Posted By: Redzuan RF8 Mediaon:
KALAU TAK MAHU ANWAR BEKERJASAMA DENGAN BN, PASTIKAN PH MENANG LEBIH 112 KERUSI PARLIMEN
Dalam sekian ramai orang tidak berparti yang saya temui dan berbual-bual dengan mereka, hampir kesemuanya tidak ragu-ragu mengatakan PH sedang berada di hadapan untuk memenangi PRU15 akan datang berbanding pesaingnya yang lain.
Daripada peniaga tepi jalan, orang biasa yang kebetulan ditemui di kedai makan, cafe dan sebagainya, pengusaha kedai, peniaga bukan Melayu, ahli perniagaan kaya, pengunjung kelab dan kaki golf yang sentiasa mengintai peluang perniagaan, mereka hampir senada meyakini bahawa kini PH paling hampir untuk menguasai Putrajaya.
Faktor utamanya tentulah kerana Anwar Ibrahim dilihat lebih mampu dan memiliki kelebihan untuk mentadbir negara selepas ini.
Begitu pun, mereka masih sangsi sama ada PH mampu melepasi majoriti paling minima untuk membentuk kerajaan iaitu 112 kerusi Parlimen.
Keyakinan banyak pihak setakat ini ialah PH hanya mampu beroleh kemenangan antara 85 hingga 90 kerusi Parlimen saja, walaupun sedang mendahului persaingan.
Selebihnya dan untuk mencukupkan 112 kerusi, PH tetap dilihat perlu bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan.
Meskipun dengan berbekalkan 85 hingga 90 kerusi itu bererti PH sudah mempunyai kelebihan dan menarik parti-parti daripada Sabah dan Sarawak adalah langkah paling munasabah untuk membentuk kerajaan, tetapi tidak semua melihat perkara itu sebagai mudah.
Ia terutamanya kerana GPS di Sarawak begitu keras menolak DAP sejak dulu lagi dan tidak ternampak sedia untuk berubah.
Dengan yang demikian, mereka melihat PH mungkin perlu bergabung dengan parti-parti daripada Semenanjung terlebih dahulu sebelum perlu memulakan inisiatif bekerjasama dengan GPS di Sarawak dan GRS di Sabah.
Dalam hal ini, kebimbangan paling ketara dalam kepala ramai orang ialah PH akan bergabung dengan UMNO dan BN yang mana parti itu di mata umum terpahat kukuh dengan imej rasuah dan menyonglap duit rakyat.
Lebih-lebih lagi, walaupun sudah beberapa kali dinafikan oleh PH dan juga BN, termasuk oleh Anwar sendiri, PN dan GTA begitu gemar serta berulang-ulang memainkan isu tersebut.
Tun Mahathir Mohamad malah mendakwa, jika kerjasama itu terbentuk dengan Anwar menjadi Perdana Menteri, Najib Razak akan dibebaskan dari penjara dan kes mahkamah Zahid Hamidi pula akan digugurkan.
Tujuan GTA memberi gambaran menakutkan itu tidak lain ialah agar rakyat menolak PH dan BN, sebaliknya mengalihkan undi kepada mereka.
Di sisi rakyat, sementara penafian telah berulang kali dilakukan, masih ramai lagi yang terus bertanya tentang kemungkinan PH bekerjasama dengan UMNO dan BN untuk membentuk kerajaan.
Secara umumnya, walaupun PH sedang mendahului di hadapan dan rakyat juga secara majoritinya dilihat sedia memberi undi kepada gabungan itu untuk melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, kebimbangan terhadap kemungkinan bekerjasama dengan UMNO dan BN itu adalah halangan yang mungkin menipiskan lagi harapan itu daripada menjadi kenyataan.
Secara mudahnya, mereka mahu PH jadi kerajaan tapi tak mahu ada UMNO dan BN sekali di dalam kerajaan yang bakal dibentuk nanti.
Habis, apa pilihan yang harus dilakukan?
Takkan nak disokong PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin yang gagal sebagai Perdana Menteri sebelum ini dan penuh dengan pengkhianat di dalamnya sebagai kerajaan semula?
