DAP mengarahkan seluruh jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu malam tadi telah membincangkan perkembangan terkini krisis politik di Negeri Sembilan.

Beliau yang juga ADUN Chennah menegaskan bahawa DAP sentiasa menghormati dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan.
Segala isu yang melibatkan institusi Raja dan Adat Pepatih, jelasnya, perlu diselesaikan dengan penuh hormat dan tertib mengikut lunas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, DAP menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di atas titah supaya kerajaan negeri terus befungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“DAP akan terus mendukung dan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“DAP tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran Menteri Besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada gagal,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Krisis politik Negeri Sembilan tercetus selepas Undang Luak menggunakan kuasa untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak pula didakwa sudah dipecat.
Belum reda isu membabitkan institusi adat di negeri itu, kesemua 14 ADUN UMNO/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Mereka beralasan Aminuddin gagal menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.
Walaupun hilang sokongan BN dalam DUN, Aminuddin dititah oleh Tuanku Muhriz meneruskan tugas mentadbir negeri sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat sehingga kejelasan isu tercetus itu diselesaikan.
Meskipun tindakan 14 ADUN BN dilabel sebagai ‘tebuk atap’, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan tersebut hanya atas kapasiti Aminuddin sebagai Menteri Besar bukan berkait dengan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

