KUALA LUMPUR 3 September: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan, semua industri dalam negara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan rakyat bakal dilupus dan dimansuhkan sebaik Pakatan Rakyat (Pakatan) membentuk kerajaan.
Beliau menjelaskan, gerakan penentangan terhadap projek merbahaya kepada kesihatan penduduk membuka mata rakyat untuk menolak kerajaan yang tidak prihatin dan menjadikan negara sebagai tempat buangan bagi projek-projek yang menjelaskan kesihatan.
“Sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya, antara misi utama kita ialah melihat semula perjanjian yang telah dipersetujui (industri bahaya) dan memastikan ianya tidak ada di bumi Malaysia ini,” katanya berucap di Kompleks Sukan Raub sempena Himpunan Hijau Raub di Bukit Koman semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Bob Manolan berkata, masyarakat orang Asal tidak ketinggalan menerima kesan bahaya daripada industri yang mencemarkan alam sekitar.
“Sepatutnya kerajaan meningkatkan usaha kebajikan ke atas penduduk asal yang masih jauh ketinggalan dari segi pendidikan berbanding menjemput syarikat yang membahayakan alam sekitar,” katanya.
Beberapa perwakilan NGO dan parti politik turut berucap mengecam kerajaan BN yang tidak langsung prihatin ke atas kesihatan rakyat dan terlalu memikirkan keuntungan pelaburan.
Wakil Anti-Sianida Bukit Koman, Wong Cheng Ha berkata, kerajaan tidak pernah berbincang dengan penduduk atau membuat kajian terperinci sebelum melaksanakan projek di kawasan itu. Oleh itu, rakyat mesti menolak mereka dalam pilihan raya.
“Jika kita tolak BN, maknanya kita juga menolak projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat. Tolak BN bermakna kita menolak sianida dan juga Lynas,” tegasnya.
Pada acara penutup, mangsa-mangsa yang mendakwa mengalami keracunan kimia sianida dari kilang Raub Australia Gold Mining (RAGM) ditampilkan ke atas pentas.
Sementara itu, wakil kepada pengurusan tertinggi RAGM yang dijangka hadir bagi menerima surat bantahan di tempat perhimpunan tidak hadir sebagaimana yang dijanjikan.
Para peserta kemudiannya berarak sejauh satu kilometer dari padang menuju ke kilang.
Mereka dihadang oleh pihak polis dan inisiatif diambil oleh Ketua Polis Daerah Raub, Wan Mohd Samsudin Wan Osman agar wakil NGO anti sianida berunding dengan wakil RAGM. Demonstran bersurai pada jam 4.40 petang.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35350