Takkan juga nak diberi undi kepada GTA pimpinan Tun Mahathir yang sejarah masa lalunya sebagai Perdana Menteri amat sukar dipercayai, bahkan suka pula mungkir janji?
Kadangkala pening juga dibuatnya.
Mengatasi hal ini, hanya satu pilihan yang ada – pengundi mesti sepakat dan bersatu hati memberi kemenangan yang mutlak iaitu melebihi 112 kerusi Parlimen kepada PH.
Apabila sudah memiliki 112 kerusi atau lagi baik jika lebih sehingga 120 kerusi, dengan sendirinya tiada keperluan lagi untuk PH bekerjasama dengan UMNO, BN atau sesiapa saja bagi membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, apa yang paling buruk dan menakutkan sekali jika PH tidak diberi kemenangan sehingga 112 kerusi ialah ia juga memungkinkan kerajaan campuran PN dan BN sebagaimana yang ada sekarang akan terwujud semula.
Akhirnya, mengadakan PRU dengan kos lebih RM1 bilion hanyalah sia-sia dan membazir saja – wal hasil balik asal.
Untuk itu, rakyat mesti bangun dengan semangat serta azam untuk perubahan dan sisa-sisa kegagalan PN serta BN sebelum ini tidak seharusnya dibenarkan menjelma semula dalam kerajaan baharu nanti.
Ayuh rakyat Malaysia…buktikan kita boleh!! – ShahbudinHusin 14/11/2022.
BIJAK LEBAI MAN...NANTI KITA LIHAT BERAPA SAMAN SAJA. ITU SAJA NAK TAU. JOM KITA DENGAR PENJELASAN INI. VIDEO DI DALAM
Tiada maaf! Pesuruhjaya PAS Perak enggan tunduk tuntutan Anwar berkait LGBT.
BAGAN SERAI: Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria tidak akan tunduk terhadap tuntutan maaf dan ganti rugi oleh Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya mengaitkan ketua pembangkang itu mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Memohon maaf bererti membenarkan kemungkaran politik ini tidak dicegah. Ugutan saman Anwar tidak menggoyahkan pendirian saya kerana nilai perjuangan mempertahankan keaslian Islam, moral dan akhlak serta nasib generasi akan datang lebih utama,” katanya pada sidang media.
Beliau yakin tidak memfitnah Anwar dan kenyataannya dibuat berdasarkan agenda songsang yang terserlah dalam pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
“Satu bahaya besar kepada negara (jika) membiarkan rakyat ditipu serta menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar sebagai perdana menteri, apatah lagi beliau merupakan seorang banduan,” katanya.
Baru-baru ini, Razman dikecam pemimpin PH selepas didakwa menuduh Anwar mempromosikan agenda LGBT, komunis dan membenarkan perkahwinan sejenis, sekiranya gabungan itu berkuasa.
Anwar kemudiannya menghantar surat tuntutan kepada Razman pada 8 Nov lalu, dengan menyifatkan kenyataan pemimpin PAS itu memfitnah serta menuntut ganti rugi RM5 juta dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
Ditanya sama ada beliau sedia berdebat dengan Anwar berhubung perkara berbangkit, Razman berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa.
“Bila-bila saja tak ada masalah, dengar dia ada di sini (Bagan Serai) dan jika dia ‘call’ pakteh (merujuk dirinya) untuk berjumpa, jom pakteh pun ada nak tanya beberapa perkara dekat dia, betulkah dia meliwat.”
PH di depan 100 kerusi, PN main taktik kotor tuduh komunis, masuk neraka - Rafizi
Berbaki 4 hari sebelum hari membuang undi Pakatan Harapan (PH) terus mendahului sokongan dengan kebanyakan pemerhati politik meramalkan PH akan memperolehi 95 - 100 kerusi.
Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, PN dan BN yang terdesak kini menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengelirukan para pengundi terutamanya orang Melayu.
"PH sekarang berada di tempat pertama dalam negara. Laporan mana pun sekarang letakkan PH di tempat pertama. Yang berbeza jumlah kerusi kita menangi. Ada yang kata 90, ada kata 95. Laporan Merdeka Centre kata 99 kerusi, ada yang kata kita lepasi 100 kerusi.
