PERBINCANGAN DUA HALA ANTARA PM JEPUN DAN PMX.


Rafizi Ramli




 Perbincangan dua hala antara YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan TYT Fumio Kishida (Perdana Menteri Jepun) menyentuh pelbagai perkara merangkumi peluang ekonomi bersama dan usaha di peringkat antarabangsa menangani krisis kemanusiaan di Gaza.


Satu bidang yang berpotensi tinggi antara Malaysia dan Jepun ialah industri peralihan tenaga. 


Negara Jepun mempunyai sasaran peralihan tenaga yang tinggi. Selain dari tenaga boleh baru yang biasa kita dengar (seperti solar dan angin), Jepun adalah antara beberapa negara yang paling ke depan dalam membangunkan rantaian nilai tenaga hidrogen.


Di sinilah peluang yang terbuka luas untuk Malaysia. Kita membina keseluruhan rantaian nilai dalam penghasilan dan eksport cecair gas asli (LNG) melalui kerjasama dengan Jepun sejak tahun 1980an. Hubungan dan saling percaya yang telah terbina itu kini boleh diluaskan untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai tenaga hidrogen pula supaya Malaysia menjadi peneraju sektor ini (seperti kita menjadi peneraju industri LNG).


Saya mewakili negara dalam sidang Asia Zero Emission Community (AZEC) yang dipelopori oleh Jepun dalam bulan Mac lalu. Hasil perbincangan dari AZEC meyakinkan saya bahawa Malaysia perlu mempercepatkan pertumbuhan sektor-sektor industri berasaskan peralihan tenaga sehinggalah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) diluncurkan Julai lalu.


Tumpuan Kementerian Ekonomi dan MOSTI selepas ini ialah mempercepatkan usaha supaya teknologi dan penggunaan tenaga hidrogen diperdanakan menjelang 2026 agar kita dapat menangkap peluang ekonomi hidrogen yang ditawarkan oleh Jepun.


Bagi mereka yang ingin memahami bagaimana tenaga hidrogen berfungsi, boleh gunakan Google atau ChatGPT.



SUBSIDI UNTUK KUMPULAN LAYAK

 



Subsidi seharusnya diberikan kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak. Tidak wujud sebarang isu kezaliman, bahkan pengagihan harta dari golongan berpendapatan tinggi kepada kumpulan miskin turut dianjurkan dalam Islam melalui pemberian zakat. 


PADU akan membantu Kerajaan membuat keputusan berpacukan data serta mengatasi isu data berada dalam keadaan bersendiri (in silos) dan non- interoperable. 


Pelancaran PADU yang dijadualkan pada bulan Januari 2024 akan mengintegrasikan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil data semua individu dan isi rumah seluruh rakyat Malaysia. �


Berdasarkan data daripada PADU, penentuan kumpulan sasar akan lebih tepat dan memenuhi objektif pelaksanaan sesuatu dasar. Kriteria dalam menentukan kumpulan sasar akan dilihat daripada pelbagai aspek termasuk pendapatan, bilangan isi rumah dan tanggungan, lokaliti dan jarak ke tempat kerja, serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah. 


Melalui kaedah ini, Kerajaan tidak lagi menumpukan kepada kumpulan pendapatan tertentu terutama B40, tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.



Papar nama MP ponteng: MP Bayan Baru sambut baik saranan Speaker




Oleh: Abdullah Zaid


Anggota Parlimen tidak seharusnya ponteng daripada menghadiri sidang di Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab dan pekerjaan sebagai wakil rakyat.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru Sim Tze Tzin menyambut baik saranan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaparkan nama MP yang tidak hadir di laman sesawang Dewan Rakyat.


Malah, katanya penambahbaikan itu adalah satu usaha yang patut dialu-alu dan disokong oleh ahli-ahli dewan yang lain.


"Rakyat melihat, wakil rakyat dibayar dengan elaun yang begitu tinggi tetapi ponteng ke parlimen.


"Kita juga nampak ada beberapa Ahli Parlimen yang clear cut (secara terang-terangan) selalu tidak ada. Jadi ini adalah isu yang perlu diatasi," katanya menerusi ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.


Jelasnya, jika membabitkan urusan rasmi mana-mana wakil rakyat yang tidak dapat menghadiri sesi dewan sepatutnya memaklumkan kepada parlimen bagi sebarang urusan formal mereka.


