711 Peneroka Saman Felda RM344 Juta





TEMERLOH 17 JUN : Seramai 711 peneroka dari kawasan Felda Jengka, Pahang hari ini memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM344 juta berikutan penipuan dan pecah amanah yang dilakukan agensi itu.

Peneroka terbabit dari Felda Jengka 3, 4, 5, 6, 8, 9 , 12 dan 13, diwakili peguam Sivarasa Rasiah memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh pagi tadi.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

R Sivarasa berkata, saman itu dibuat berikutan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diterima mereka sejak 15 tahun lalu.

Menurut Sivarasa, peneroka terbabit menerima KPG yang rendah dari nilai sebenar iaitu antara 17 hingga 18 peratus.

Beliau berkata, peneroka berkenaan sepatutnya memperoleh KPG yang lebih tinggi sehingga boleh mencapai ke tahap 32 peratus.

"Bayaran yang diterima peneroka daripada Felda dibuat tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mereka membuat keputusan membayar sebanyak 18.5% (perahan KPG) sejak tahun 1995." ujarnya.

"Apa yang mengejutkan setelah kita melakukan ujian makmal terhadap sampel (sawit) ini, kita dapat secara purata (Oil Extraction Rate, OER) sebanyak 31.59%, itulah yang kita katakan penipuan." katanya ketika ditemui diluar perkarangan mahkamah.

Setiap 1 peratus KPG dianggar bernilai RM40.Sekiranya jumlah itu dikira sejak 10 tahun lalu, setiap peneroka terbabit mengalami kerugian tidak kurang RM100,000.

Jelas Sivarasa lagi, segala penyelewengan yang dilakukan Felda sejak 15 tahun terhadap Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG) yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Katanya, mereka mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang, bagaimanapun peneroka terbabit hanya dibayar oleh Felda pada purata harga RM560 setan pada tahun yang sama.

Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30, 912 bagi tahun 2008 sahaja.

Ujarnya lagi, saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh itu merupakan susulan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu yang memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

Dalam pada itu, peneroka juga mendakwa bahawa Felda turut melakukan penyelewengan dalam kes buah kelapa sawit yang mana ia telah ditolak agensi itu kerana tidak memenuhi syarat piawaian yang ditetapkan, namun buah sawit terbabit tidak dikembalikan semula kepada peneroka.

Peneroka mendakwa Felda telah mengaut keuntunggan kira-kira RM 14,333,760 bagi tempoh 15 tahun daripada hasil penyelewengannya itu.

Peneroka menganggarkan sebanyak 200 Kilogram buah kelapa sawit telah diseleweng oleh Felda setiap bulan sebulan dan sejumlah 2.4 tan setahun.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, lebih banyak lagi saman yang akan dikemukakan oleh golongan peneroka ke atas Felda.

"Ini adalah keadilan yang kita mahukan, terima kasih kepada saudara-saudara yang berani dan InsyAllah ia akan mencetuskan gelombang supaya semua Felda termasuk generasi kedua yang mana hari ini cukup tersisih oleh pengurusan Felda. Jadi diharapkan Felda tidak lagi menyalahgunakan kuasa demi mendapat keuntungan yang tinggi. Kita khuatir keuntungan hasil titik peluh felda ini digunakan untuk kepentingan politik UMNO-Barisan Nasional." tambahnya.

Hadir sama ketika memfailkan saman terbabit adalah peguam Latheefa Khoya, Fadia Nadwa Fikri dan T.Kumar.

Pada 14 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2, selepas gagal membayar semula wang caruman yang disimpan peneroka di bawah tabung wang tanam semula yang diurus agensi itu.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung isu KPG.

Sebelum ini, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias di Negeri Sembilan juga memfailkan saman sebanyak RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan dalam isu yang sama.Pada 12 Jun tahun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.