Penyenaraian FGVH: ANAK, GSF Mohon Campur Tangan Istana Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 28 FEB: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) mahu pihak Istana Negara campur tangan agar tanah Felda Plantations tidak dipajak kepada Felda Global Venture Holding (FGVH).

"ANAK akan bersama Gerakan Selamatkan Felda(GSF) akan berusaha mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Negeri-Negeri mulai Mac ini memohon perkenan Tuanku Sultan agar campurtangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak di pajak kepada FGVH," kata Presiden ANAK, Mazlan Aliman di dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada TVSelangor semalam.

"Bahkan ANAK akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri," kata Mazlan.

Beliau turut menyokong cadangan pembangunan tanah Felda seluas 55 ribu hektar di Kelantan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang akan melibatkan 8 ribu peneroka baru.

Dalam isu yang sama ANAK turut menyatakan sokongan terhadap usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan orang ramai bagi membantah penyeneraian FGVH di pasaran saham terbuka.

Tandatangan tersebut bakal diserahkan kepada Perdana Menteri 30 Mac 2012 di Putrajaya.

"Bahkan, Jika ianya gagal melunakkan pendirian PM untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei ini seperti disebut Datuk Ahmad Maslan, satu HIMPUNAN RAKYAT PERDANA dijangka akan diadakan pada April ini.

"Puluhan ribu Warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara,” Mazlan berkata.