APA PERUBAHAN YANG PMX LAKUKAN.



 Selama ini bukan sedikit yang mempersoalkan agenda reformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ada yang mendakwa reformasi hanya tinggal slogan, tetapi bagaimana pula dengan perubahan yang sudah dilaksanakan?





Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said tampil menjelaskan beberapa pembaharuan yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak 2023.


Antara yang paling menarik ialah usaha mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas lebih tiga dekad.


Langkah tersebut bertujuan memberikan Parlimen kebebasan lebih besar dalam menguruskan pentadbirannya sendiri, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada kuasa eksekutif.


Bukan itu sahaja, kerajaan turut melaksanakan pemansuhan hukuman mati mandatori, antara perubahan besar dalam sistem perundangan negara.


Pembaharuan lain turut melibatkan usaha menangani buli, jenayah siber serta memperkukuh perlindungan terhadap golongan rentan.


Dalam masa sama, akses rakyat kepada keadilan diberikan perhatian melalui penambahbaikan sistem bantuan guaman.


Menariknya, kerajaan turut memperkenalkan PETA Reformasi Institusi atau PETA Ri bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan pelaksanaan agenda reformasi dengan lebih telus.


Maknanya, rakyat bukan sekadar mendengar pengumuman kerajaan, tetapi turut diberikan ruang untuk melihat sejauh mana pembaharuan yang dirancang telah dilaksanakan.


Menurut Azalina, reformasi institusi merupakan proses berterusan dan bukannya sesuatu yang boleh diselesaikan dengan satu atau dua pengumuman.


Sebahagian perubahan telah diluluskan serta berkuat kuasa, manakala beberapa cadangan lain masih melalui proses penelitian dan pelaksanaan.


Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu disempurnakan. Malah, rakyat berhak terus mempersoalkan janji reformasi yang belum ditunaikan.


Namun, perubahan yang sudah dilaksanakan juga wajar dinilai berdasarkan pencapaian sebenar, bukan sekadar perdebatan politik.


Apa yang menarik, agenda reformasi turut melibatkan kesediaan kerajaan mengurangkan sebahagian kawalan pentadbiran eksekutif demi memperkukuh institusi demokrasi negara.


Bagi pentadbiran Anwar, cabaran selepas ini ialah memastikan setiap pembaharuan bukan sahaja wujud dalam undang-undang, tetapi benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.


Sebab akhirnya, reformasi bukan pertandingan siapa paling kuat melaungkan perubahan. Yang rakyat mahu ialah sistem yang lebih adil, pentadbiran yang telus dan institusi negara yang semakin kukuh.




Hello PAS.



Man Toba.





Korang perasan tak apa yang tengah jadi sekarang? Pada 20 Oktober, RoS batalkan pendaftaran PN. Pihak yang buat aduan pelanggaran perlembagaan PN tu Bersatu, rakan gabungan korang sendiri. Dan hari ni, yang nak kena tindakan tatatertib pula Bersatu. Orang yang mengadu kena hukum, orang yang kena adu duduk kerusi hakim.


Cuba kita susun balik kronologi, pelan-pelan.


Bersatu dakwa mereka dinafikan hak hadir mesyuarat, hak bersuara dan hak mengundi. Masa tu Bersatu masih komponen PN, ya. Masih ahli. Tapi pintu mesyuarat macam dah tak ada tombol untuk mereka.


Lepas tu Hadi Awang umum Bersatu terlucut keanggotaan. Bersatu tanya, mana keputusan Majlis Presiden? Sebab ikut perlembagaan PN sendiri, benda sebesar ni bukan boleh diumum ikut sedap mulut seorang pemimpin, walau setinggi mana pun kedudukan dia.


Kemudian datang pula pengumuman Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Prosesnya dipertikai. Samsuri pula diumumkan kekal Pengerusi PN, siap dengan ungkapan "satu gol". Bola belum sepak, pengadil belum tiup wisel, gol dah diisytihar.


