Pilu Hati Seorang Ibu


KUALA LUMPUR 13 APRIL : Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak kesayangan yang menjaga makan-minum dan menemaninya tiba-tiba ditangkap pihak berkuasa tanpa sebab munasabah.

Tanpa penjelasan dan setelah dua minggu tanpa khabar berita, apatah lagi kurang upaya, hati ibu ini terus dirundung pilu.

Kerinduan Mah Mat Deris, 67 tahun mendorong beliau hadir walaupun dalam keadaan uzur apabila Polis DiRaja Malaysia akhirnya membenarkan ahli keluarga menemui tahanan ISA Kadir Hashim di Bukit Aman hari ini.

Mah nyata masih sedih dan keliru dengan penangkapan anaknya itu sejak 1 April lalu mahu Kadir dibebaskan segera.

"Nak dia balikla, makcik tinggal seorang-sorang. Kalau boleh nak dia balik cepat," terangnya sayu kepada para wartawan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Kadir kudung pergelangan tangan kiri tetapi didakwa terlibat dalam kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit di bawah Seksyen 73(1) ISA.

Beliau ditangkap sekumpulan polis yang mengepung rumah Kadir dan Mah di Kampung Kerinchi seolah menangkap penjenayah bersenjata.

Mah datang bersama abang Kadir, Hisham Hashim dan berjaya menemui Kadir di sebuah bilik tertutup dan dikelilingi oleh lapan orang anggota Polis.

Hisham menyatakan Kadir dalam keadaan baik tetapi mempersoalkan tuduhan ke atas adiknya itu walaupun menurut Hisham, polis menyimpulkan adiknya tidak melakukan apa-apa.

"Bila kita tanya kenapa dia (Kadir) ditahan dibawah ISA, pihak polis mengatakan ada kegiatan subversif di internet, dan bermacam-macam lagi, bomlah, senjata apilah, dan semualah dia cakap. Tapi kesimpulannya bila saya tanya polis kata memang Kadir ni sepatutnya ditahan," kata Hisham kepada wartawan.

Hisham turut menerangkan adiknya itu tidak mampu melakukan seperti yang didakwa kerana kecacatan tangannya sejak kecil dan juga kesibukan menjaga ibu dan menguruskan perniagaan kedai makan di Kampung Kerinchi.

Malah beliau pelik dengan asosiasi Kadir terlibat dengan keganasan oleh segelintir pihak.

"Itu bukan isu dia sebab kalau keganasan, dia sepatutnya dibicara. Kita ada banyak akta dalam hal ini, kan? Yang kita bimbang keselamatan dia," tegas beliau.