Enjin Jet Hilang : Siasatan Polis Meragukan - Mahfuz
Wednesday, 06 January 2010 11:02 AM
KUALA LUMPUR, 6 Januari : Kenyataan Peguam Negara tentang hasil siasatan yang dilakukan oleh polis mengenai kehilangan enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meragukan dan tidak meyakinkan. Peguam Negara telah mengumumkan tidak ada pegawai kanan atasan TUDM yang terlibat dengan kehilangan enjin jet itu.
"Persoalannya ialah adakah kehilangan enjin jet hanya membabitkan Pegawai Rendah dan anggota biasa sahaja? Ini bukan kehilangan spare part di kedai kereta yang boleh seorang pormen boleh masukan barang dalam poket dia dan keluar dari kedai tersebut untuk jual di pasaran gelap.
Kalau spare part kedai motor hilang bolehlah dikatakan tauke tak tahu ini enjin jet dan bukannya boleh dijunjung di atas bahu seorang prebet cabuk TUDM, melainkan mesti satu pakatan yang cukup berstrategi," jelas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataan medianya kepada Era Pakatan.
Menurut beliau siasatan polis yang diumumkan Peguam Negara sangat meraugakan. Hal ini kerana tempoh masa yang panjang setahun 4 bulan bermula dari Ogos 2008 untuk siasatan dan tolak menolak antara Peguam Negara dan PDRM memungkinkan sebagai satu strategi untuk memadam dan menghilangkan bahan bukti dan fakta kes yang membabitkan Pegawai Kanan atasan TUDM dan penglibatan politik di KEMENTAH dan Kerajaan.
Bukti yang jelas dalam kes kematian Altantuya ialah dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sepatutnya berada dalam simpanan Imegresen telah di hilangkan. Begitu juga dalam kes kehilangan enjin jet ini. Beliau dengan itu mencabar Perdana Menteri memanggil segera sidang khas Parlimen dan membawa satu usul pembentukkan Jawatankuasa Siasatan Bebas di bawah Parlimen.
Kenyataan awal yang di buat oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa ada pegawai pangkat Bregedia Jeneral dan berbagai pangkat telah di ambil tindakan di berhentikan kerana terlibat dalam kes ini tetapi kemudian di nafikan dengan kenyataan mengatakan mereka di berhentikan kerana kes yang lain. Ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba di sembunyikan," jelas Mahfuz lagi.
Bagi ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab pula menyifatkan ianya seperti cerita lawak dan sarkas. Beliau menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu ini kerana rakyat tidak yakin dengan kewibawaan pasukan penyiasat yang ada sekarang lebih-lebih lagi hasil penyiasatan tersebut disangsikan banyak pihak dan ianya disifatkan lucu bagaikan cerita lawak.
"Kita berdepan dengan banyak pengalaman sebelum ini seperti dalam kes mata lebam Anwar di mana hanya Suruhanjaya Diraja sahaja yang berjaya membongkar siapa terlibat dan bersalah sedangkan penyiasatan sebelumnya gagal mencari punca dan pesalahnya.
Jadi rakyat sebenarnya mahu suatu siasatan yang menyeluruh melibatkan pegawai tentera, pegawai-pegawai agensi yang terbabit serta menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Pertahanan dan TUDM. Sudah pasti jika bukan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat isu ini maka dikhuatiri pasukan penyiasat itu tidak mampu dan takut untuk menyiasat pegawai atasan dan menteri-menteri berkenaan," jelas Sofi Wahab.
Kongsi berita ini