“Ketua Polis Negara jahat, Peguam Negara jahat! - Nurul Izzah
KUALA LUMPUR : Berang dengan tindakan parti pemerintah yang tidak pernah berhenti-henti memberi tekanan ke atas keluarganya termasuk rakyat di negara ini, Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar mengecam Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sebagai penjahat terbesar di negara ini.
"Sekitar 1999 dahulu, tidak pernah saya menyangka bahawa saya akan terpaksa berdepan dengan semua hal ini. Dengan tidak semena-mena, keluarga kami dan kita semua turut terjebak dengan amalan konspirasi jahat ini.
"Ketua Polis Negara jahat, Peguam Negara jahat! Kita semua, rakyat Malaysia mesti bersatu padu untuk menghalau mereka yang jahat!" kata beliau ketika menyampaikan ceramah ringkas di sini semalam.
Ceramah umum anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berlangsung hampir setiap malam bermula di jam 9 bertempat di ibu pejabat PKR, bertujuan mendedahkan segala perkembangan terkini berhubung isu fitnah ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah berkata, perjuangan parti pembangkang di negara ini bukan mengejar pangkat, dan harta kekayaan.
"Kita buang segala kesenangan. Dalam perjuangan ini, projek pun tak ada, peruntukan pun tak ada," kata beliau.
Selain itu, ibu muda itu turut menyentuh hal kelebihan PKR yang banyak dianggotai oleh anak-anak muda.
"Kita mesti rancakkan penglibatan anak-anak muda dalam berpolitik. Anak muda hari ini mesti segera bangkit dan dibangunkan kesedaran mereka untuk menceburi bidang politik. Kalau tunggu sampai mereka masuk universiti, lambat sangat.
"Walaupun anak saya baru saja berusian tujuh bulan, tapi saya akan pastikan dia akan menjadi ahli Keadilan. Saya kata pada dia (anak), 'sorry brother', 'you' sudah pun menjadi ahli keluarga ini. Secara tak langsung, 'you' dah jadi ahli Keadilan sekarang," katanya, disambut gelak ketawa hadirin.