Kes NFC: Shahrizat kelu, gagal jawab soalan peguambela

KUALA LUMPUR 10 Oktober: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil kelu dan beberapa kali gagal menjawab soalan mahkamah hari ini berhubung kes skandal penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).

Wakil peguambela, Ranjit Singh dalam hujah balasnya bertanya dari aspek keluar
ga hingga ke isu dokumen berkaitan perniagaan suaminya.

“Setuju atau tidak, interaksi antara pasangan suami isteri itu penting sebagai pembangunan keluarga?,” soal Ranjit.

“Apakah anda sebagai Menteri Pembangunan Wanita mengaplikasikan prinsip itu?,” soal Ranjit lagi.

Shahrizat kemudian meminta Ranjit mengulangi soalan tersebut beberapa kali dan tidak menjawab seperti yang diarah.

Ranjit turut mempersoal kelayakan anak Shahrizat yang berkelulusan teknologi maklumat tetapi menjalankan bisnes jutaan ringgit dalam bidang pertanian.

Shahrizat memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Vazeer Alam Mydin Meera bahawa beliau tahu anaknya bekerja di Phileo Damansara tetapi tidak tahu apa pekerjaan anaknya.
“Tidakkah anda malu yang telah tersebar di seluruh negara bahawa suami anda mengambil wang dan menyebabkan kerugian besar?” soal Ranjit.

Shahrizat dalam keadaan tertekan menjawab “Tidak”.
Shahrizat merupakan pihak pendakwa manakala Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dinamakan sebagai defendan.

NFC dipengerusikan suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail manakala tiga anak beliau adalah pemegang saham dan pengarah di dalam syarikat Agro-Science Industry Sdn Bhd, syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFC dengan satu saham ‘preference’ dipegang kerajaan Malaysia.