KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pendaftaran pemilih baru pada suku terakhir 2010, melibatkan bulan Oktober hingga Disember, meningkat secara ketara sehingga mencecah 300,000 orang – dilihat dipengaruhi ‘demam’ spekulasi pilihan raya umum dan gerakan pendaftaran secara agresif oleh parti-parti politik.
Perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.
Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.
Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.
“Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi,” kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said dalam satu kenyataan.
Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.
Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).
Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah permohonan baru kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.
Dalam kenyataanya hari ini Sabri berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga 15 Februari ini di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.
Sehubungan itu kata beliau, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi harus menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.
“Dalam hal ini mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” katanya.
Beliau berkata, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C.
Kata Sabri, selain mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.
“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meningal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau perkhidmatan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” katanya.
“Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan kepada pemilih-pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka,” katanya.
Kata beliau, ia penting bagi memastikan pemilih-pemilih terbabit didaftarkan di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau pun menukar lokaliti seseorang tanpa dipohon.
“Jika keadaan ini berlaku menjadi sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti dan maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR,” katanya.
Selain itu katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.
“Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.
“Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010,” katanya.