Pakatan lupus industri berbahaya jika bentuk k’jaan – Wan Azizah
(Oleh Amiruddin Ahmad)
KUALA LUMPUR 3 September: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail memberi jaminan, semua industri dalam negara yang
membahayakan kesihatan dan keselamatan rakyat bakal dilupus dan
dimansuhkan sebaik Pakatan Rakyat (Pakatan) membentuk kerajaan.
Beliau
menjelaskan, gerakan penentangan terhadap projek merbahaya kepada
kesihatan penduduk membuka mata rakyat untuk menolak kerajaan yang tidak
prihatin dan menjadikan negara sebagai tempat buangan bagi
projek-projek yang menjelaskan kesihatan.
“Sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya, antara misi utama kita
ialah melihat semula perjanjian yang telah dipersetujui (industri
bahaya) dan memastikan ianya tidak ada di bumi Malaysia ini,” katanya
berucap di Kompleks Sukan Raub sempena Himpunan Hijau Raub di Bukit
Koman semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang
Asal, Bob Manolan berkata, masyarakat orang Asal tidak ketinggalan
menerima kesan bahaya daripada industri yang mencemarkan alam sekitar.
“Sepatutnya kerajaan meningkatkan usaha kebajikan ke atas penduduk
asal yang masih jauh ketinggalan dari segi pendidikan berbanding
menjemput syarikat yang membahayakan alam sekitar,” katanya.
Beberapa perwakilan NGO dan parti politik turut berucap mengecam
kerajaan BN yang tidak langsung prihatin ke atas kesihatan rakyat dan
terlalu memikirkan keuntungan pelaburan.
Wakil Anti-Sianida Bukit Koman, Wong Cheng Ha berkata, kerajaan tidak
pernah berbincang dengan penduduk atau membuat kajian terperinci
sebelum melaksanakan projek di kawasan itu. Oleh itu, rakyat mesti
menolak mereka dalam pilihan raya.
“Jika kita tolak BN, maknanya kita juga menolak projek-projek yang
tidak menguntungkan rakyat. Tolak BN bermakna kita menolak sianida dan
juga Lynas,” tegasnya.
Pada acara penutup, mangsa-mangsa yang mendakwa mengalami keracunan
kimia sianida dari kilang Raub Australia Gold Mining (RAGM) ditampilkan
ke atas pentas.
Sementara itu, wakil kepada pengurusan tertinggi RAGM yang dijangka
hadir bagi menerima surat bantahan di tempat perhimpunan tidak hadir
sebagaimana yang dijanjikan.
Para peserta kemudiannya berarak sejauh satu kilometer dari padang menuju ke kilang.
Mereka dihadang oleh pihak polis dan inisiatif diambil oleh Ketua
Polis Daerah Raub, Wan Mohd Samsudin Wan Osman agar wakil NGO anti
sianida berunding dengan wakil RAGM. Demonstran bersurai pada jam 4.40
petang.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35350