KUALA LUMPUR 20 MEI : Kira- kira seribu rakyat berkumpul di KLCC hari ini bagi menghantar memorandum membantah pembinaan Loji Nadir Bumi, ke Kedutaan Australia.
Memorandum berkenaan mendesak kerajaan Australia bertanggungjawab terhadap risiko radioaktif dan memberi tekanan kepada syarikat Lynas Corporation yang berpangkalan di negara itu, supaya membatalkan cadangan memproses tanah jarang di Gebeng, Pahang.
Diketuai oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam Tee Hong, mereka berarak dari KLCC ke Kedutaan Australia, sejauh 400 meter.
Walaupun dalam keadaan hujan, mereka bersemangat melaungkan slogan 'Hidup Rakyat' dan 'Hentikan Lynas' selama kira-kira 2 jam dalam keadaan aman.
Bagaimanapun, Polis telahpun melakukan sekatan jalan di sekitar Jalan Yap Kwan Seng, berhampiran kedutaan Australia dan hanya membenarkan 6 orang wakil memasuki jalan tersebut.
Fuziah dan delegasinya berjaya menemui Pemangku Timbalan Duta Besar Australia, Arthur Spyrou yang berjanji menyampaikan memorandum tersebut kepada kerajaan Australia.
Fuziah menyatakan kebimbangan penduduk Gebeng dan Kuantan dengan tahap keselamatan yang tidak telus selain Lynas sendiri tiada pengalaman dalam operasi loji berkenaan.
Menurut Fuziah lagi, Lynas memilih Malaysia sebagai lokasi loji ini kerana Undang-undang Australia yang ketat dalam penjagaan alam sekitarnya.
"Lynas dapat lesen di Australia. Tapi mereka tidak pilih untuk buka kilang di situ. Di situ regulasi ketat dalam menjaga alam sekitar, badan penjaganya ialah Lembaga Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA) yang ada 41 komitmen yang perlu dijaga dengan pelbagai aspek.
"Di Malaysia badan pengawalnya ialah Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (AELB) yang hanya memikirkan impak radiasi dan tahap radioaktif," kata Fuziah dalam sidang media selepas bertemu Arthur.
Fuziah memberi contoh betapa AELB tidak dapat berfungsi seperti EPA kerana sekatan jurisdisi dan penguatkuasaan lemah dari Kerajaan Malaysia sendiri.
"Di Zon Penghadang (Buffer Zone) Australia, ada radius 30 km, tak boleh ada penduduk. Di Gebeng ada 70 ribu penduduk dalam radius 30 km itu. Kami bimbang Lynas mengambil kesempatan dengan undang-undang Malaysia," kata Fuziah lagi.
Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam pula mahu Lynas keluar dari Malaysia pada akhir Ogos ini.
"Kita dapat lihat perkembangan di Australia sekarang yang menekan hal Lynas. Kita harap Lynas dapat keluar dari negara ini sebelum 31 Ogos. Ia hari kemerdekaan kita. Apa guna kemerdekaan jika kita tidak dapat bebas, dan sisa radioaktif akan kekal selama berjuta tahun," kata beliau.
Beberapa aktivis dan Wakil Rakyat Pakatan Rakyat turut hadir memberi sokongan.
Antaranya ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Exco Pelancongan, Elizabeth Wong dan Exco Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail.
Rodziah ketika ditemui media menyatakan betapa Kerajaan Selangor menyokong bantahan tersebut kerana bertentangan dengan agenda pembangunan insan.
"Saya datang untuk nyatakan sokongan Kerajaan Selangor dan sama-sama meminta Lynas memberhentikan operasi Sekarang. Stop Lynas Now!
"Rakyat berhak tahu dari sudut keselamatannya. Yang saya tahu Australianya pon tak benarkan kenapa kita nak benarkan di sini ?," tegas beliau.