Tak cukup dengan tu, Parti Wawasan Negara dibawa masuk dalam PN. Bersatu kata tak ada persetujuan bersama parti komponen. Rumah dikongsi ramai, tapi tetamu baru masuk ikut pintu belakang tanpa tanya tuan rumah yang lain.


Senarai belum habis. Notis mesyuarat dipertikai. Kuorum dipertikai. Pelantikan jawatan dipertikai. Struktur PN pun berubah tanpa proses yang Bersatu boleh terima. Satu-satu benda asas organisasi, yang budak persatuan sekolah pun tahu kena ikut, semua kena soal.


Dan bila semua ni dibawa ke RoS, RoS pun ambil tindakan. Pendaftaran PN dibatalkan.


Jadi aku nak tanya PAS dan kepimpinan PN. Siapa sebenarnya yang langgar peraturan? Pihak yang mengadu, atau pihak yang diadu? Kalau semua proses betul, kenapa RoS sampai batalkan pendaftaran? Kalau semua proses betul, kenapa tak jawab dulu satu demi satu dakwaan Bersatu sebelum keluarkan notis tatatertib?


Sebab dari luar, apa yang rakyat nampak senang je. Siapa yang bising, dia yang kena. Siapa yang tanya, dia yang dibuang. Siapa yang ikut prosedur, dia yang dihukum.


Belum jadi kerajaan pun perangai dah macam ni. Kalau dah pegang Putrajaya nanti, yang berani tegur tu nak dihantar ke mana?


Jawab dulu dakwaan. Lepas tu baru cakap pasal tatatertib.




BLOK MANA PULAK NIH.?





 Gerombolan Blockencing semua tu memang munafik, sikap hipokrit tak kesudah. Bawah ni biar kita sidai mereka, tibai & bantai semua sampai lunyai & berkecai.









​Wahai gerombolan Blockencing, Toyol Biru & Toyol Hijau yg acah-acah terpaling alim & suci!


​Kemain lagi lidah bercabang korang terjerit-jerit suruh pecat Nik Nazmi kan?


​Lupa ke atau sengaja buat-buat amnesia? Bila pemimpin korang sendiri tersangkut kes siasatan, kes mahkamah, atau skandal moral, korang pandai pulak guna ayat: 'Tunggu siasatan selesai', 'Jangan hukum sebelum terbukti', 'Itu hak peribadi'!


​Berdekad-dekad korang bela pemimpin korang yg ada kes berderet kat mahkamah tanpa pecat pun! Termasuk kes BangNon, ingat kan Rolex? 😁🤣


​Tapi bila kena dekat BERSAMA, korang melompat macam cacing kepanasan desak pemecatan sewaktu kes baru di peringkat siasatan JAIS & belum ada pertuduhan pun di Mahkamah Syariah!


​Langkah Presiden Syukri Razab merehatkan Nik Nazmi selama 3 bulan adalah tindakan bermartabat & bertamadun mengikut due process. Kami takkan termakan dgn strategi politik murahan & hipokrasi dinosaur lapuk macam korang.


​Cermin muka tu dulu sebelum nak acah-acah jadi hakim! Pala bana punya Blockencing, asyik nak mengencing rakyat jer.


Perkemaskan rumah Parti Kencing Rakyat korang tu dulu, pemakan dedak oiii. 😁🤣




BOT PATI LEBIH BERKUASA DARI BOT APMM

 




Bot PATI mereka yang menceroboh, menyusup masuk Malaysia, guna bot enjin berkuasa daripada aset APMM ke ?




Sampai risikokan bot penguatkuasa terlanggar karang dan sebagainya ?


Ya, memang betul. Ini isu lama yang anggota APMM sendiri selalu risaukan.


