PM tidak setuju kajian penganalisis mengenai sokongan Melayu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan analisis terbaharu oleh Ilham Centre mendapati populariti beliau hanya 24% dalam kalangan orang Melayu.
Dapatan Ilham Centre itu ditolak PM kerana bermungkinan melibatkan sampel yang kurang menyeluruh.
"Saya tidak bersetuju.
"Ia satu analisis yang cacat, mungkin mereka (Ilham Centre) mengambil data di Kelantan dan membandingkan di Selangor.
"Tetapi di banyak lagi negeri, prestasi kita (Kerajaan Perpaduan) sangat baik. Saya sangat optimis," katanya dipetik FMT selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis, Pulau Pinang.
Terdahulu, Ilham Centre berkata PRN kali ini akan menjadi ujian lapangan untuk menentukan corak sokongan orang Melayu di Semenanjung susulan perubahan trend pengundi pada PRU15.
Katanya, PM mendapat 24% sokongan Melayu tetapi berbeza dengan sokongan orang Cina (88%) dan India (81%) serta lain-lain (75%).
Namun keseluruhan 42% responden berkata mereka berpuas hati dengan prestasi PM Anwar.
Kajian tersebut berlangsung pada 11 hingga 27 Julai itu menganalisis maklum balas 2,416 responden di enam negeri yang akan melaksanakan pilihan raya esok.
Bagaimanapun, dari segi populariti kajian mendapati Anwar, Kerajaan Perpaduan dan polisi Madani mendapat markah tinggi di negeri dikuasai Pakatan Harapan seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
PRN Kedah: Perang psikologi, bendera landa Kedah
Oleh: Abdullah Zaid
ANALISIS: Hanya berbaki kurang 24 jam, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah semakin berbahang apabila parti yang bertanding mula membuat perang psikologi bagi menyakinkan pengundi.
Lebih mengejutkan apabila Perdana Menteri merangkap Pengerusi Kerajaan Perpaduan memilih negeri ‘Jelapang Padi’ sebagai ‘Grand Finale’ bagi memberi ‘amanat’ buat pengundi di utara tanah air itu sebelum membuang undi Sabtu ini.
Perang psikologi yang dibuat oleh barisan MADANI dilihat mampu menjadi tsunami bagi menumbangkan “The Greater Kedah” itu dalam tempoh minit akhir ini.
Ditambah pula dengan strategi media yang melancarkan lagu KeranaMu didendang khas buat tokoh Reformasi itu boleh menambat hati pengundi muda dan atas pagar.
Sehingga kini, nyanyian daripada lima artis terkenal itu mendapat lebih 135 ribu tontonan walaupun kurang daripada 48 jam dilancarkan.
Perang bendera juga amat rancak di kebanyakan DUN di negeri ini. Terutama di tempat tokoh tokoh besar bertanding seperti DUN Alor Mengkudu, DUN Suka Menanti, DUN Pedu dan banyak lagi
Datuk Mahfuz Omar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah sejak awal lagi menzahirkan keyakinannya untuk merampas negeri Kedah dengan majoriti mudah.
Menurutnya, kebolehmenangan itu bukan sahaja terletak pada formula 16 kerusi DUN yang disandang PH-BN, tetapi faktor Menteri Besar Sanusi sendiri yang membuka peluang buat gabungan kerajaan itu menawan Kedah dengan lebih mudah.
Selain itu, turut berkongsi pandangan yang sama Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli menyifatkan ‘kelancangan’ Sanusi dalam membuat kenyataan memberi ‘peluru’ selesa buat PH-BN dalam mencari seramai boleh pengundi yang turut terkesan dengan ucapannya.
Bagaimanapun, dalam tempoh yang getir ini ukuran jelas bagi kebolehmenangan PH-BN boleh dinilai melalui kebanjiran penonton yang bakal hadir bagi mendengar sendiri ‘amanat’ Perdana Menteri malam ini.
Oleh itu, pilihan dan keputusan di tangan pengundi Kedah bagi menilai sendiri pimpinan mana yang mampu melaksanakan perubahan lebih baik.
Pun begitu, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini tidak memberi kesan langsung kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan, tetapi dengan kemenangan tersebut mampu memberi impak positif terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.