Posted By: Redzuan RF8 Mediaon:
WARGANET PUJI DR ZALIHA BUAT LAWATAN MENGEJUT KE HOSPITAL
Warganet puji Dr Zaliha buat lawatan mengejut ke hospital
on:
Usaha Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa meninjau dan memahami sendiri masalah di fasiliti kesihatan kerajaan wajar diberi pujian.
Semalam Dr Zaliha tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan telah membuat lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor.
Sekeping gambar dimuat naik oleh @ansaleya di Twitter tular, Dr Zaliha yang berpakaian kasual dan berpelitup muka dilihat duduk berbual dengan sejumlah pesakit yang sedang menunggu rawatan di jabatan kecemasan hospital berkenaan.
“Memang pasti malam tadi memang Menteri Kesihatan. Siapa sahaja yang perasan kalau datang mengejut mcm pesakit juga kan?
“Patutlah dia ada tanya beberapa orang. Macam tiada siapa pun yang sedar itu Menteri Kesihatan,” ciap @ansaleya.
Seorang pegawainya yang dipetik laporan sebuah portal memaklumkan, Zaliha hadir untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang perkhidmatan di situ terutama isu waktu menunggu yang lama di jabatan kecemasan.
Kata pegawai itu, kebanyakan pesakit mengadu mereka menunggu lama untuk mendapat rawatan manakala petugas kesihatan pula memberi cadangan untuk menambah baik beberapa aspek kesihatan.
“Maklum balas dari kedua-dua belah pihak telah dibawa dalam mesyuarat Kementerian Kesihatan untuk penambahbaikan,” kata pegawai itu lagi.
Zaliha berkata beliau memandang serius masalah kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma di hospital kerajaan dan giat merangka pelan bagi mengatasi masalah kesesakan sedemikian.
Beliau bukan menteri pertama membuat kunjungan mengejut. Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini melakukan hal sama di beberapa stesen LRT di ibu negara untuk meninjau perkhidmatan di situ.
Di ruangan komen Twitter mendapati ramai yang memuji tindakan pemimpin KEADILAN itu yang dilihat prihatin kerana sanggup turun padang meninjau isu berkaitan pengurusan kesihatan.
“Setuju sangat menteri kita sendiri jenguk turun macam ini, lagi-lagi pada waktu puncak. Hospital kerajaan memang banyak isu yang kritikal,” komen seorang netizen.
“Berharap dengan kunjungan menteri, ada perubahan signifikan selepas ini,” komen netizen yang lain pula.
Sebagai rekod, Zaliha yang merupakan Ahli Parlimen Sekijang, Johor itu merupakan wanita pertama di lantik sebagai Menteri Kesihatan di negara ini.
Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan lalu.
AMBIL TINDAKAN SEGERA BANJIR KILAT KL
Ambil tindakan segera banjir kilat KL
Banjir kilat di Kuala Lumpur wajib ditangani segera. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengambil inisiatif membangkitkan beberapa perkara berkaitan bandar raya itu kepada Datuk Bandar dalam satu pertemuan semalam.
Menurut Kor Ming, antara perkara dibangkitkan kepada Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah adalah masalah banjir kilat yang sering melanda ibu negara apabila berlaku hujan lebat.
Katanya, atas permintaan beliau, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti sebanyak 25 kawasan ‘hot spot’ banjir kilat di sekitar ibu negara dan pada membentangkan kepadanya penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Saya menegaskan projek tebatan banjir dan kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan perlu diberi perhatian khusus dan keutamaan.
“Tindakan segera juga wajib diambil khususnya sempena musim tengkujuh yang kini sedang melanda negara kita,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, beliau yakin DBKL akan mengambil langkah segera dalam mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan lagi nama ibu kota Kuala Lumpur menjelang Tahun Baharu 2023.
4 STRATEGI BENDUNG COVID 19 DI MALAYSIA
4 strategi bendung Covid 19 di Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan 4 strategi dalam membendung endemik Covid 19.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, langkah proaktif itu akan dilaksana kementerian susulan situasi semasa jangkitan Covid-19 yang hampir menjadi pandemik di negara China.
“Mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes Covid 19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu.
Zaliha turut memberitahu pihak kementerian akan melaksana 4 strategi utama bagi menangani jangkitan wabak tersebut di negara ini, seperti Memperkukuhkan pemerhatian Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal; Melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi; Mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam dan memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui laporan mingguan situasi Covid-19 yang dikeluarkan baru-baru ini memberitahu, sebanyak 148,659 kes positif Covid-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China.
Secara keseluruhannya, WHO menyatakan trend kes Covid-19 adalah masih berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Di Malaysia setakat 24 Disember 2022, sebahagian besar varian SARS-CoV-2 yang dikesan adalah varian Omicron (66.17%), diikuti oleh varian Delta (32.69%), Beta (1.06%); dan Alpha (0.08%). Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan,
“61.6% adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8% adalah subvarian XBB.1 dan tiga (3) kes subvarian BF.7,
“Walau bagaimanapun, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital kesan daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil daripada liputan vaksinasi COVID-19 yang luas,” kata Zaliha merujuk situasi semasa dalam negara.
