Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman
durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan
'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam.
Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di
Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi
perkataan 'haram jadah'.
Beliau dipercayai menujukan kata-kata
itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures
Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.
Menurut Presiden Anak Peneroka
Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya
keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri.
"Tak
sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi
mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya.
Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu.
"Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah.
"Dengan
pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana
bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu
menyumpah haram jadah," soalnya lagi.
Mazlan berkata, sepanjang
pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini,
tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu.
Bagaimanapun
ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan
Najib itu yang disirkan secara langsung melalui televisyen.
Harakahdaily