"Kita ada 5 hari tetapi ada sebab kenapa kita ada di depan. Contohnya apa isu besar sepanjang kempen hampir 7 - 8 hari ini? Isu besar yang dibawa PH ialah soal calon mestilah ada rekod baik, bersih, integriti, tua, muda.
"Sebab itu kita isytihar harta," katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Batu Pahat, malam tadi.
Pengarah Pilihanraya KEADILAN itu justeru mempersoalkan sikap BN dan PN yang enggan mengisytiharkan harta sebelum masuk pilihan raya.
Katanya, perisytiharan harta penting bagi memastikan harta waktil rakyat tidak bertambah mendadak selepas mereka mendapat kuasa.
"Di peringkat PN, Pas bila kita isytihar harta apa jawapan dia? Timbalan MB Kelantan kata dia malu tak ada duit. Nak jadi wakil rakyat jangan malu. Adam Adli di Hang Tuah Jaya dia memang tak ada duit pun.
"Kita minta isytihar harta ini supaya yang nak jadi wakil ini tidak curi duit macam dalam Umno, PN atau keluarga Malaysia.
"Biar wakil rakyat lebih hati hati. Presiden Pas Hj Hadi pula kata itu kerja bodoh. Siapa yang bodoh? Ahli politik yang nak sembunyikan (harta) atau yang isytihar macam kami, bodoh. Saya yakin kami lagi cerdik kerana rakyat mahu wakil rakyat dan pimpinan yang bersih.
"Misalnya calon kita Onn Abu Bakar (Batu Pahat) memang miskin, dia tak ada harta. Jadi rakyat boleh tengok. Calon PH sangat berbeza dari Umno BN.
"Ini kalau kita tengok Ketua Pemuda Umno, kelayakan tak ada, sekolah tingkatan 5, bisnes tak ada, cakap tak pandai tetapi kereta 20 biji. Orang tanya macam mana ada kereta 20 biji," katanya.
Selain itu, Rafizi mempersoalkan sikap Pas yang menggunakan taktik kempen kuno dengan melabelkan DAP komunis dan undi sokong BN atau PH masuk neraka.
"Semasa Pas bersama sama dengan DAP dan PKR lawan Umno BN orang paling banyak peluk DAP, bukan PKR tetapi orang Pas.
"Masa tu tak timbul DAP komunis. Sekarang DAP komunis. Masa MCA, Umno berbaik baik dengan Parti Komunis China tak ada masalah komunis.
"Masa Najib berkawan baik, projek besar negara pergi ke syarikat milik kerajaan China. Masuk pilihan raya, musuh nombor satu DAP komunis.
"Kita cerita pasal gaji, peluang ekonomi PN - Pas cakap pasal komunis. Mereka tambah lagi api orang Melayu undi PH dan BN masuk neraka. Kita bincang nak selesai masalah rakyat, kita akui ekonomi negara dalam bahaya.
"Undi PH masuk neraka ini dia masuk gol sendiri. Saya di Kemaman, Hj Hadi di Marang. Saya membesar zaman Pas keras. Orang Melayu sokong BN boleh jadi kafir. Saya sempat lihat keluarga pecah belah, kalau buat kenduri Umno, Pas tak pergi. Takut makan tak halal. Itu zaman 1980an, kita ingat 2020 tak timbul dah undi parti tertentu masuk neraka," katanya sinis.
Oleh itu, Rafizi menyeru orang Melayu Johor menolak calon PN - BN secara besar besaran dalam PRU ke 15 ini dan menghadkan parti parti tersebut mendapat beberapa kerusi sahaja agar mereka berubah menjadi lebih baik dalam PRU akan datang.
MEMBAZIR UNDI PN, LEPAS PRU BUAT KERAJAAN DENGAN BN
Membazir undi PN, lepas PRU buat kerajaan dengan BN
on:
Pengundi diingatkan agar tidak silap membuat pilihan terlanjur mengundi parti BN atau PN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, kedua dua gabungan berkenaan amat pasti akan bersatu semula sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, dan yang menjadi mangsa ‘kena kencing’ adalah pengundi yang menyokong mereka.
