KUALA LUMPUR 27 APRIL : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa MCA dan Gerakan supaya berani bertindak untuk keluar dari kompenan Barisan Nasional(BN) segera memandangkan parti itu tidak lagi menjadi aset kepada parti itu sejak akhir-akhir ini.
Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar dalam kenyataan medianya berkata, Umno hanya menganggap Gerakan, MCA dan SUPP sebagai liabiliti kepada BN dengan siri-siri kekalahan parti itu pada pilihanraya yang diadakan sejak tahun 2008 dan terkini di Sarawak.
“DPPP berpandangan bahawa Umno yang menerajui BN menjadi punca rakyat menjauhkan diri daripada BN,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, dengan menanamkan semangat perkauman yang sempit jelas menampakkan Umno sememangnya suka agar rakyat saling curiga-mencurigai antara satu sama lain lebih-lebih lagi yang melibatkan bangsa dan kaum yang lain.
Katanya lagi, tindakan Perkasa yang berdemonstrasi di hadapan Pejabat MCA Isnin lalu diadakan semata-mata untuk menyokong ‘lidah rasmi’ Umno iaitu Utusan Malaysia sekali gus mengesahkan Umno sememangnya parti perkauman yang semakin melampau dan slogan ‘1 Malaysia’ jelas hanya retorik.
Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, dengan keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ditambah dengan keputusan dalam Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008 ia jelas menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina kepada MCA dan Gerakan semakin merosot.
Malah katanya, MCA dan Gerakan kini bukan lagi tempat bergantung kaum Cina, sebaliknya pengundi kaum itu hari ini lebih selesa untuk bersama dan menyokong parti DAP.
Jelasnya, MCA dan Gerakan sekarang boleh diumpamakan seperti ‘rumah kosong’.
Ujarnya lagi, dengan pengakuan Ketua Biro Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh bahawa masyarakat Cina tidak akan kembali kepangkuan BN hanya kerana kerajaan membekalkan mereka dengan 'kemudahan kelas pertama'.
Baljit berkata, ini adalah kerana rakyat sudah jelak melihat tingkah laku pemimpin BN yang sombong, angkuh, zalim serta hidup dalam kemewahan atas penindasan berpanjangan kompenan itu terhadap rakyat hari ini.
Malah katanya, ia menjadi bertambah buruk dengan adanya kes-kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, amalan kronisme BN sejak sekian lama menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap parti itu.
“Apa yang rakyat perlukan sekarang adalah pemimpin yang rendah diri dan bukannya pemimpin bongkak,” ujarnya.
Ujar Mohd Firdaus lagi, parti yang berasaskan perkauman seperti yang diamalkan BN hari ini sudah tidak lagi relevan.
Beliau menambah, rakyat mahu melihat parti dan pemimpin yang memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan.
Menurutnya lagi, perjuangan berasaskan perkauman sudah lama ditinggalkan kerana rakyat kini lebih mengutamakan semangat perpaduan antara kaum.
Mohd Firdaus berkata, melalui gagasan Pakatan Rakyat (PR) masyarakat hari ini bersikap lebih terbuka untuk menerima politik era baru berteraskan ketuanan rakyat tanpa mengira mana-mana bangsa dan PAS sendiri telah melebarkan ‘uslub’ dakwah kepada yang bukan Islam tanpa mengadaikan mana-mana prinsip yang dipegangnya selama ini, sekali gus membolehkan pelbagai bangsa berada dalam parti Islam itu.
“Situasi ini menyebabkan Umno BN merasa panik lalu cuba menjuarai isu-isu remeh yang melibatkan bangsa Melayu tanpa mempedulikan perasaan parti komponen yang lain di dalam BN,” ujarnya.
Mohd Firdaus menambah, rakyat di mana-mana belahan dunia kini hanya akan melaungkan slogan yang mahukan perubahan.
Katanya, di negara-negara Asia Tengah perubahan sedang berlaku malah ia sedang merebak ke Malaysia dan sebagai permulaannya adalah di negeri Sarawak, dimana rakyatnya menzahirkan sentimen kebencian terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud sehingga menyebabkan penduduk bandar khususnya berbangsa Cina menolak terus BN.
“Di Semenanjung hari ini, rakyat khususnya di kawasan bandar sudah membuka mata melihat keabsahan pemerintahan BN yang memiskinkan dan menekan rakyat. Perubahan itu mesti berlaku dan sedang berlaku,” katanya.
Katanya lagi, semakin lama BN memerintah semakin jelas menampakkan ketempangan yang berlaku di negara ini sekali gus menyifatkan BN sebagai sebuah kapal yang sedang menanti untuk karam.
“Dalam keadaan demikian, apakah perlu lagi MCA dan Gerakan berpaut kepada BN?” soalnya
Justeru itu, DPPP menyeru MCA dan Gerakan segera mengambil langkah keluar dari BN dan menyertai PR.
“Rakyat kini sudah menganggap PR adalah parti masa depan mereka. Hanya dengan cara inilah MCA dan Gerakan mampu kembali ke persada politik negara dan memenangi jiwa rakyat,” katanya.