Yang Silap Pastinya Kita, Yang Benar Semuanya Dia.

Yang Silap Pastinya Kita, Yang Benar Semuanya Dia.


Merah, Biru, Putih. Cantik!!!

Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya mengangkat nama dan menjulang tinggi martabat pemimpin PKR.

Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya menghamput nama dan menginjak hina maruah dan jasa pemimpin Umno.

Saya tidak pernah minum bersama Zaid Ibrahim tetapi saya pernah makan semeja dengan Azmin Ali. Saya tidak pernah bersalam dengan Najib Razak tetapi saya kerap bersalaman, malah berpelukan dengan Anwar Ibrahim. Saya pernah ke pejabat Perdana Menteri tetapi saya selalu di pejabat Ketua Pembangkang. Saya tidak ambil pot jika ada pelawaan untuk menghadiri majlis oleh pemimpin Umno tetapi saya pasti akan usahakan untuk bersama dalam majlis bersama pemimpin PKR.

Seingat saya, semasa saya rajin bersama rakan-rakan Umno Johor (sebelum 1998) saya juga amat kritikal dalam perbincangan. Malahan dalam banyak hal, bangkangan saya jauh lebih keras dan kasar dalam menyampaikan ketidakpuasan hati. Kalau sekarang saya hanya dapat berjumpa dan bicara dengan pemimpin PKR dalam majlis yang dijemput, dengan pemimpin Umno, saya boleh berborak panjang di ruang tamu rumah mereka, ikut masa saya!

Demi mengharapkan suatu perubahan, saya memilih untuk tidak bersama rakan-rakan yang masih di dalam Umno. Saya memandang PKR dan Pakatan Rakyat sebagai wadah perjuangan yang awal anggapan dapat mengangkat kembali maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

Sekitar tahun 2003, dalam satu perjumpaan santai dengan Khaled Nordin (Dato' Sri) pernah saya dinasihatkan, "engkau jangan tersilap catur". Saya bertegas menyatakan pandangan dan fahaman saya betul. Saya bertegas menyatakan Anwar dan wadah perjuangannya wajar disokong. January 2010 lalu, Khaled telephone saya dan bertanya khabar, "Fi, apa khabar dengan wadah perjuangan kau?" Saya tidak jawab dan membawanya kepada topik lain. Saya sedar, dia memperli saya. Saya juga sedar, dia amat arif apa yang berlaku dalam PKR. Saya tidak mengalah dan detik hati mengatakan, mungkin Khaled yang yang silap. Tetapi.... !!!

Satu malam, sekitar bulan Ramadhan lalu di Puchong, saya berkesempatan untuk minum tea dan pekena roti canai dengan YB Marsom Paing (ADUN Dengkil, Selangor). Bersama lima rakan lain, kami bersembang tanpa menyentuh sedikitpun hal politik kepartian. Sembangan kami hanya menjurus kepada hal kemasyarakatan dan sedikit hal agama. Nyaman sembang kami. Topik kami berkisar tentang isu tol yang berselerak disetiap penjuru Puchong. Kami menganyam isu pasir yang masih tersembunyi. Kami berseloroh hal ada pemimpin yang bukan hanya takutkan isteri malah menjadi isteri kepada isteri.

Dalam seminggu dua ini, saya titipkan hal parti dokongan saya, PKR. Saya menegur, malah memarahi anak saya kerna saya menyayangi mereka. Saya juga mengkritik, malah bertengkar dalam beberapa hal berkaitan Umno satu ketika dulu kerna saya pernah sayangkan Umno. Maka, saya juga mengkritik, menegur dan membidas cara dan kaedah pengurusan dalam beberapa arena kepimpinan PKR kerna saya sayangkan PKR. Malangnya, kritikan dianggap hinaan. Bidasan dinilai sebagai cacian. Teguran dipandang sinis.

Silapnya saya kerna saya terlupa, "Apa saja yang ditulis para blogger pastinya betul jika berita/ceritanya mengangkat nama dan menjulang tinggi martabat pemimpin PKR."