Sebaliknya, kata beliau dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) dan menang lebih 100 kerusi maka jalan terbuka luas untuk membentuk kerajaan bersama gabungan parti di Sarawak, yang lebih baik daripada BN – PN.
“Kita boleh menang 90 kerusi (sekarang), kalau kempen kita jadi lebih baik kita boleh menang 100 kerusi. Kalau menang 100 kerusi ada peluang kita berbincang dengan gabungan yang dapat mandat di Sarawak untuk kita bentuk kerajaan bersama. Tetapi kalau kita dapat seratus kerusi pun maknanya pari lain akan dapat 122 kerusi.
“Saya tahu rancangan Umno, Pas, Bersatu dan GRS. Kalau mereka dapat kerusi sikit saja. Misal BN dapat 60, PN 30, campur Sabah, Sarawak mereka akan tetap cuba bentuk kerajaan sama macam yang ada sekarang.
Sebab itu saya cakap kepada yang Melayu, kamu kata tak nak Umno BN sebab korup. Good job. Tetapi kalau kamu bagi undi kepada Pas dan Bersatu dia sama macam beri undi kepada BN sebab setiap gabungan itu tidak akan dapat kerusi lebih banyak daripada PH
“Akhirnya Umno, Pas, Bersatu dan parti kecil Sabah dan Sarawak bergabung bentuk kerajaan. Pengundi Melayu perlu berfikir rasional. Tukarlah kerajaan yang betul betul bagus dan original,” katanya dalam ceramah Mega Ayuh Malaysia Kita Boleh di Ledang, Johor malam tadi.
Dalam pada itu, Rafizi yakin momentum BN semakin merosot berdasarkan gerak kerja pilihan raya mereka yang lesu setelah masuk pusingan kedua kempen akibat perbalahan berterusan setiap hari.
Katanya, jawab menjawab dalam isu Khairy Jamaluddin (KJ) dicampak ke parlimen Sungai Buloh pun masih berlarutan selepas seminggu penamaan calon.
“Kalau tengok kempen hanya calon PH ada bunting muka calon. Sebab Umno gaduh sama dia. KEADILAN putuskan calon dua minggu sebelum penamaan calon. Sebab kita perlukan 2 minggu untuk cetak bunting.
“Sebab itu kita berjaya letak lebih bahan kempen yang menunjukkan calon. BN gaduh pasal calon. Zahid cakap sama KJ sudah nasib baik sebab KJ minta ke Sungai Buloh, saya hantar di ke sana. KJ jawab saya minta Sungai Buloh sebab kamu tak kasi kerusi lain.
“Hari ini Zahid jawab, saya sudah kasi Sungai Buloh sudahlah. Kamu diam diam saja.
“Saya nak cakap dengan KJ, Zahid, kamu nak kempen dengan rakyat ke sesama sendiri? Ini bukan kempen pemilihan Umno, ini PRU,” katanya.
Mengenai kempen Pas pula, Rafizi minta pengundi Melayu berhati hati dengan racun perkauman yang ditabur oleh parti agama itu.
Katanya, PH dalam minggu terakhir kempen perlu tumpu menyerang PN kerana matlamat kempen mereka adalah untuk mengelirukan pemikiran Melayu.
“Kita kena berhati dengan Pas dan Bersatu. Bila kita serang BN, yang lawan korupsi BN adalah PH. Di belakang ada orang Bersatu dan Pas yang bisik kepada orang Melayu, kalau kamu tak suka BN sebab korup tetapi jangan undi PH sebab ada Cina. Undi kita (PN) sebab Islam. Itu dimainkan Pas dan Bersatu di mana mana
“Kepada pengundi Melayu, (ada penceramah) Pas cakap kalau orang Melayu undi PH atau BN nanti masuk neraka.
“(Hal ini) orang Umno pun pening kepala (juga orang Pas). Sebab sudah cakap kalau undi Umno BN masuk neraka, jadi ada masalah besar bagi orang Pas di Sabah. Di Sabah Pas tidak bertanding dan Pas Sabah keluar arahan pengundi Pas undi Bersatu dan Umno,” katanya lagi.