8 December 2025
Saranan paling mudah untuk MCA ketika ini ialah mereka tidak perlu berlengah lagi untuk segera keluar daripada BN.
Di sebalik ancaman Wee Ka Siong bahawa MCA tidak akan teragak-agak keluar BN jika gabungan itu cenderung untuk bekerjasama dengan PH yang ada DAP di dalamnya pada PRU16 akan datang, kenyataan balas Ahli MT UMNO, Dr Puad Zarkashi sudah boleh dianggap jawapan yang tidak perlu diragui lagi.
Dalam kenyataannya, Dr Puad berkata, MCA tidak perlu mencari alasan dan menunggu sehingga tarikh PRU16 diadakan baru hendak keluar BN.
Beliau malah mencabar MCA agar keluar sekarang juga daripada BN kerana katanya, gabungan itu memang berhasrat untuk bekerjasama dengan PH, termasuk DAP pada PRU16 akan datang.
Sesungguhnya, kenyataan Dr Puad itu adalah suatu cabaran yang mengaibkan jika ia tidak disahut oleh MCA.
Meskipun tarikh PRU16 akan tiba kira-kira dua tahun daripada sekarang, tetapi adalah jelas UMNO dan BN mulai sekarang lagi lebih memilih untuk bersama DAP berbanding MCA.
Ertinya, UMNO dan BN lebih menyayangi DAP daripada MCA yang sudah puluhan tahun bersama gabungan itu.
Sekarang ini, terutama apabila kenyataan Dr Puad itu tidak disanggah oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN, dengan sendirinya bermakna ia adalah pengakuan yang sah dan benar.
Hakikatnya, UMNO dalam mendepani PRU16 akan datang terlihat sudah bersedia untuk mempromosikan jenama baru “UMDAP” kepada pengundi-pengundi di negara ini.
Dengan itu, MCA tidak perlu menunggu lebih lama untuk kekal dalam BN.
Amat memalu serta mengaibkan jika MCA masih mahu kekal bersama BN dalam keadaan terang-terang DAP lebih disayangi oleh gabungan itu.
Pucuk pimpinan MCA mesti berani membuat keputusan untuk keluar daripada BN, sama sebagaimana beraninya seorang Ahli MT UMNO membuat pengakuan akan tetap bekerjasama dengan PH, termasuk DAP pada PRU akan datang.
Jangan berlengah lagi dan jangan tunggu sehingga dekat tarikh PRU16 baru hendak berbuat demikian.
Setelah keluar BN, tidak semestinya MCA perlu menyertai PN.
MCA boleh bergerak secara solo, tetapi hanya perlu menjalin kerjasama dengan PN agar di mana parti itu bertanding, PN tidak meletakkan calonnya di situ.
Ia sama seperti parti Muda bekerjasama dengan PH pada PRU yang lepas.
Dengan cara itu, disertai dengan penolakan pengundi Cina yang makin ketara kepada DAP seperti ditunjukkan pada PRN Sabah, potensi MCA memenangi banyak kerusi adalah amat cerah.
Yang penting, MCA mesti berani dan jangan penakut. – ShahbudinHusin 08Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/mengaibkan-jika-mca-masih-tak-berani-keluar-bn/