Kim Sen turut menyelar para pemimpin Pakatan yang tidak tegas dalam pendirian mereka. Kenyataan akhbar Datuk Chai boleh dibaca di laman MCA di bawah tajuk, ‘Pakatan’s manifesto is useless if their leaders constantly change their stand and promises‘.The Star sebenarnya jarang sekali pernah mengambil apa-apa inisiatif untuk menghubungi orang MCA seperti Chai ataupun pemimpin-pemimpin BN yang lain.
Sebaliknya, suratkhabar itu telah membiarkan sahaja Regina Lee – bff Hannah Yeoh – untuk membuat liputan sidang akhbar Wong Tack kelmarin.
Regina Lee juga ditugaskan membuat liputan persengketaan Ngeh-Kula beberapa hari lepas. Liputannya begitu berat sebelah serta tidak menangani persoalan-persoalan yang merugikan warlord evengelis DAP di Perak itu. Sila rujuk posting saya — ‘Bab Ngeh kenakan Kula, perkembangan seterusnya‘.
Harap-harap Adnan Yaakob tidak akan terpotong telinganya nanti oleh sebilah gunting milik MCA (cakap kiasan sahaja). Pasti seorang Menteri Besar Pahang yang DUNnya terletak di Pelangai tidak akan menyenangi kawasan Parlimen Bentong jatuh ke tangan seorang DAP yang berjiwa kaki bakar.