"Kita tahu bahawa menteri-menteri ada tugasan rasmi tidak dapat berada di sini (parlimen) sepanjang masa kerana menyelesaikan isu-isu negara.


"Tetapi yang terang-terang ponteng harus didedahkan supaya rakyat nampak wakil rakyat yang dipilih mereka dalam pilihanraya, tidak hadir," ujarnya.


Dalam pada itu, wakil rakyat kerajaan itu juga sempat mempersoalkan beberapa pemimpin utama pembangkang yang dilihat kurang mengambil bahagian dalam perbahasan namun lantang mengkritik kerajaan ketika di luar dewan.


"Di sosial media mereka (pembangkang) hentam kerajaan tidak betul, tetapi tidak masuk ke dewan untuk bangkitkan (berbahas).


"Kita tak dengar suara daripada Marang (Hadi Awang), kita tak dengar suara daripada Pagoh (Muhyiddin Yassin), kita tak dengar suara daripada Larut (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) tetapi di sosial media mereka menjadi hero," katanya sebelum diminta menarik semula oleh Speaker dewan.


Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menolak kemungkinan memaparkan nama-nama Ahli Parlimen yang didapati sengaja tidak hadir atau 'ponteng' sidang Parlimen.


Katanya, langkah penambahbaikan itu bagi menunjukkan tanggungjawab dan tugas wakil rakyat bagi pengundi yang mereka wakili.


Tegas Johari, cadangan itu akan dibincangkan dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan.



 

Tamadun Madani: Ketua Jabatan perlu wujudkan pemikiran berteras nilai




 Pembinaan tamadun Malaysia Madani memerlukan perkhidmatan awam terutama pegawai tinggi kerajaan mempunyai pola pemikiran yang jelas dan berasaskan nilai.


Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan November Tahun 2023, pagi tadi.


Katanya, pertentangan dalam negara mengenai politik terlalu dalam dan pentadbiran awam perlu berada pada tahap mempunyai nilai terbaik untuk dicontohi sektor swasta dan rakyat biasa.


"Saya tekankan ini kadang kadang beberapa isu, pertelingkahan kita terlalu tajam. Tunggak dan asas Madani ini adalah soal nilai dan akhlak. Ia tidak mudah.


"Saya harap Ketua Jabatan dan Ketua Pengarah selain kerja biasa, mukadimah itu harus ada sedikit penekanan terhadap beberapa perkara asas kerana penjawat awam ini punyai satu tugas yang lebih daripada profesional lain di luar. Dia mewakili satu pola pemikiran dan pembentukan idea yang lebih tinggi daripada sekadar tugas biasa," katanya.


Sehubungan itu, PM menegaskan bahawa pembinaan negara Madani terikat erat dengan keyakinan yang mengutamakan soal nilai dan akhlak mulia.


Tanpa hal itu, katanya, pentafsiran sendiri atau mengikut kelompok masing masing akan pergi ke lembah kejumudan dan kekaburan hala tuju.


"Dalam negara Madani teras tidak boleh lari daripada keyakinan dan kepercayaan yang menetapkan soal nilai dan akhlak.


"Kalau kita tidak mendalami, menyerahkan kepada beberapa kalangan dan membuat menafsiran ikut fahaman mereka, maka sama ada (tafsiran ikut) parti atau kefahaman masing masing.


"(Dalam hal ini) pernah Islam menjadi teras kepada sosialisme di dunia Arab. Ada yang terasnya Islam menjadi tunggangan kepada yang berkiblat sepenuhnya ke Barat. Macam beberapa tokoh ilmuan Islam Mesir.


"Sebab dalam kebangkitan kesedaran dan kebangsaan Mesir (perjuangan kemerdekaan) ada pertelagahan besar (ulama) bagaimana harus bermula untuk berjuang memerdekakan, identiti dan jatidiri di Mesir," katanya.


Oleh itu, katanya, sekiranya Islam difahami secara mendalam maka tidak akan timbul isu identiti atau jatidiri malah pertikaian antara kaum dan agama yang berbenturan sebagaimana tercetus di negara ini juga akan berakhir.


"Malaysia ini dan budayanya, dan usaha membina tamadun tidak lari daripada jatidiri semangat yang boleh diangkat berdasarkan keyakinan kita, yang berteraskan kepada nilai.


"Jadi kalau Islam itu difahami secara mendalam maka tidak timbul permusuhan antara kaum, antara agama. Yang akan timbul ialah tentang kesedaran, toleransi dan hormat menghormati," katanya lagi.