Bot PATI yang menceroboh masuk Malaysia ni bukan bot kayu buruk. Kebanyakan bot yang dikesan di Perlis, Kedah, Selangor, Kelantan adalah jenis bot laju gentian kaca (fiberglass), badan ringan, draf cetek, dan dipasang 2 hingga 3 biji enjin sangkut berkuasa tinggi, setiap satu 200HP hingga 300HP. Kalau dicampur, kuasa keseluruhan boleh cecah 600HP ke atas. Kelajuan boleh mencecah 40 hingga 50 knot, dalam keadaan gelap terus pecut ikut lorong sungai dan pesisir yang tekong memang dah hafal.


Sebab itu mereka berani masuk ikut kawasan yang sangat bahaya, kawasan air cetek, kawasan bertembok, kawasan banyak karang, beting pasir dan tunggul kayu. Bot mereka ringan dan boleh cilok celah-celah yang bot besar tak boleh masuk.


Bot APMM pula macam mana ?


Aset APMM memang ada yang berkuasa tinggi, tapi jenis tugasnya berbeza.


Bot ronda biasa macam Kelas Penggalang, Benteng, ia berat, binaan aluminium/keluli untuk tahan lasak dan bawa anggota ramai, radar, senjata. Laju optimum sekitar 20-30 knot saja. Bila kejar bot ringan PATI di kawasan cetek, memang susah nak pintas.


Bot pemintas laju yang baru, seperti bot IC 1170CC yang dikurniakan Agong pada Mac 2025 di Pahang, haaa 😅 yang itu baru laju betul 🛥️ 💨 Panjang 12.6 meter, enjin berkuasa tinggi, kelajuan maksimum 56 knot, kelajuan layar optimum 40 knot. Bot macam ni memang direka untuk kejar bot penyeludup dan PATI.


Masalahnya, tidak semua stesen ada bot pemintas tahap ini dalam jumlah yang cukup, dan operasi selalunya berlaku tengah malam, tanpa lampu. Jadi aset begini dan anggota memang diperlukan / tambah. 


Kenapa sampai terlanggar tembok / karang ?


Ini yang baru saja terjadi hari ini. Di Sungai Padang, Kangar, Perlis, lebih kurang jam 12.30 tengah malam tadi, bot peronda APMM yang sedang mengejar bot disyaki bawa 9 PATI warga Myanmar telah terlanggar tembok di pesisir pantai. Seorang anggota Unit Perisikan, Laskar Kanan Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41 tahun, maut tercampak keluar dari bot, tiga lagi cedera.


Kes macam ini berlaku kerana, 


Keadaab mengejar dalam gelap, tekong PATI tutup lampu, APMM kejar guna lampu suluh dan radar saja. Batu pemecah ombak, tembok pesisir, karang memang tak nampak.


Kawasan cetek, bila air surut, bot PATI yang draf cetek boleh lepas, bot APMM yang lebih berat boleh terkandas atau terlanggar dasar. Kes di Pantai Kurung Tengar, bot PATI sendiri terkandas sebab air surut masa dikejar.


Tekong kadang bertindak agresif, bila disuruh berhenti, mereka terus memecut laju dan buat pusingan mengejut untuk lepaskan diri, jadi bot penguat kuasa terpaksa ikut rapat sampai masuk kawasan bahaya.


Menteri Dalam Negeri pun akui ini risiko kerja mempertahankan perairan negara, terutama insiden kejar-mengejar dengan bot PATI.


Bot PATI memang selalunya ada kelebihan laju di kawasan pesisir cetek kerana enjin berkuasa dan bot ringan, manakala APMM terpaksa korbankan kelajuan demi keselamatan anggota dan aset, tapi bila tugas memerlukan, mereka tetap kejar sampai masuk kawasan bertembok dan berkarang, itulah yang menyebabkan risiko kemalangan tinggi.


Jadi jangan anggap kerja mereka mudah, risikonya tinggi dan pelbagai...


Begitulah yer

Oleh Salman Al Farisy


#uniformsoriginal

#salmanalfarisy

#aviationnavalarmour

#UOCG





PS TAKUT GUNA BENDERA BULAN.

 



Perikatan Nasional (PN) dijangka mendominasi rundingan kerusi di negeri SG4, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai gambaran bahawa pembahagian kerusi antara gabungan politik perlu mengambil kira kekuatan masing-masing mengikut negeri. 




