Media Harus Fokus 'Datuk T' Bukan Individu Yang Belum Dikenalpasti






KUALA LUMPUR 5 APRIL : Walaupun polis mendakwa ia hampir selesai menyiasat laporan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakaman video seks yang ditayangkan di Carcosa Seri Negara minggu lalu, ketiga-tiga individu bergelar "Datuk T" masih bebas tanpa sebarang dakwaan.

Justeru anggota keluarga Anwar hari ini kecewa dengan sikap media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) yang cuba mengalih perhatian terhadap identiti lelaki yang masih belum dipastikan dalam rakaman video tersebut.

Bercakap pada sidang media di kediamannya pagi tadi, anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata pengamal media seharusnya mendesak polis menahan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl dan Bendahari Perkasa, Shuib Lazim ditangkap dengan segera.

Itu tidak dilakukan sebaliknya sesetengah media mengajukan soalan dengan agenda untuk "memerangkap" mereka sekeluarga, kata Nurul.

"Saya berasa kecewa kerana kami "dipaksa" untuk mengikut kehendak skrip. Namun tiada seorang pun bertanya mengapa orang-orang ini tidak ditahan. Anda ada dua undang-undang berlainan di mana orang membuat demostrasi di rapat umum dan tiga orang ini mengaku dan menyebarkan bahan lucah tapi mereka masih bebas.

"Saya rasa tidak mengapa untuk ditanya soalan lain tapi asasnya masih jelas mengapa mereka (Datuk T) tidak diambil tindakan oleh polis. Marilah kita kembali kepada soalan pokok," jelas Nurul Izzah.

Seterusnya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ditanya samada wajar video tersebut ditayangkan di parlimen, Nurul Izzah menjelaskan tindakan itu relevan jika klip tersebut masih belum tersebar luas di internet.

"Sekarang kita berhadapan dengan situasi di mana klip aksi adegan awal sudah dipaparkan kepada umum. Jadi mahu cakap tentang minta ahli parlimen untuk lihat saya fikir tidak berbangkit," ujarnya lagi.

Rata-rata anggota keluarga yang berada di kediaman Anwar sebentar tadi menyatakan kekesalan terhadap fitnah terbaru yang disebarkan kepada umum mengaitkan Anwar termasuk bapa Ketua Umum itu sendiri.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, dan Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.