Fitnah diyakini makan tuan


aziz Muda

KUALA LUMPUR, 21 April: Sebaran fitnah yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Datuk Mohd Ghazali menerusi pemasangan banner-banner tidak bertanggungjawab hari ini, diyakini akan memakan tuannya sendiri.

Keyakinan itu disandarkan kepada pengakuan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan Kampung Baru sendiri, berkaitan sikap dan tindakan sebenar Dr Lo' Lo' berhubung kejadian itu yang sememangnya sudah berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu mangsa dan mengatasinya.

Beberapa orang penduduk yang ditemui mengakui, sebaliknya yang jelas tidak bertanggungjawab berhubung kejadian itu bukanlah Dr Lo' Lo', tetapi pihak yang menyebarkan fitnah itu sendiri, sehingga mereka bukan sekadar tidak melakukan sebarang tindakan bagi membantu mangsa dan mengatasi kejadian itu, malah tidak pernah menjenguk ke tempat kejadian sejak kejadian itu berlaku.

"Itulah yang dapat disimpulkan. Jadi pihak yang menjadi mangsa fitnah, khususnya Dr Lo' Lo', tidak perlu risau dengan fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi pemasangan kain rentang itu kerana ia dapat dinilai oleh orang ramai sendiri.

"Sebaliknya, pihak yang menyebarkan fitnah itu pula yang perlu berjaga-jaga kerana fitnah itu diyakini akan berpusing kepada mereka sendiri pula nanti," tegas seorang penduduk di Kampung Baru, Yusof Sukarman, 47, ketika ditemui di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemasangan banner-banner berunsur fitnah terhadap Dr Lo' Lo' hari ini, ekoran kejadian tanah jerlus di Jalan Syed Mahadi di Kampung Baru jam 12.15 malam, 14 April lalu.

Kejadian tersebut berlaku akibat longkang yang berada di bawah tanah di jalan tersebut pecah, apabila palung besar yang berada di atasnya yang membawa aliran air dari Sungai Bonus bersebelahan wisma Bernama ke Sungai Kampung Baru atau Sungai Klang, bocor kerana tersumbat dengan sampah sarap yang terlalu banyak.

Ini menyebabkan berlakunya penyerapan air ke dalam tanah yang membawa kepada mendapan tanah sehingga mencetuskan tanah jerlus dan banjir lumpur di kawasan itu, sekali gus merbahayakan rumah-rumah kediaman di sekitarnya.

Demi kepentingan politik kotor pihak tidak bertanggungjawab, mereka telah mengambil kesempatan memasang banner di beberapa tempat di Kuala Lumpur hari ini untuk memburukkan Dr Lo' Lo'.

Setakat yang dapat dikesan, banner-banner tersebut telah dinaikkan di tiga tempat iaitu di jejantas Jalan Raja Abdullah dekat Kampung Baru, jejantas berdekatan Tabung Haji dan jejantas dekat Jalan Gurney.

Lontoran kata-kata yang dipaparkan pada banner-banner itu masing-masing berbunyi "Dr Lo' Lo' hanya pandai cakap/janji tapi tak mampu selesaikan isu tanah mendap di Kampung Baru", "Tanah Kampung Baru mendap, apa Dr Lo'Lo' mampu buat?" dan "Tanah Kampung Baru mendap, rakyat perlu nilai kemampuan Dr Lo'Lo' selesaikan masalah".

Mengulas kejadian itu dengan lebih lanjut, Yusof berkata, seluruh penduduk di Kampung Baru sudah melihat sendiri Dr Lo' Lo' sememangnya tidak berdiam diri dengan kejadian itu, malah kerap kali dilihat berada di tempat kejadian dan melawat mangsa di pusat penempatan sementara bagi membantu mereka dari segala aspek.

Selain itu, Dr Lo' Lo' juga turut mengadakan pelbagai rundingan segera dengan pelbagai pihak berwajib sehingga mereka yang terbabit dibantu dengan sewajarnya, sehingga mereka dibenarkan pulang kembali ke rumah masing-masing setelah terjamin selamat.

"Tanah jerlus dan banjir lumpur yang berlaku di Jalan Syed Mahadi itu pun bukan salah Dr Lo' Lo'. Ia berpunca dari perancangan pembangunan yang tidak betul sejak puluhan tahun dulu lagi di Kampung Baru yang dah berlaku sejak Umno BN berkuasa di Kampung Baru.

"Penduduk Kampung Baru sendiri pun sejak dulu lagi tak setuju dengan perancangan pembangunan yang dilakukan oleh pihak Umno BN itu. Banyak benda yang tak kena. Sekarang ia telah mengakibatkan terjadinya tanah runtuh di Jalan Syed Mahadi.

"Itu pun nasib baik longkang sahaja yang pecah. Kalau palung besar yang berada di atas longkang itu yang pecah, pasti akan mengakibatkan kejadian lebih buruk lagi," tegasnya.

Kesemua itu, menurutnya, perlu dihalusi sendiri oleh pihak yang menyebarkan fitnah itu kerana ia jelas berpunca dari pihak mereka sendiri.

"Sebenarnya saya tahu siapa yang memasang banner-banner itu. Saya juga tahu siapa dalangnya. Tapi saya taknak sebutlah. Biar orang ramai tahu sendiri supaya orang ramai dapat menilai sendiri buruknya sikap dan tindakan mereka sejak sekian lama dulu.

"Saya hanya berharap agar pihak yang melakukan pekerjaan terkutuk itu sedar dengan apa yang mereka lakukan kerana setiap yang buruk pasti akan mendatangkan keburukan kepada pelakunya sendiri nanti," tegas beliau.