Timbalan Penyelaras Wawasan Melaka, Dr Yadzil Yaakub, berkata BN mungkin kelihatan lebih dominan di Melaka kali ini, namun keadaan itu berbeza di negeri-negeri SG4 yang menjadi kubu kuat PN. 


Kenyataan itu hadir ketika timbul gesaan supaya PN mempertimbangkan untuk bertanding solo susulan keputusan BN meletakkan calon di Sungai Udang.


Yadzil mengakui rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong PN, termasuk penyandang DUN Sungai Udang, Dr Aleef Yusof, yang menyifatkan tindakan BN itu sebagai pembulian terhadap PAS dan PN. 


Bagaimanapun, beliau menegaskan matlamat utama menyertai pilihan raya ialah mencapai kemenangan, justeru semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan selepas keputusan pembahagian kerusi dimuktamadkan. 


Menurutnya, perbezaan pandangan memang boleh berlaku dalam mana-mana gabungan, tetapi keputusan bersama perlu dihormati demi kepentingan perjuangan.


Mengulas kedudukan kerusi Bemban yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021 ketika bertanding atas tiket Bersatu, Yadzil berkata beliau akan akur kepada keputusan pucuk pimpinan sama ada dipilih untuk mempertahankan kawasan itu atau sebaliknya. 


Beliau turut menyatakan kesediaan menerima jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap komponen PN, sambil menunggu pengumuman rasmi calon. 


Bemban tidak termasuk dalam senarai kerusi yang diumumkan BN untuk ditandingi pada PRN kali ini.


BN sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala baki tujuh kerusi diserahkan kepada PAS dan rakan gabungannya. 


Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, pula memaklumkan bahawa calon gabungan itu akan diumumkan dua hari sebelum penamaan calon pada 31 Oktober. 


Ketika ketegangan mengenai Sungai Udang masih berlarutan, pendirian Yadzil memperlihatkan usaha untuk meredakan rasa tidak puas hati dan mengekalkan kerjasama PN, dengan mesej bahawa rundingan kerusi perlu berasaskan kekuatan politik serta peluang memenangi pilihan raya.





PRN Melaka: Calon muka baharu mampu gugat penguasaan BN

 

PRN Melaka: Calon muka baharu mampu gugat penguasaan BN

Writer: Redzuan Shamsudin

Redzuan Shamsudin


Adam Adli Abd Halim. Gambar arkib

Adam Adli Abd Halim. Gambar arkib



KEADILAN yakin tujuh muka baharu yang dipertaruhkan parti itu mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.



Pemangku Pengerusi MPN KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata biarpun sebahagian besar calon belum mempunyai pengalaman bertanding, mereka dipilih berlandaskan kebolehlaksanaan untuk menang dan menggugat penguasaan Barisan Nasional (BN).



Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera agar tidak mengambil mudah cabaran pada PRN kali ini dan perlu terus bekerja keras demi memenangi hati pengundi.



"Semua orang masuk bertanding untuk menang. Namun, kemenangan bukan hanya bergantung kepada nama atau kekuatan peribadi, tetapi juga hubungan dengan masyarakat, kerja yang dilaksanakan dan agenda yang dibawa.



"Paling mustahak, kepentingan masyarakat dan rakyat sebagai pengundi perlu menjadi keutamaan," katanya dipetikm laporan media.



Beliau ditemui ketika menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Ayer Keroh @ Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, Batu Berendam pada Ahad.



KEADILAN mengetengahkan tujuh muka baharu iaitu Esma Eazreen Husin di Rim, Faiq di Serkam, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan di Rembia, Denesh V Palasubramaniam di Asahan, Datuk Azman Abidin di Paya Rumput, Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara dan Muhamad Hakimi Mokhtar di Ayer Molek.



Sementara dua lagi calon, Farzana Hayani Mohd Nasir (Klebang) dan Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihanraya.



