BUTTERWORTH, 10 April — Pemuda Barisan Nasional (BN) harus memperhebatkan usaha menawan hati golongan muda Pulau Pinang yang menjadi kunci kepada usaha parti itu menawan kembali negeri tersebut, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy (gambar), ini kerana kejayaan menguasai semula Pulau Pinang akan memudahkan usaha BN merampas kembali negeri lain yang kini ditadbir Pakatan Rakyat.
Dipetik Bernama Online, Khairy berkata, Pulau Pinang dilihat sebagai kubu kuat pembangkang kerana beberapa pemimpin tertinggi mereka adalah anak jati negeri ini.
“Justeru kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang membawa makna yang besar,” kata beliau pada majlis perasmian program ‘Jom Jelajah One Malaysia’ peringkat Pulau Pinang malam tadi.
Ketua Pemuda Umno ini berkata, kunci kejayaan BN pada pilihan raya umum ke-13 terletak di tangan pengundi muda dan Pemuda BN harus memastikan parti itu menerima sokongan golongan tersebut.
Katanya, kaedah terbaik mendekati golongan itu ialah menerusi program turun padang yang melibatkan penyertaan pemimpin Pemuda secara langsung dalam menangani masalah rakyat.
“Kita juga tidak boleh menumpukan pada satu-satu kawasan saja dan bersandarkan pada kekuatan satu parti komponen saja, tetapi BN memerlukan semua parti komponen berganding bahu mendapatkan sokongan rakyat tanpa mengira kaum,” kata beliau.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, menerusi cara itu juga BN menunjukkan kesepakatan dalam memastikan kebajikan semua kaum terjamin.