KUCHING 12 APRIL : Pembaharuan politik yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat adalah untuk menerapkan sistem pemerintahan yang beramanah dan berwibawa di Sarawak , bukan semata-mata untuk menuntut pengunduran Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran pucuk pimpinan harus seiring dengan perubahan dalam sistem pemerintahan yang mencorak dasar sesebuah negara atau negeri.
"Politik ini bukan soal peralihan kuasa. Perdana Menteri dan Ketua Menteri silih berganti tapi yang kita mahu ubah ialah sistem,” kata Anwar dalam ceramahnya di Satok.
“Yang kita suruh berhenti bukan Taib seorang, tapi seluruh kekuatan Barisan Nasional Sarawak," tegas Anwar, disahut tepukan gemuruh hadirin yang rata-rata masyarakat kaum Melayu.
Anwar yang berada di Sarawak sejak minggu lalu kini giat menjelajah ke seluruh pelusok Sarawak untuk membantu calon-calon Pakatan Rakyat melakukan kejutan pada pilihanraya negeri Sabtu ini.
Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, PKR meletakkan calon muda, Ahmad Nazib Johari untuk pertandingan satu lawan satu menentang calon veteran BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Abang Johari mempertahankan kerusi itu untuk penggal ke lapan.
Dalam ucapannya, Anwar mengupas soal hak kesamarataan yang dinafikan kepada penduduk Sarawak.
Beliau membidas pemimpin-pemimpin BN yang berjuang atas nama Melayu namun membiarkan kaum itu hidup dalam kedaifan di bumi Sarawak.
Justeru Ketua Pembangkang itu, pengundi Sarawak tidak harus membenarkan BN pimpinan Taib terus-menerus memperlekehkan rakyat.
Beliau berkata masa sudah sampai untuk Sarawak membebaskan diri daripada cengkaman Taib yang selama ini memperalatkan rakyat demi memperkayakan diri.
"Jangan orang lain berani bodohkan dan menjadikan rakyat kuli mereka," tegas Anwar.
Anwar turut isu kitab Injil versi Bahasa Malaysia (Alkitab) yang mencetuskan kemarahan rakyat beragama Kristian kerana setiap penyelesaian yang ditawarkan Umno berpandukan kepada mencari kelebihan politik semata-mata.
Katanya, sejak zaman kebangkitan Islam, penganut islam dan Kristian sering bertolak ansur demi menjaga keharmonian dengan mempercayai prinsip agama masing-masing sekaligus menolak perhambaan keatas umat manusia.
Anwar seterusnya berkata, sekiranya rakyat Sarawak memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada pilihanraya negeri kali ini, maka
perubahan sistem dan dasar kesaksamaan akan dijulang sekaligus mengembalikan hak semua kaum.
"Dia kata kalau Anwar, Tok Guru Nik Aziz kalau perintah beri semua kepada Cina. Itu kempen dia (BN). Saya kata hak dia kita beri, saya tidak bimbang. Saya mahu jawab kalau kami perintah, Insyallah pada ketikanya, kami akan adil kepada Melayu, Cina, Iban dan India," ujarnya lagi.
Pilihanraya negeri Sarawak ke 10 kali ini dijangka sengit berikutan Pakatan Rakyat meletakkan calon pada hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan.
Gagasan itu mensasarkan kemenangan sekurang-kurang 24 buah kerusi bagi menafikan majoriti dua pertiga BN.