Zaid tarik diri: Hormati keputusan ahli, gesa Azmin
SHAH ALAM, 8 Nov — Calon timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata keputusan ahli parti mesti dihormati di sebalik tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang memutuskan untuk menarik diri daripada saingan kerusi nombor dua itu atas alasan wujudnya kecacatan dalam pemilihan pusat.
“Kita mesti menghormati keputusan dibuat oleh ahli,” kata Azmin kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan Zaid awal pagi ini.
Selain memutuskan menarik diri daripada bertanding, Zaid juga mengambil keputusan meletakkan semua jawatan dalam parti.
Bercakap di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata demikian sebagai menafikan spekulasi umum bahawa beliau berperanan di belakang Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sehingga mengakibatkan keputusan pemilihan pusat di Sabah pada Sabtu dan Ahad lalu tidak menyebelahi Zaid.
Selepas 87 cabang iaitu satu pertiga daripada 222 cabang selesai pemilihan, keputusan tidak rasmi menunjukkan Azmin (picture) di depan dengan majoriti 2,620 undi.
Azmin mendapat 6,525 undi manakala Zaid menerima 3,905 undi setakat ini. Mustaffa Kamil Ayub masih di belakang dengan 1,215 undi.
“Malangnya, saya dianggap di belakang semua ini,” Azmin berseloroh selepas diserbu wartawan.
Bagaimanapun, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menganggap pengumuman yang dibuat Zaid pagi tadi harus dihormati kerana tindakan tersebut adalah sebahagian daripada proses demokrasi parti.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini menganggap pengumuman Zaid itu adalah tidak rasmi.
“Itu keputusan dia, dari awal saya melihat itu sebagai persaingan dalam parti, perlawanan persahabatan untuk menawarkan khidmat (untuk parti).
“Dari awal sumbangannya (Zaid) untuk bersama-sama membawa perubahan, tetapi kita harus menghormati keputusan sehingga hari ini yang dibuat oleh anggota-anggota parti khususnya di negeri Sabah.
“Ini adalah satu proses demokrasi yang harus diterima oleh calon-calon yang bertanding,” jelas Azmin sambil menganggap keputusan Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah bersifat peribadi, bukan berkepentingan parti.
Zaid membuat pengumuman mengejut pagi tadi kerana menganggap proses pemilihan PKR berlangsung secara tidak telus dan ada kecacatan.
Bagi Azmin, sekiranya pengunduran Zaid itu adalah rasmi sekalipun, tidak timbul soal beliau mempunyai peluang cerah untuk menang kerana proses pemilihan yang demokratik sebenarnya bergantung pada undi di kalangan anggota berdaftar.
“Saya fikir, kita harus terus menghormati proses pemilihan yang demokratik ini,” kata beliau.
Beliau turut menganggap respons Saifuddin mendedahkan empat ciri keselamatan pengundian sebagai menafikan dakwaan aktivis sosial Haris Ibrahim kononnya ada anasir jual kertas undi semalam adalah memadai.