Benarkah negeri-negeri SG 4 lebih maju sehingga mahu 'rampas' Johor agar jadi setanding



Abdul Kahar Haron.







Jawabnya, kalau SG 4 kenapa anak muda daripada negeri-negeri itu berhijrah ke negeri bukan dalam komuniti SG 4?


Berapa ramai anak Kelantan dan Terengganu merantau ke Johor mencari rezeki? Mereka ramai di Pasir Gudang, kerana Pasir Gudang itu bukan seperti Pasir Puteh atau Pasir Panjang. 


Pasir Puteh jadi sedikit kebanggaan kerana ia terletak di laluan KT ke KB, tetapi kini, bandarnya macam baharu nak bangkit semula apabila Tok Bali menjadi destinasi perikanan yang sudah berjaya mengambil alih peranan Kuala Besut. 


Kemajuan Tok Bali bukan kerana dasar pembangunan yang dibuat oleh KerajN Negeri, tetapi oleh keinginan Kerajaan Pusat untuk membolehkan nikmat pembangunan dirasai oleh semua rakyat.


Kerajaan Persekutuan menempatkan beberapa asetnya yang penting, ialah seperti Jabatan Maritim, penggalian Terusan Semerak, membina jambatan dan akan menjadi salah sebuah stesen ECRL menjelang tahun 2027.

 

Kerajaan Negeri berangan-angan membangunkan bandar baharu Tok Bali sebagai Bandar Islam. Angan-angan itu belum menjadi kenyataan, tetapi yang terus menjadi masalahnya ialah peningkatan masalah sosial dan jenayah.


Kehidupan tidak lagi setenang tahun-tahun 1970-an atau 1980-an. Ada saja cerita masalah pecah rumah, kecurian dan paling menakutkan ialah penagihan dadah. Bahan terlarang itu mudah diperoleh, walaupun tidak ada kebun ganja di Pasir Puteh. Dadah hadir dalam versi pil kuda yang lebih bahaya daripada menghisap ganja ataupun air ketum.


Saya sendiri pernah mengalami pengalaman buruk, walaupun Tok Bali itu adalah sebahagian daripada sejarah hidup. Semasa remaja, Tok Bali dan persekitaran Kuala Semerak menjadi "kawasan rayau" mencari buah kemunting mahupun bersantai.


Suatu malam, sekitar tahun 2017 saya cukup terguris apabila saya telah disekat oleh beberapa orang anak muda, kerana menjangkakan saya sebagai pelancong. Mereka mengugut saya untuk merampas handphone dan meminta duit yang ada dalam dompet atau poket. 


Akhirnya, saya ikut berkeras tidak mahu mengikut arahan mereka, lantas saya bertempik keras dalam loghat leluhur saya, yakni loghat Kelantan. Mendengarkan saya boleh bercakap dalam loghat Kelantan, mereka mula kebingungan dan meninggalkan saya di pinggir Terusan Semerak. 


Saya ke situ kerana mengenang kembali nostalgia ketika usia remaja, kerana beberapa meter ke arah selatan adalah bekas rumah saudara-mara saya. Sebahagian tanah-tanah tersebut sudah diambil alih untuk dibangunkan projek pelabuhan. Saya pernah terdengar bahawa tanah yang menjadi lokasi SK Tok Bali juga sudah diambil untuk tujuan itu.


Walaupun saya tidak pernah bersekolah di SK Tok Bali, saya cukup merasakan ada rindu yang tidak pernah terpadam di situ. Rindu kepada Pantai Tok Bali yang memanjang, pasirnya yang putih dan hembusan bayu petang yang menjadi tempat saya berimaginasi dalam kata-kata puitis, dan sajak-sajak kecil pernah tercipta di bawah pohon ru.


Sayangnya sajak-sajak kecil itu tidak saya simpan dan dokumenkan dengan baik. Saya hanya mencatatkannya dalam kertas-kertas eceran ataupun buku sekolah, yang kemudiannya tidak lagi diberikan perhatian setelah musim sekolah berakhir.


Saya meninggalkan Cherang Ruku pada tahun 1977. Saya ke Temerloh, Pahang dan mengajar di sebuah sekolah swasta. Tahun 1978, saya pulang sebentar ke Cherang Ruku untuk memberitahu kedua orang tua, saya akan berpindah ke Pulau Pinang kerana mendapat tawaran belajar di USM. 


Setelah tamat belajar (1982) saya terus bekerja di Kuala Lumpur. Saya tidak pernah ditukarkan ke Kelantan untuk berkhidmat di negeri sendiri, dan yang paling hampir ialah berkhidmat di Terengganu selama 3 tahun (2004-2007). Selepas itu, saya terus kekal di Kuala Lumpur dan awalnya, sebelum bersara ada niat untuk menghabiskan sisa umur di kampung tempat saya membesar, Cherang Ruku. 


Namun semuanya tidak menjadi, kerana semua anak-anak saya bekerja di Kuala Lumpur dan kedua orang tua sudah tiada. Walaupun masih ada adik beradik, mereka tidak semuanya menetap di Cherang Ruku. 


