PULAU PINANG, 10 Feb: Seperti biasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Majlis Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1432H/2011M bertempat di Padang Kota Lama pada 15 Februari ini bermula jam 7.00 pagi. Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagaimana tahun lalu temanya tetap sama iaitu 'Wasattiyah Tunggak Kecemerlangan Ummah' yang menjurus kepada maksud melahirkan kesederhanaan dalam Islam. Menurutnya, memandangkan program ini merupakan kesinambungan kepada program tahun lepas kebanyakan pengisianya tidak berubah, cuma individu yang terbabit sahaja yang berganti contohnya ceramah Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Sheikh Faisol Omar dari Jabatan Agama Islam Kedah dan persembahan nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010. Katanya lagi, bacaan kitab Bidayat As-Sul Fi Tafdil Rasul selama dua hari berturut-turut di Masjid Negeri tetap disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang pada 12 dan 13 Februari. Ia, tambahnya akan diikuti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil pada 14 Februari di Masjid Negeri bermula jam 7.00 malam yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Beliau berkata, seramai 4,000 peserta pembarisan dijangka akan mengambil bahagian pada perarakan tahun ini yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta lain-lain. Pada hari yang sama juga, katanya diadakan Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang di mana antara pengisiannya ialah anugerah khas Maulidur Rasul kepada personaliti yang mencipta nama peringkat negara dan antarabangsa, pelancaran Dana Wakaf oleh Yang Dipertua Negeri, ceramah Maulidur Rasul serta persembahan nasyid. Katanya, kali ini juga Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) telah mengadakan jalinan kerjasama untuk menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 10 hingga 20 Februari di samping memperkenalkan Pameran Tamadun Islam pada 15 Februari di tempat yang sama. "Dengan pemberitahuan ini tiada lagi mana-mana pihak mengambil peluang menghentam kerajaan negeri kononnya tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sepertimana kekecuhan di tahun lepas," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung. |