Kabinet Pak Lah didalangi?
Aman Rais | Feb 21, 06 12:59pm
Baru Selesai sudah episod rombakan kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Mereka yang selama ini tertunggu-tunggu rombakan tersebut, akhirnya mengalami “anti-klimaks”. Memang ada perubahan dibuat tetapi ia tidak seperti yang dijangkakan. Ramai pemerhati politik berpendapat Pak Lah tidak mendapat ilham yang tepat. Ilham yang datang dalam rombakan kabinet Perdana Menteri itu dianggap tumpul dan menghampakan.
Sebelum ini, ramai berpendapat kabinet Pak Lah dibayangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka mengharapkan Pak Lah muncul dengan barisan kabinetnya sendiri – barisan kabinet Islam Hadhari!
Namun nama-nama yang dijangka digugurkan terus dikekalkan. Bukan sahaja mereka dikekalkan, malah dianggap sebagai “terlalu baik untuk digantikan oleh orang lain”. Dalam kes Datuk Seri Rafidah Aziz, misalnya, Pak Lah bukan sahaja mengekalkan beliau, malah mempertahannya kesilapannya. Kepincangan Rafidah menangani isu permit import (AP) kenderaan ditutup dengan segala kejayaan dan kebijaksanaanya memikat pelabur asing ke dalam negara.
Beberapa menteri dan timbalan menteri seperti Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Azmi Khalid dan Datuk Noh Omar, yang sebelum ini disebut-sebut bakal digugurkan, telah dikekalkan. Azmi dan Noh diberikan potfolio baru.
Antara pemerhati politik yang nyata paling kecewa dengan rombakan kabinet Pak Lah ini ialah Dr Mahathir. Walaupun beliau tidak menyatakannya dengan jelas, namun berdasarkan kritikannya terhadap dasar AP negara yang tidak berubah, jelas sekali beliau mengambil pendekatan “pukul anak, sindir menanti”.
Nyata sekali bekas Perdana Menteri itu kecewa Rafidah dikekalkan di potfolio lamanya – MITI.
Tindakan Pak Lah membawa masuk tokoh yang pernah digugurkan, Tengku Adnan Mansur juga mengejutkan banyak pihak. Rakyat tidak nampak apa rasional Pak Lah membawa balik wakil rakyat Putrajaya itu ke dalam kerajaan.
Pemerhati politik semakin pening memikirkan mengapa tiga wakil rakyat dari Wilayah Persekutuan (WP) dilantik sekaligus sebagai menteri penuh. Selain Tengku Adnan, dua lagi ahli Parlimen dari WP yang memegang jawatan menteri penuh ialah Datuk Zulhasnan Rafique (Wangsa Maju) yang menggantikan tempat Tan Sri Isa Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Umno WP
Adakah pengaruh Umno Wilayah Persekutuan menjadi penentu masa depan Pak Lah dalam parti?
Berdasarkan barisan anggota kabinet yang dikekalkan dan digugurkan itu, para pemerhati terutamanya pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) merasakan Pak Lah telah terlepas peluang untuk mengotakan janjinya memerangi rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan.
Pada awalnya, Perdana Menteri dijangka menggugurkan beberapa menteri yang dikatakan bermasalah. Ada sumber yang rapat dengan pejabat Perdana Menteri mengatakan, kerana mahu membersihkan kabinetnya, maka Pak Lah memerlukan masa berbulan-bulan untuk mendapatkan “ilham” bagi merombak barisan menterinya.
Kononnya, beliau terpaksa berhati-hati menapis dalam menggugurkan dan mencari pengganti bagi memastikan ”rambut yang ditarik dari dalam tepung tidak putus dan tepungnya tidak terurai...”
Namun ramai yang terkejut dan kecewa pada 13 Februari lalu apabila ramai menteri yang “bermasalah” terus dikekalkan. Lalu timbullah desas-desus dan pertanyaan di kalangan pemerhati politik: benarkah ini kabinet Pak Lah atau ia masih dibayangi oleh orang lain.
Ramai yang berpendapat bayang-bayang Dr Mahathir semakin terhakis walaupun ramai menteri yang dulunya dikaitkan dengan Wira Dunia Ketiga itu, masih dikekalkan oleh Pak Lah – antaranya Datuk Aziz Shamsudin, Datuk Zainuddin Maidin, Azmi Khalid, Datuk Mustapha Mohamed, Rafidah dan Datuk Johari Baharom.
Penyokong kuat
Namun mereka ini tidak lagi dilihat sebagai penyokong kuat Dr Mahathir, tetapi sebaliknya dikatakan sudah beralih menjadi penyokong setia Pak Lah. Sudah menjadi adat resam politik, sokongan untuk seseorang hanyalah ketika dia berkuasa. Apabila tiada kuasa, perasaan sayang akan melayang!
Jadi dengan tiada lagi bayang-bayang Dr Mahathir, tangan siapakah pula yang menjadi dalang dalam rombakan kabinet ini? Mengapa pemerhati politik tidak mahu mempercayai atau menerima sahaja bahawa kabinet yang ada ini adalah barisan pilihan Pak Lah dan bukan dibayangi oleh orang lain?
Adakah mereka tidak percaya bahawa Pak Lah sebagai seorang pemimpin veteran yang telah lama melalui asam garam politik, mampu membuat keputusan sendiri? Adakah mereka masih meragui siapa sebenarnya yang “in-charge” dalam kerajaan Malaysia sekarang?
Tidak mungkin barisan kabinet baru ini dibayangi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak walupun beliau berdiri tegak di kiri Pak Lah semasa pengumuman rombakan itu dibuat. Jadi kalau betul ada dalang yang memainkan wayang kulit rombakan kabinet itu, siapakah dia? Siapakah yang rapat dengan Pak Lah ketika ini? Siapakah penasihat atau kumpulan “think tank” beliau?
Adalah keterlaluan kalau ada pihak mengatakan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin yang mendalangi rombakan kabinet kali ini. Beliau hanya seorang budak mentah yang dirasai belum mempunyai kemampuan untuk mencatur pengerakan politik bapa mertuanya.
Sepak terajang politik Pak Lah tidaklah terlalu sumbang hingga perlu menjadikan Khairy menjadi “masater mind” beliau. Membina barisan kabinet negara bukan semudah membentuk pasukan bolasepak MyTeam!