Sementara itu Adam Adli menyeru semua calon membuktikan kemampuan mereka menerusi hubungan rapat dengan masyarakat, gerak kerja jentera yang berkesan serta kebolehan menyampaikan tawaran parti kepada pengundi.



Pengalaman dan pendekatan KEADILAN di peringkat Persekutuan khususnya dalam aspek tadbir urus baik, tanggungjawab wakil rakyat serta agenda perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat juga perlu diterjemahkan di Melaka.



"KEADILAN perlu berusaha dengan lebih keras untuk meyakinkan masyarakat bahawa apa yang telah kita laksanakan, terutama di peringkat Persekutuan, boleh dibawa dengan semangat dan prinsip yang sama ke Melaka," tegasnya.

 

Syarat simpanan RM15,000 TH selaras cadangan RCI

 


Kadar penangguhan tawaran menunaikan haji dalam kalangan bakal jemaah Tabung Haji (TH) menurun kepada 18 peratus berbanding lebih 50 peratus sebelum ini susulan pelaksanaan syarat simpanan minimum RM15,000, menurut kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu membantu meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji, khususnya dengan mengurangkan keperluan membuat tawaran penggantian kepada jemaah lain dalam tempoh singkat.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai tidak buat persediaan secukupnya dengan lebih 50 peratus jemaah yang menerima tawaran memohon untuk ditangguhkan. Ini memberi kesan kepada kecekapan pengurusan penggiliran apabila perlu membuat tawaran penggantian dalam tempoh yang singkat.

“Justeru, apabila ditetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 Tabung Haji, kadar penangguhan menurun kepada 18 peratus,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Isnin.

Menurut Zulkifli, syarat itu bukan sahaja bertujuan memastikan bakal jemaah mempunyai persediaan kewangan yang lebih baik, malah membolehkan pendeposit mengekalkan kelayakan menerima agihan keuntungan tahunan bagi simpanan mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan syarat simpanan minimum itu juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), termasuk menaikkan bayaran pendaftaran muassasah serta meningkatkan deposit bagi kelayakan automatik menunaikan haji.

“Inisiatif ini juga dilaksanakan selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menaikkan bayaran pendaftaran muassasah serta meningkatkan deposit kelayakan automatik.

“Langkah penambahbaikan itu bertujuan memastikan urusan penggiliran jemaah haji dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cekap, di samping menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan lebih awal sebelum tiba giliran menunaikan ibadah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pendeposit sedia ada diberikan tempoh peralihan lebih dua tahun untuk menambah simpanan sehingga RM15,000 sekiranya mahu mengekalkan giliran haji masing-masing.

Katanya, bermula 1 Januari 2029, senarai giliran akan disusun semula berdasarkan pematuhan terhadap syarat simpanan minimum berkenaan.

Melalui pendekatan itu, tempoh menunggu giliran menunaikan haji dijangka dapat dipendekkan dengan ketara kepada sekitar 70 tahun berbanding 150 tahun sebelum ini, katanya.

Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 itu merupakan antara langkah penambahbaikan pengurusan haji yang menurut kerajaan bertujuan memperkemas sistem giliran, mengurangkan penangguhan tawaran serta menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal.





Pas enggan lepas Parlimen Jasin, Akmal terpaksa kekal di Merlimau?

 


Hasrat Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk beralih ke kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dikatakan berdepan jalan buntu selepas Pas didakwa enggan melepaskan kerusi berkenaan kepada Umno.

Sumber dalaman yang mengetahui perkembangan rundingan kerusi itu berkata, pendirian Pas mempertahankan Parlimen Jasin menyebabkan Akmal kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau kali ini.

Menurut sumber itu, kerusi Parlimen Jasin menjadi antara perkara yang berpotensi mencetuskan pertembungan kepentingan antara Umno dengan Pas, khususnya dalam usaha kedua-dua parti menentukan pembahagian kerusi sekiranya kerjasama politik mereka diteruskan pada PRU16.

