SHAH ALAM 10 APRIL: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie menyifatkan Umno-Barisan Nasional terlalu taksub menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi video seks fitnah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga membelakangkan keperluan menubuh badan sama untuk membela kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di perkarangan pejabat SPRM.
Malah, katanya, sifat lembab dan lepas tangan kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan kepentingan awam semakin menyedarkan masyarakat Melayu umumnya dan khususnya di Selangor, bahawa Umno-BN lebih berminat mencari keuntungan politik dan bukannya menegakkan kebenaran.
Jelas Shuhaimi, PKR Selangor memandang serius ketidakseriusan kerajaan persekutuan dalam membela Allahyarham Sarbani selepas kecuaian SPRM dikatakan membawa kepada kematian pembantu politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.
Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Seri Muda, perlaksanaan undang-undang tanpa kawalan dan nilai kemanusiaan tidak akan mendapat sokongan rakyat malah ia akan disalahgunakan sepertimana yang dilakukan oleh skuad polis rahsia Gestapo Nazi yang akhirnya menyaksikan rakyat dibelasah, diculik dan akhirnya dibunuh.
"UMNO-BN hanya penipu berskala global apabila kononya memperjuangkan nasib Islam dan Melayu dan tindakan menyisihkan kematian Sdr. Ahmad Sarbani memperkukuhkan dakwaan itu," kata Shuhaimi.
PKR Selangor mengajak rakyat agar bersatu hati dengan pimpinan PR yang konsisten memperjuangkan keadilan untuk rakyat daripada mereka yang rakus dan gila kuasa.
"Rakyat sedang melihat permainan pimpinan kerajaan UMNO-BN dalam isu kematian Allahyarham Sarbani. Harapan kita semoga ia membuka mata rakyat terhadap kezaliman sepanjang masa yang dilakukan oleh kerajaan UMNO dulu, kini selamanya penipu dan penipuan ini mesti dihentikan segera,' tegas beliau.