Setelah bersara sesekali jengok juga rumah pusaka yang masih ada, tetapi cukup terasa sayu dan hiba. Tetapi, tetap saya jengok bila ada kesempatan, kerana saya lebih suka menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur untuk balik ke Kelantan. Jika terasa penat dan perlu berehat,.akan bermalam di Kuala Terengganu, dan dapatlah bersembang dengan kawan-kawan sambil makan keropok lekor atau nasi dagang Cendering. 


Pasir Gudang merupakan kawasan industri yang cukup maju sedangkan Pasir Puteh, pasarnya pun macam tidak bermaya. Saya beberapa kali menjejak kaki ke Pasir Gudang. Sedikit sebanyak saya mampu bercerita mengenainya, berdasarkan pengetahuan yang saya kumpulkan. Sesekali, bila ke sana, turut menemui kenalan, sanak saudara dan juga anak-anak Kelantan yang bekerja di sana. 


Sebab itulah saya berani mengatakan, negeri-negeri SG 4 tidaklah sehebat negeri lain walaupun ada keinginan besar PN untuk menawan Johor, untuk memajukannya seperti SG 4. Ia muncul kerana PRN Johor akan berlangsung dalam masa terdekat. Ia hanyalah retorik yang bertujuan memancing undi, realitinya, tengoklah sendiri apa yang berlaku di Kelantan. Lebih 30 tahun masalah bekalan air bersih "tergendala" tetapi cakap elit politik cukup membangkitkan "rising of expectation". 


Bila dah dapat, dikatakan masalahnya tidak dapat selesai sekarang, tetapi memerlukan 30 tahun lagi untuk sempurnakan. Itu adalah jawapan "penangguhan" kepada usaha yang tidak mampu dibuat tetapi janji cukup hebat: bila menang, kita mulakan dan tak payah bimbang lagi. Alih-alih, bila tidak berjaya dilaksanakan, dijawab dengan sindiran.


"Tidak ada air paip pun boleh jadi EXCO, dan menang bertanding," jadi, "apa masalahnya?". Masalahnya, ialah "basuh berak di tepi telaga", dan setiap kali buku paip air, airnya sama pekat dengan kopi o kaw. 


Terengganu juga ada masalah airz walhal Kelantan dan Terengganu tidak pernah kurang sumber air mentah.  Terengganu boleh dikatakan tidak seteruk Kelantan, air paipnya bersih dan tidak rasa "takut" untuk mandi. Masahnya, SATU menunjukkan kerugian setiap tahun sejak pentadbiran negeri berubah. Banyak  air hilang disebabkan paip bocor, paip sudah berusia. Sepatutnya, paip yang berusia lebih 30 tahun wajib digantikan. Macam mana nak ganti, kalau wang tidak ada. 


Jawabnya, royalti tidak dibayar. Bila semak penyata yang dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan negeri, ada wang besar masuk ke dalam akaun dalam bentuk pendapatan bukan cukai. Apa dia "pendapatan bukan cukai". Maknanya, pendapatan royalti yang disalurkan. Memang kerajaan pusat kawal sebahagiannya, tetapi diberikan kembali dalam bentuk projek yang diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan. 


Sindrom menyalahkan "tidak dapat royalti" terus bergema; kerana pada mereka, itulah satu-satunya punca yang mampu mereka bermewah-mewahan: tukar kereta baharu, buat mesyuarat di luar negeri, dan bolehlah "melancong" lebih jauh dalam dua matlamat, mencari pelabur dan belajar sesuatu. 


Pusing sana pusing sini, tang tu jugak. Masih mengharapkan kerajaan pusat buat itu dan buat ini. Kalau tak buat, dituduhlah diskriminasi, tidak mematuhi jadual yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Alih-alih riba tiba musim pilihan raya, banyaklah tarikan seperti "musim mengawan". Bila menang, tidak ada pun. Muncul cerita yang sama, bajet dari kerajaan tidak turun, projek tidak diluluskan. Maki hamun bercupak, macam "orang gila nak mengawan tetapi tidak dapat pasangan". 


Kalau di Kuala Terengganu ada  Pasir Panjang ada mukim Pasir Semut.  Sejak jadi MP Kemaman, keadaan industri di Teluk Kalong tidak banyak berubah ke arah pembangunan industri yang lebih membanggakan.  Tidak mengapa boleh gunakan istilah pembangunan mapan. Mapan? Apa itu? Maknanya kadangkala "kelabu asap", dirujuk sebagai kekal mahupun stabil. Walhal ia membawa makna teratur, beres dan tetap. Ia jadi mapan kerana masih ada kilang beroperasi walaupun jumlahnya tidak bertambah. Itu sebenarnya yang dimaksudkan dalam jawapan "melepas resah" tersebut.


Sejak jadi MB, belum juga nampak banyak perubahan berlaku di Pasir Panjang, Kuala Terengganu.. 


Masih gitu-gitu je; jadi tak payahlah nak lebong macam-macam.


"Catatan kecil di Bukit Kecil 

Batu Buruk ke Batu Rakit

Terkenang meriah tapi terkucil

Ghairah berunduk  terhantuk sakit


Pasir Panjang Padang Melangit 

Pusing keliling menjeling mata

Bila mendengar terasa melekit

Bila terasa hati pun terluka.