Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal dengan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana bertindak membatalkan program e-buku Saifuddin bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa" saat akhir atas alasan keselamatan kepada mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
DPPWP berpendapat, alasan yang diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM sangat remeh dan hanya bersifat teknikal iaitu mengelakkan isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dibincangkan, sedangkan objektif yang sepatutnya dilihat hasil daripada wacana ini amat besar manfaatnya untuk mahasiswa. Sepatutnya program ini digalakkan kerana ia amat positif dan membina minda mahasiswa. DPPWP yakin, tidak ada unsur politik di sebalik penganjuran program ini memandangkan tokoh yang diundang adalah Saifuddin Abdullah (gambar kanan), Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
DPPW mengesyaki adanya tangan-tangan ghaib atau campurtangan politik sehingga program ini terpaksa dibatalkan saat akhir sedangkan segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin. Apakah kerana sikap keterbukaan serta kelantangan Saifuddin yang cuba membawa pendekatan baru dalam menangani isu mahasiswa serta AUKU, maka beliau juga disenarai hitamkan? Apakah masalahnya jika AUKU turut menjadi isu perbincangan kerana ia dibincangkan secara ilmiah, bukan atas dasar sentimen semata-mata. Lebih dari itu, siapa lagi yang layak membincangkan isu ini melainkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri yang mempunyai autoriti dalam AUKU.
DPPWP kesal kerana dalam keadaan UIAM mengejar status antara universiti yang ulung dan hebat di negara ini bahkan di rantau Asia, wacana intelektual dan ilmiah bagi mencambah minda mahasiswa dibatalkan. UIAM sepatutnya menjadi pentas membina kematangan dan intelektualisme kelas dunia kepada mahasiswa, sesuai dengan statusnya sebagai universiti bersifat antarabangsa.
Jika beginilah sikap pentadbiran UIAM, ia menunjukkan UIAM bukan semakin melangkah ke hadapan, tetapi semakin mengundur ke belakang. Sikap ini adalah mentaliti ketinggalan zaman yang membekukan minda mahasiswa dari berfikir secara rasional. Sudah tentu, UIAM tidak mampu melahirkan insan terbilang serta tokoh dan pemimpin negara di masa depan. Sebaliknya, keadaan ini hanya menghasilkan insan yang berjiwa kerdil, jumud, konservatif serta tidak berfikiran rasional.
*Kenyataan media oleh Mohamad Suhaimi Abdul Aziz selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.