Parlimen Jasin kini disandang wakil Pas, Zulkifli Ismail, manakala Akmal merupakan ADUN Merlimau dan Ketua Pemuda Umno.

Keengganan Pas memberikan laluan kepada Umno di Jasin, jika berterusan, dilihat mengehadkan pilihan Akmal untuk beralih ke Parlimen.

Untuk rekod, Umno gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di Melaka.

Dilaporkan status Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno sepatutnya menjadi Ahli Parlimen bagi memberi ruang kepadanya menjuarai isu-isu nasional.

Perkembangan itu juga meletakkan persoalan mengenai sejauh mana Umno dan Pas mampu mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi, terutama di kawasan yang menjadi kepentingan strategik kedua-dua parti.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan terbuka daripada Akmal, kepimpinan Umno atau Pas bahawa keputusan muktamad berkenaan status kerusi Parlimen Jasin pada PRU16.

Melihat kepada situasi di mana Akmal kekal bertanding di Dun Merlimau, ia memberi petunjuk bahawa rundingan pertukaran kerusi antara Umno dan Pas bertemu jalan buntu.

Parlimen Jasin merupakan satu-satunya di menangi Pas pada pilihan raya umum yang lalu.




Empat anak hafal 30 juzuk al-Quran, YB AMANAH ini buktikan kepimpinan bermula di rumah

 


Oleh FAKHRUL RAZI

Orang kata nak menilai seorang pemimpin, kena lihat juga macam mana dia memimpin keluarganya.

Adly Zahari membuktikan kepimpinan bermula dari rumah dengan al-Quran menjadi asas didikan hingga melahirkan anak-anak yang bergelar Hafiz dan Hafizah, di samping cemerlang dalam bidang akademik.

Kita mungkin mengenali Adly Zahari melalui tugas dan khidmatnya kepada masyarakat. Namun, di sebalik kehidupan sebagai seorang pemimpin, ada satu kisah yang menarik untuk kita kenali iaitu perjalanan pendidikan tujuh orang anaknya.

Empat daripada mereka telah menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Menariknya, usaha menghafaz al-Quran berjalan seiring dengan pendidikan akademik dan pembangunan kerjaya dalam bidang masing-masing.

Anak pertama, Izny, mengikuti pengajian Tahfiz al-Quran dan Muamalat di Darul Quran JAKIM sebelum memperoleh ijazah dalam bidang kewangan Islam.

Anak kedua, Muhammad, mendapat pendidikan di KYUEM sebelum melanjutkan pengajian perakaunan di University of Warwick, United Kingdom. Beliau juga telah menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Anak ketiga, Fazanah, lepasan Sekolah Menengah Sains Seremban, memiliki kelayakan ACCA dan ijazah perakaunan serta telah menamatkan hafazan al-Quran.

Anak keempat, Aufa, mempunyai diploma berkaitan kimia dan ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA), selain menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.

Bergerak seiring

Anak kelima dan keenam, Imtiaz dan Aulia juga mengikuti pengajian tahfiz sebelum sama-sama memiliki diploma dalam bidang ICT dan kini juga sama-sama sedang meneruskan pengajian ijazah berkaitan ICT dan kecerdasan buatan (AI).

Anak ketujuh, Aqeelah, pula masih menuntut di sebuah Sekolah Menengah Sains.

Daripada al-Quran dan kewangan Islam hinggalah kepada perakaunan, sains dan teknologi, setiap anak mempunyai laluan tersendiri.

Namun, pendidikan agama dan ilmu akademik menjadi dua perkara yang bergerak seiring dalam perjalanan mereka.

Melalui perjalanan pendidikan anak-anaknya, Adly Zahari memberi kita gambaran, kepimpinan juga bermula daripada tanggungjawab dalam keluarga.

Ini contoh kepimpinan melalui teladan yang dekat dengan kita, bukan sekadar memimpin dengan kata-kata, tetapi juga berusaha menerapkan nilai agama, ilmu dan disiplin dalam keluarga sendiri.

