Dakwa Ekonomi Rancak :Anwar bidas Najib




KUALA LUMPUR 10 OKT : Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa ekonomi negara berkembang baik dibidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya kata Anwar ekonomi negara masih rapuh dalam suasana ekonomi global tidak menentu.

Perdana Menteri meuar-uarkan seolah-olah ekonomi Malaysia sudah rancak semula dengan menyebut kejayaan menarik pelaburan asing (FDI) dalam tahun 2010 dan separuh tahun pertama 2011.

Kata Anwar, beliau (Najib) hanya menyebut prestasi Malaysia semata-mata tanpa perbandingan dengan aliran pelaburan sejagat atau prestasi-prestasi negara-negara pesaing di rantau ini.

"Prestasi pelaburan asing yang masuk ke Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik. Peningkatan enam kali ganda yang disebut oleh Perdana Menteri bagi tahun 2010 adalah kerana nilai pelaburan yang sangat rendah dalam tahun 2009, maka angkanya nampak lebih gah bila dibandingkan dengan asas yang sebegitu rendah,” katanya ketika membahas belanjawan 2012 di parlimen hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan “FDI Global Outlook Report” yang diterbitkan oleh Financial Times, edisi terbaru keluaran Mei 2011.

Dalam laporan itu Malaysia tidak termasuk dalam senarai.

Sebaliknya lima negara dalam senarai teratas berdasarkan jumlah projek pelaburan adalah China, India, Singapura, Australia dan Thailand.
Malah kata Anwar lagi, jumlah pelaburan asing yang masuk ke Vietnam dalam adalah RM87 bilion dan Singapura sebanyak RM39 bilion, berbanding jumlah RM29 bilion yang diperolehi negara dalam tahun 2010.

"Jika Malaysia mensasarkan pelaburan asing dalam industri berteknologi tinggi, kita semestinya ketinggalan jauh berbanding Singapura dan Australia,” katanya.

Tambahnya, jika Malaysia ingin bersaing untuk mendapatkan pelaburan asing dalam bidang pembuatan dan perkilangan, kita ditewaskan pula oleh Vietnam dan Bangladesh.

”Oleh itu, dewan perlu lebih berhati-hati dengan data-data yang dipersembahkan Perdana Menteri kerana ia mengenepikan gambaran keseluruhan kedudukan ekonomi negara. Sebab itu mungkin, Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai keadaan hutang negara yang semakin meruncing.

"Jumlah hutang negara yang telah mencecah RM437 bilion pada akhir Jun 2011 seperti angka rasmi Bank Negara Malaysia adalah paras tertinggi hutang negara dalam sejarah Malaysia,” katanya.
Laporan Majlis Kewangan Negara 2010 mukasurat 120 mencatatkan pola keberhutangan awam negara di antara tahun 1970 hingga 2009. Perenggan dua merujuk kepada usaha berterusan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK dalam tahun 90an hingga mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 31.9% pada tahun 1997.