RM1.8 Juta Bina Facebook Kem. Pelancongan ?



KUALA LUMPUR 14 JUN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Kementerian Pelancongan apabila membelanjakan RM1.8 juta hanya untuk membangun dan menyelenggara laman sosial Facebook, yang diketahui umum adalah percuma.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit menjelaskan RM1.8 juta itu digunakan untuk membangunkan 6 aplikasi interaktif dengan peminat laman tersebut.

Ini bermakna sebanyak RM300,000 digunakan untuk membangunkan satu aplikasi.

Aplikasi tersebut adalah Cuti- cuti 1Malaysia, Citra Warna 1Malaysia, Karnival Jualan, Festival Pelancongan, Kempen 1Malaysia Bersih dan Fabulous Food 1Malaysia.

Laman sosial tersebut dilancarkan Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen sebulan lalu.

Dr James dalam jawapan lisannya di Parlimen hari ini berkata, kontrak membangunkan laman tersebut diberikan kepada Impact Creation Sdn Bhd selama 3 tahun bermula tahun 2011 hingga 2013.

Untuk rekod, Impact Creation sebelum ini mendapat pelbagai kontrak daripada Kementerian Pelancongan.

Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook dalam sidang medianya di lobi Parlimen hari ini berkata, Kementerian Pelancongan bukan sahaja perlu menjawab mengapa perlu membelanjakan jutaan ringgit bagi menyelenggara laman sosial yang percuma, tetapi juga perlu menjawab dimanakah kewajaran kementerian itu memperuntukkan RM300,000 untuk satu aplikasi sahaja ?

"Satu aplikasi, mereka belanja RM300,000. Apa aplikasi itu ? Satunya Citrawarna 1Malaysia. Apa itu Citrawarna 1Malaysia ? Ia hanyalah sebuah permainan ! RM300,000 hanya untuk permainan internet," katanya.

Siew Fook menambah, aplikasi permainan internet seperti itu telah dibangunkan pekerja di ibu pejabat DAP dan ia adalah percuma.

"Permainan ini, pekerja ibupejabat DAP pun boleh buat. Kita sudah buktikan, pada pilhan raya negeri Sarawak. Ia adalah percuma. Kalau tidak ada pekerja di Kementerian Pelancongan boleh buat, biar pekerja DAP buat," katanya.

Dr James dalam jawapan lisannya juga menjelaskan Impact Creation dibayar untuk memantau dan menyelenggara laman tersebut.

"Ia merangkumi kerja- kerja kreatif, konsep dan idea, rekabentuk, 'programing' dan 'coding', 'testing' dan 'debugging', 'uploding' dan 'launching application', 'system server' dan 'maintanance' dan deployment, development and content database, camping managment and monitoring serta online advertisment and fans equiptment di Facebook dan Google,"katanya.

Siew Fook menambah, sehingga kini laman sosial itu hanya mengumpul kira- kira 20,308 peminat sahaja berbanding laman Facebook 'Visit Penang', milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang mendapat 100,000 peminat tanpa membelanjakan waima satu sen pun.

"Ini adalah skandal membazirkan dana awam. Malah Ahli Parlimen Rembau, Khairi Jamaluddin pun cakap ia membazir," ujarnya.

Khairy, dalam soalan tambahannya bersetuju dengan Loke bahawa peruntukan RM1.8 juta itu adalah satu pembaziran dan berkata kurangnya minat laman Facebook kementerian itu tidak mencerminkan jumlah besar yang dibelanjakan.

Khairy juga membangkitkan sama ada kementerian menetapkan sebarang petunjuk prestasi (KPI) bagi memantau pencapaian agensi yang dilantik untuk melaksanakan penjenamaan itu.

"Apa KPI kepada syarikat berkenaan. Dari segi periklanan apakah tambahan mereka dan revenue yang dapat digenerate hasil usaha syarikat itu membuat online advertising," soalnya.