Anwar ajak rakyat turun HKR Sabtu ini, tuntut kebebasan & keadilan

Anwar ajak rakyat turun HKR Sabtu ini, tuntut kebebasan & keadilan

KUALA LUMPUR 7 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat seluruh negara turun beramai-ramai ke Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka, Sabtu ini.
“Dedikasi untuk semua pejuang rakyat yang menuntut kebebasan dan keadilan. Ayuh bersama turun ke KL 12 Januari ini! Suara rakyat, suara keramat!” kata Ketua Umum KEADILAN di facebooknya hari ini.
Sebelum itu, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengerahkan semua anggota KEADILAN setiap peringkat agar hadir ke KHR.
Menurut Saifuddin, KEADILAN mendukung penuh himpunan tersebut yang merupakan kemuncak kepada jelajah kebangkitan rakyat yang diadakan di seluruh negara.
“Ia bukan sekadar perhimpunan, tetapi manifestasi kebangkitan rakyat, yang bukan saja disokong KEADILAN dan Pakatan Rakyat, malah badan bukan kerajaan (NGO),” kata Ahli Parlimen Machang itu.
Dalam perkembangan sama, Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor akan menggerakkan 300,000 anggota dan penyokongnya sempena perhimpunan itu.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman dan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok pagi tadi.
Himpunan mensasar sejuta rakyat itu bermula jam 2 hingga 5 petang, sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan tuntutan.
AMK anjur road show
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengadakan road show seluruh negara sebelum HKR bagi mendesak kerajaan memenuhi semua tuntutan rakyat.
Road show akan bermula 8 sehingga 11 Januari di Johor, kemudian Perak, Gombak dan yang terakhir sempena countdown akan diadakan di Dataran Anak Muda, Petaling Jaya Selatan,” kata kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“Antara acara yang akan diadakan adalah ceramah pimpinan KEADILAN dan juga rakan-rakan Pakatan. Kita juga akan adakan acara-acara lain untuk memeriahkan suasana,” katanya menambah Artis Lan Raja Lawak akan turut hadir.
Menurutnya, pada hari himpunan, jentera AMK akan bergerak dari Padang Timur, Petaling Jaya melalui Lebuhraya Persekutuan sebelum menuju Stadium Merdeka.
Pakatan rancang ‘countdown’
Sementara itu, Pakatan Rakyat merancang acara Rapat Kemuncak Mengira Detik pada malam HKR, berlangsung mulai 5 petang di Padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Selain Anwar, pemimpin Pakatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dijangka berucap, di samping penampilan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Mohd Idrus.
Ratusan NGO sertai, 4 warna tema utama
Ratusan NGO akan bersama dalam HKR terdiri daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Gerakan Anti Lynas, Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti)
Ia turut disertai Gerakan Mansuhkan ISA, 13 pertubuhan gerakan mahasiswa, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Pertubuhan Pertahan Tanah Warisan Kita, Sekretariat Prihatin OKU, dan Gerakan Anti PPSMI.