KUALA LUMPUR, 18 April: WikiLeaks melaporkan bahawa media tradisional negara telah membuat laporan palsu mengenai kehilangan jet engin F5, yang didakwa lesap secara tetiba pada 2008.
Berdasarkan kabel diplomasi Amerika Syarikat (AS) yang diledakkan WikiLekas, seorang anggota Kementerian Luar Negeri telah memberitahu Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa media tradisional negara telah mengeluarkan ‘banyak kenyataan menyeleweng dan silap’ mengenai kehilangan dua engin jet buatan AS pada Disember 2009.
Kedutaan AS turut melaporkan kepada kerajaan AS bahawa mereka susah untuk mempercayai penjelasan kerajaan Malaysia mengenai skandal tersebut.
“Kami berkongsi ketidakpercayaan yang dicetuskan di dunia blogger mengenai kes dan penjelasan kerajaan mengenai orang di belakang skandal ini,” kata kabel itu lagi.
Mengikut kabel itu lagi, Kementerian Pertahanan yang di bawah jagaan Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu turut didakwa cuba mengelak daripada memberikan penjelasan bagaimana kes ini dikendalikan..
Kedutaan AS juga berpendapat Kementerian Luar Negara cuba menjauhkan diri daripada skandal tersebut.
Kabel yang bertarikh 10 Januari 2010 ditulis oleh kaunselor politik, Brian McFeeters dan ditandatangani Duta AS James Keith turut menamakan pegawai Malaysia yang dimaksudkan iaitu Mohamed Radzi Jamaluddin, pembantu setiausaha jabatan Amerika dari Kementerian Luar Negeri.
Radzi dilaporkan berkata media tradisional telah berbohong melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah meminta bantuan daripada AS dalam skandal enjin jet F5, kerana sekiranya benar, permintaan tersebut akan melalui Kementerian Luar Negeri.
Dalam tulisannya, McFeeters turut melaporkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Malaysia.
Sebanyak 3 kabel didedahkan oleh WikiLeaks minggu lepas, menyentuh mengenai skandal kehilangan enjin jet F5. Enjin J85-21 yang dibuat oleh General Electric digunakan dalan Northrop F-5 jet ringan sejak 1970 masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF).
Berita kehilangan engin jet mula-mula diledakkan oleh Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pda 19 Disember 2009, hari yang bertembung dengan konvesyen Pakatan Rakyat yang pertama, di mana Kedutaan AS berpendapat satu peristiwa yang mungkin menenggelamkan pengumuman kementerian tersebut.
RMAF turut didakwa tiga kali gagal untuk memaklumkan peristiwa tersebut kepada AS, dimana kabel itu melaporkan AS hanya dimaklumkan pada awal Januari 2010. Difahamkan enjin jet termaktub dalam perlembagaan pertahanan AS (United States Munitions List), di mana pemindahan secara tidak sah adalah bercanggah dengan perkara 3 dalam Arms Export Control Act, di mana kehilangan jet engin J-85 di Malaysia tertakluk kepada undang-undang ini.
Sementara itu, kabel turut melaporkan bahawa Kedutaaan AS turut menyoal pegawai daripada Malaysia mengenai lokasi spesifik enjin yang didakwa kecurian ekoran laporan media tradisional yang mengatakan bahawa engin tersebut sudah dijual kepada satu syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika Selatan.
“Mereka mungkin tak tahu lokasi atau disuruh merahsiakan info ini sehingga polis menghabiskan siasatan. Malaysia juga tidak memberikan penjelasan yang cukup, kenapa, selepas dua tahun, perkara ini tiba-tiba menjadi pengetahuan umum,” kata kabel itu lagi.
Kabel itu turut menyatakan bahawa terdapat laporan portal berita berkecuali yang melaporkan bahawa enjin tersebut mungkin telah tiba di Timur Tengah, terutamanya Iran, sebagaimana yang dinyatakan pihak polis di awal laporan media tradisional ketika kes ini diledakkan.
Di satu sidang akhbar, kabel itu berkata Peguam Negara, Abdul Ghani Patail telah dilaporkan berada dalam keadaan defensif ketika ditanya mengenai hubungan denga Iran, dan semua laporan mengenai kemungkinan enjin yang hilang tersebut kini berada di Timur Tengah atau Iran hilang daripada paparan media tradisional. |