Dr Chong Dakwa Projek IC Hulu Selangor Sama Seperti Di Sabah




PETALING JAYA 18 MEI : Modus operandi pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Selangor yang didedahkan oleh ahli parlimen Ampang Zuraidah Kamarudin minggu lalu dipercayai bermotif sama dengan 'Projek IC' atau 'Projek Mahathir' yang berleluasa di Sabah pada tahun 80-an dan 90-an.

Seorang aktivis dari Sabah Dr Chong Eng Leong tampil di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini menceritakan situasi sebenar di Sabah apabila Kerajaan Umno- BN mula merancang rampasan kuasa terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS) pada awal 90-an.

Menurut beliau, perancangan itu melibatkan mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub

"Seorang bekas Ketua Kampung dan ahli Umno Hassnar Ebrahim ikut bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara...Bila ada yang membantah dia (Megat Junid) kata (Tun) Mahathir benarkan rancangan ini," katanya kepada media di sini.

Caranya menurut Chong cukup mudah iaitu membuat satu surat akuan dan ditandatangani oleh Ketua Kampung yang terlibat dan selebihnya akan diuruskan Kerajaan.

Menurut Chong lagi ia membantu rampasan Umno di Sabah pada 1995 dan meneruskan penerajuaan Umno di Sabah sehingga kini.

"Pada 1991, satu Jawatankuasa Khas Umno Sabah ditubuhkan untuk cari pendatang Asing dan beri mereka IC. Ketua Mereka Musa Aman, Ketua Menteri Sabah kini dan Yahya Hussin, Timbalannya. hal ini didedahkan oleh Jabar Khan, bekas setiausaha Musa sendiri," tegas Chong lagi.

Hassnar dan Jabar telah mendedahkan perkara ini kepada media pada 2006 namun tidak dilayan oleh Kerajaan Umno.

Chong merupakan pengarang buku "Lest We Forget' yang membincangkan mengenai masalah keselamatan dan pendatang tanpa izin di Sabah.

Beliau turut merupakan calon Pilihan Raya DUN Likas bagi PBS pada 1999 dan berhasil membawa petisyen sehingga Mahkamah Tinggi Sabah menolak daftar pengundi bagi kawasan itu dan memaksa berlakunya Pilihan Raya Kecil ketika itu.
Kejadian ini turut memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya meminda Undang-undang Pilihan Raya dengan menetapkan daftar pemilih yang telah digazet tidak boleh dicabar di mahkamah.
Chong turut bersetuju dengan janji buku Jingga Pakatan Rakyat yang akan mengadakan Inkuiri Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat hal ini demi menjamin kedaulatan dan hak rakyat Sabah.

Ini kerana menurut Chong, sehingga 2005, terdapat lebih 600 ribu rakyat yang diragui kerakyatannya di negeri itu.

Pemimpin Pakatan Rakyat seperti Lim Kit Siang telah membawa perkara ini ke Parlimen pada 2008 namun tidak diendahkan Kerajaan Pusat.

Justeru Chong menganggap Pakatan Rakyat merupakan harapan kepada Rakyat Sabah dan Malaysia yang kehilangan hak mereka di tangan pendatang asing ini.

"Umno tak akan buat RCI sebab mereka pun terlibat.

"Janji Pakatan Rakyat dialukan dalam buku Jingga untuk lakukan penyiasatan ini. Akhirnya dapat satu Parti Nasional yang mengambil peduli nasib kami, " kata Chong lagi.