Dua Ribu Hadir Demonstrasi Anti-Lynas

KUANTAN 9 OKT : Sekurang-kurangnya 2,000 orang membanjiri pantai Taman Gelora, disini hari ini bagi menzahirkan bantahan terhadap pembinaan logi nadir bumi di Gebeng.

Perhimpunan yang digelar "Himpunan Hijau 109" ini, bagaimanapun terhalang apabila anggota polis bertindak menghalang penceramah membuat ucapan.

Permit berhimpun dalam program NGO alam sekitar itu ditarik balik malam tadi ekoran terdapat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Bagaimanapun pagi ini, mereka tetap berkumpul mulai jam 8.30 pagi di bawah pemerhatian kira-kira 50 anggota polis.

Orang ramai kelihatan enggan berganjak dan membina benteng manusia, namun kumpulan itu diasak pihak polis, dipetik laporan Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohd Jasmani Yusof bagaimanapun tetap menegaskan supaya orang ramai bersurai, lapor portal web itu.

Pembinaan loji kontroversi ini menjadi titik pertembungan antara Barisan Nasional dan kumpulan Anti-Lynas yang disokong Pakatan Rakyat.

Kumpulan Anti-Lynas mendakwa loji itu akan menyebabkan keracunan radiasi terhadap masyarakat dan lingkungan sekitarnya.

Mereka tidak percaya terhadap jaminan yang diberikan dari Kerajaan Persekutuan bahawa operasi kilang itu kononnya menghasilkan tahap radiasi yang amat rendah.

Projek yang diusahakan oleh firma Australia, Lynas dijangka akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Hasil daripada tekanan bantahan rakyat, kerajaan persekutuan telah mengarahkan Agensi nuklear PBB - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menubuhkan sebuah panel pakar untuk memberi nasihat mengenai potensi risiko radiasi dari kilang tersebut.