Sehubungan itu, selain strategi yang telah digariskan oleh KKM, Zaliha turut menyeru masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.
Orang awam jelasnya disarankan agar sentiasa mengamalkan TRIIS (Test,Report, Isolate, Inform, Seek).
“Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai.
“Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian Covid-19 kendiri.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” tambah Zaliha lagi.
AGAKNYA DR. MASZLEE NAK BERITAHU DIA YANG PATUT JADI MENTERI PENDIDIKAN…
Dr. Maszlee Malik, bekas Menteri Pendidikan yang diminta meletakkan jawatan ketika era pentadbiran Tun Mahathir Mohamad selepas PRU 2018 dan kemudian tidak menang bertanding di Simpang Renggam pada PRU15 lalu, secara tiba-tiba menyarankan agar golongan yang terlibat dalam bidang pendidikan dilantik sebagai Menteri Pendidilan dan Menteri Pengajian Tinggi setelah PRU16 akan datang.
Tindakan itu, kata beliau adalah bagi membolehkan kebebasan akademik dipertahankan.
“Kita harap bila PRU16 nanti, kita letakkan, buat duluan, iaitu yang menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi, bukan daripada orang politik.
“Biar orang dalam (bidang) pendidikan sendiri, orang yang tahu isi hati dan hala tuju,” kata beliau lagi.
Dr. Maszlee yang juga bekas pensyarah sebelum menceburi bidang politik turut mengungkit bagaimana Hadi Awang, Presiden Pas pun tidak dilarang datang ke universiti ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini.
“Saya ingat sebelum PRU, Fahmi Rehza tak boleh masuk, zaman saya Haji Hadi pun boleh masuk,” tambahnya.
Dengan melontarkan saranan sedemikian, agaknya Dr. Maszlee ingin menyampaikan isyarat atau mesej kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa beliaulah yang sepatutnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan atau Menteri Pengajian Tinggi dalam susunan kabinet baru-baru ini.
Namun, oleh kerana kedua-dua jawatan itu tidak jatuh kepadanya, nampaknya harapan beliau masih menggunung tinggi untuk dicapai lagi selepas PRU16 akan datang.
Tetapi, sebagai peringatan mesra buat Dr. Maszlee, jika ingin dilantik jadi menteri, setidak-tidaknya cubalah menang di Simpang Renggam dulu dalam PRU16 nanti.
Berkaitan saranan beliau itu, persoalannya ialah benarkah ahli akademik saja sesuai untuk jadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi?
Adakah beliau sendiri begitu berjaya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini?
Sebelum Dr. Maszler, ada seorang lagi ahli akademik yang pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1999 iaitu Musa Mohamed, masihkah kita ingat apa-apa rekod kejayaannya?
Berdasarkan dua contoh duluan ahli akademik yang pernah memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini, saranan itu boleh dikata tidak terpakai sama sekali.
Sebaliknya, Anwar dan Najib Razak adalah dua contoh bekas Menteri Pendidikan yang banyak jasa serta melakukan banyak perubahan dan keduanya bukan pun dalam bidang pendidikan, kecuali Anwar yang pernah mengusahakan Yayasan Anda.
Lagi pun, memberi kebebasan akademik dan membenarkan Hadi Awang masuk ke universiti bukan satu-satunya asas yang boleh dibanggakan kerana ada berpuluh kepentingan lain lagi perlu diutamakan sebagai Menteri Pendidikan atau Menteri Pengajian Tinggi.
Yang penting, seorang menteri itu harus mempunyai keazaman politik untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan sesuai dengan keadaan, punya komitmen tinggi dan idea yang bernas sesuai dengan portfolio yang dipegangnya.
Orang yang sedemikian tidak semestinya daripada ahli akademik atau mereka dalam bidang tertentu saja.
Tetapi, jika ikut logik Dr. Maszlee bahawa hanya orang dalam bidang pendidikan saja, misalnya bekas pensyarah sepertinya yang sesuai memegang jawatan Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian, ini turut bermakna hanya kalangan doktor layak jadi Menteri Kesihatan, ahli sukan dan tokoh belia untuk jawatan Menteri Belia dan Sukan, ahli bank untuk Menteri Kewangan dan portfolio lain seterusnya.
Kalau Musa Mohamad tidak pernah diingati sebagai bekas Menteri Pendidikan yang berjaya, begitu juga dengan Tengku Zafrul sebagai ahli bank ternampak tidak ternampak berjaya sebagai Menteri Kewangan, apakah sejarah kegagalan lagi yang mahu dicipta? – ShahbudinHusin 31/12/2022.