Pemimpin yang baik bukan hanya dinilai melalui khidmatnya kepada masyarakat, tetapi juga bagaimana dia melaksanakan amanah sebagai seorang bapa.

Dan itulah sisi Adly Zahari yang wajar menjadi inspirasi dengan memulakan usaha membina generasi masa depan dari rumah sendiri.





‘Guna agama, bangsa untuk kuasa’, ramai ‘petik’ Akmal dan Hadi bila ditanya siapa ‘demagog’

 


Siapakah pemimpin politik di Malaysia yang gemar menggunakan ketakutan, membakar sentimen kaum dan agama serta mempermainkan emosi rakyat demi mendapatkan kuasa?

Persoalan yang dibangkitkan penganalisis politik, Liyana Marzuki, di Facebook itu mengundang pelbagai reaksi apabila sejumlah netizen menamakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam jawapan mereka.

Menariknya, Liyana langsung tidak menyebut nama mana-mana pemimpin politik tempatan, sebaliknya hanya memperkenalkan istilah ‘demagog’ sebelum meminta orang ramai memberikan pandangan masing-masing.

“DEMAGOG. Maknanya pemimpin yang guna ketakutan, bakar sentimen kaum/agama dan permain emosi rakyat untuk kuasa.

“Contoh: Trump & Netanyahu. Di Malaysia siapa?” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Pertanyaan ringkas itu mencetuskan perbincangan hangat di ruangan komen, dengan rata-rata netizen secara terbuka mengaitkan istilah berkenaan dengan pemimpin Umno dan Pas.

Kegagalan

Seorang pengguna, Zulkepli Samuri, memberikan jawapan ringkas “Akemal”, manakala Abe Ja pula menulis “Hadi dan Akmal”.

Rahimah ZA pula menamakan “Haji Hadi”, sementara Jim Ahmad menyebut “Pemimpin-pemimpin Pas dan BN”.

Begitu juga, Khairul Didie yang berpendapat bahawa terdapat pemimpin Umno dan Pas yang banyak memainkan sentimen serta naratif seumpama itu.

Malah, seorang pengguna Facebook dengan nama Amir Hamzah Khalid turut menyenaraikan “Pas, Umno, BN, Bersatu” sekaligus memperlihatkan kritikan dalam perbincangan tersebut tidak hanya tertumpu kepada dua individu.

Dalam masa sama, Jasrizal Jasmin mengaitkan permainan sentimen kaum dan agama dengan kegagalan sesetengah pemimpin memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.

Akmal dan Hadi walaupun dari latar generasi dan parti berbeza tapi dilihat umum sebagai ahli politik yang menggunakan sentimen kaum dan agama dalam meraih sokongan undi.

Menurutnya, pemimpin yang mengutamakan kerja perlu memikirkan soal ekonomi, merangka dasar, membela nasib rakyat, memperkukuh perpaduan dan membangunkan infrastruktur.

“Sebenarnya, pemimpin PEMALAS je suka main isu perkauman/bakar sentimen/agama,” tulisnya sambil mempertikaikan kecenderungan segelintir ahli politik menggunakan isu sedemikian dalam meraih perhatian.

Sementara itu, pengguna bernama Nik Rudy mengingatkan bahawa demagog tidak semestinya dikenal pasti melalui nama seseorang, tetapi boleh dilihat daripada slogan serta pendekatan politik yang digunakan.

Menurutnya, pendekatan itu boleh muncul dalam bentuk slogan bertopengkan agama, laungan bangsa dan dakwaan kononnya hanya kelompok tertentu mampu menyelamatkan masyarakat.

Untuk rekod, menurut Kamus Dewan, demagog merujuk kepada pemimpin politik yang cuba mendapatkan sokongan orang ramai melalui ucapan dan hujah penuh emosi tetapi tidak munasabah atau tidak rasional.

Perbahasan yang tercetus daripada hantaran Liyana itu sekali gus menyentuh persoalan mengenai perbezaan antara usaha menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat dengan penggunaan retorik yang membangkitkan sentimen.