Muhyiddin akan dalamkan Sungai Golok 

 

Berapa kaki nak didalamkan Sungai Golok tu?
Sungai Golok akan di dalamkan jika  BN memerintah negeri Kelantan. Itulah janji Muhyiddin Yassin kepada Kelantan dalam siri lawatan beliau ke pantai Timur Semenanjung yang di landa banjir sejak lima hari yang lalu. Kalau begitulah keadaannya Sungai Golok tidak akan di dalamkan selepas pilihanraya yang akan datang ini.

Bagaimana pula janji-janji beliau bagi penduduk Kemaman yang juga tenggelam oleh kerana banjir ini. Di Kemaman air banjir kerana air laut begitu tinggi dan tidak dapat mengalirkan air sungai di Kemaman dan itu lah yang menyebabkan Kemaman di tenggelami air bah.
Kita berharap Muhyiddin akan berjanji kepada rakyat di Kemaman yang kerajaan BN akan mendalamkan Laut Cina Selatan bagi air sungai di Kemaman itu mengalir dengan cepat ke laut. Tidak tahu pulak jika Muhyiddin boleh mendalamkan Laut Cina Selatan sehingga ke Sabah dan Sarawak untuk mengelak banjir dan air bah berlaku di negeri-negeri tersebut.
Dalam keadaan rakyat menghadapi banjir pun, Muhyiddin bermain politik dan janji beliau untuk mendalamkan Sungai Golok jika BN memerintah Kelantan melambangkan kepada kita mentaliti pemimpin kedua tertinggi negara itu berfikir dan bagaimana beliau memberikan persepsi terhadap demokrasi. Tidak ada kerja lain selain dari kerja politik walaupun rakyat sedang menghadapi kesusahan kerana banjir itu.
Di Britain sekarang pun banjir juga termasuk di Wales tetapi tidak pula Perdana Menterinya David Cameron atau Timbalannya, Nick Clegg meminta rakyat untuk mengundi kerajaan campuran Conservative dan Liberal Demokrat itu kerana kerajaan campuran iu juga telah membantu rakyat di England dan Wales yang sedang mengalami banjir sekarang ini. Mereka tidak melukah di tempat yang genting seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin terhadap rakyat Kelantan dalam menghadapi banjir besar ini.
Itulah sebabnya saya serta ramai yang lain berharap PAS serta rakan-rakan dalam PR akan sampai ke Putrajaya dan mentadbir kerajaan Persekutuan dengan adil dan saksama. Jika PAS memerintah di Putrajaya kita tahu PAS akan lakukan apa yang sepatutnya untuk memperbaiki keadaan tempat dan negeri yang sering dilanda banjir itu tanpa mengira ‘political inclination’ rakyat. 
 
Jika PAS dan Pakatan mentadbir Putrajaya dan di takdirkan pula Kelantan di tadbir oleh BN, kerajaan yang di terajui PAS melalui Pakatan Rakyat tidak akan bersikap seperti yang di tunjukkan oleh Muhyiddin yang tidak mempunyai ‘magnanimity’ sebagai pemimpin Persekutuan itu. Kerajaan bertanggungjawab terhadap semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.
Pakatan Rakyat terutamanya PAS wajar memberikan perlindungan dan mentadbir kerajaan rakyat ini seadil yang mungkin. Biarlah perbezaan pendapat dan serang menyerang ini berlaku semasa pilihanraya sahaja untuk masing-masing pihak berkempen dan berusaha mendapatkan sokongan. Pendeknya perbezaan hanya semasa proses untuk memilih kerajaan sahaja. Untuk menjadi ‘magnanimous’ ini jika kita harapkan UMNO atau BN untuk melaksanakannya adalah ‘impossible’. Maka PAS dan PR sahajalah yang kita harapkan untuk tidak mempolitikkan isu banjir ini jika di izin Tuhan untuk mendapat mandat rakyat nanti.
 
UMNO sememangnya begitu. Mereka (UMNO) beranggapan yang berhak untuk menang hanyalah BN dan pembangkang layaknya hanya menjadi pembangkang terus terusan. Tetapi Muhyiddin terlalu mudah lupa yang PR itu bukannya parti pembangkang sebaliknya Pakatan Rakyat adalah parti ‘alternative’. Pakatan Rakyat juga berhak untuk mendapatkan kemenangan kerana parti-parti dalam PR itu adalah parti halal dari segi undang-undang.
Kepada Muhyiddin, elok kita ingatkan yang kita tahu UMNO sedang terdesak, tetapi janganlah tunjukkan sangat perasaan itu. Kalau tidak ada perasaan malu kepada orang lain, setidak-tidak adalah sedikit perasaan malu kepada diri sendiri.