DSAI DAHULUI CALON PM.

 NEUTRAL



Baru sebentar tadi, TV3 bagi dapatan data pilihanraya. Mengenai Parti dan pilihan pengundi Malaysia. Ia nobatkan DS Ismail Sabri dan Barisan Nasional paling popular. 


Saya juga ingat dulu ketika PRU14, kebanyakan dapatan penganalisa politik jangkakan BN akan menang besar juga. Tapi Kerajaan tumbang masa PRU. 


Tu sebab kalau kita nak tahu info, kena tengok macam2 sumber. Ini saya dapat Laporan dapatan daripada gabungan 5 media yang saya kira neutral: Astro Awani, Sinar, The Star, Sin Chew Daily dan juga Malaysia Nanban. 


Mereka nobatkan Pakatan Harapan mendahului dengan PM Pilihan DSAI. Setakat bulan Oktober. 


Satu saja saya nak nasihatkan, tujuan kita mengundi bukan saja kita nak Kerajaan yang baik, tapi Pembangkang yang kuat. 


Janganlah undi hanya kerana nak calon kita itu partinya menang pilihanraya. Kita nak geng yang menang saja. Bukan itu caranya. 


Kita nak juga mereka bawa suara kita dalam Parlimen. Buat semak dan imbang sepatutnya. 


Tu sebab saya selalu cakap, letak kualiti calon nombor satu. Kalau dia menang dia akan jadi Ahli MP Kerajaan yang baik. Kalau partinya kalah, tidak mengapa. Kita tahu dia Ahli Pembangkang yang ada kualiti SAFT, boleh bawa suara rakyat dan masyarakat setempat. 


Banyak lagi Laporan dapatan macam ni yang akan keluar nanti. Jangan terbuai siapa menang siapa kalah. Yang penting pengundi atas pagar kekalkan pendirian mereka. 


Keluar mengundi untuk negara. Deny the greater evil 2/3 majoriti. Dengan berpandukan strategi ini: 


1. ABU

2. Calon SAFT

3. Lesser evil 


Moga niat kita betulkan negara diterima. Kalah dan menang, Allah saja yang tentukan. But we must put up a good fight dan jangan give up hingga garisan penamat. 


Salam hormat,

Liyana Marzuki


PRU-15: Annuar Musa tidak dicalonkan di Ketereh?Kesian ke dia...kaya dah...

 PRU-15: Annuar Musa tidak dicalonkan di Ketereh?


Kota Bharu: Berbaki lima hari sebelum penamaan calon, Umno Ketereh dikejutkan dengan khabar angin yang mengatakan penyandang Parlimen berkenaan, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Ramai beranggapan sekiranya perkara itu benar, ia ada kaitan dengan kelantangan Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengkritik kepimpinan Umno sebelum ini.


Sumber Umno Ketereh memaklumkan, sejak pagi tadi maklumat mula tular mengatakan Ketua Bahagian Umno Ketereh itu tidak dicalonkan pada PRU-15.


"Apa yang pasti Umno Ketereh sebelum ini hanya mencalonkan satu nama saja sebagai calon Parlimen Ketereh iaitu Annuar Musa, bukannya lima nama sebagaimana yang dibuat oleh bahagian lain.


"Malah, tiada rundingan semula daripada pucuk pimpinan tertinggi berhubung nama yang dihantar oleh Umno Ketereh sekiranya benar nama yang dicalonkan pihak kami tidak diterima. Saya yakin Tan Sri Annuar akan dicalonkan di Ketereh," katanya ketika dihubungi.


Pada PRU-14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari Pas dan Datuk Dr Radzi Jidin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Annuar sebelum ini menegaskan tidak akan bertanding di tempat lain selain Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon PRU ini.


Beliau berkata, pendirian itu sudah menjadi prinsipnya sejak dulu lagi dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.


Media sebelum ini melaporkan, Umno akan memastikan calon yang dipilih pada PRU-15 adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak 'besar kepala' serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan.


Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Top 5 Umno bakal memilih calon yang tidak bersuara sumbang terhadap kepemimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi kuat tanpa mengira tempat bertanding.


Kredit : Harian Metro



DARI RAFIZI RAMLI

 

Anda belajar susah payah, mak ayah keluar belanja, tanggung hutang pendidikan, bila keluar nak dapat kerja yang gaji RM2,500 pun susah.


Masa saya kecik-kecik dahulu, saya juga datang dari keluarga susah. Saya belajar bersungguh-sungguh hingga dapat keputusan baik dan ke luar negara sebab saya tahu masa depan saya dan keluarga akan terjamin dengan ijazah yang baik.


Saya ni memang kaki bimbang – bimbang tengok hutang negara, bimbang tengok prestasi ekonomi, bimbang pasal rasuah.


Tapi yang saya paling bimbang dan kesian ialah nasib anak-anak muda bawah 30 tahun yang bergelumang dengan krisis gaji rendah yang tidak sepadan dengan kelulusan mereka.


Ada jurutera atau arkitek yang gaji mereka bawah RM2,000 selepas ijazah. Banyak yang kerja kontrak.


Akhirnya, ramai yang terpaksa berniaga kecil-kecilan atau menjadi rider dengan Grab, FoodPanda dan lain-lain.


Jika ini berterusan, kita akan ada satu generasi yang tidak lagi yakin pendidikan boleh memberi kehidupan yang lebih baik. Bila tiba masa anak-anak mereka, generasi ini mungkin merasakan pelaburan dalam pendidikan tidak berbaloi.


Kita berdepan dengan generasi akan datang yang semakin tidak yakin dengan pendidikan.


Sebab itu krisis gaji rendah ini memerlukan penyelesaian di luar kotak. Negara tidak lagi boleh membiarkan majikan dan pekerja semata-mata merundingkan dan menetapkan gaji mengikut kehendak pasaran kerana sampai bila-bila ia tidak akan naik dengan kadar yang cepat.


Soal gaji berkait rapat dengan struktur ekonomi negara, iaitu tahap nilai tambah yang dihasilkan ekonomi. Lebih tinggi nilai tambah, kepakaran yang diperlukan juga lebih tinggi, maka pekerja juga mendapat gaji yang lebih tinggi bersesuaian dengan kepakaran.


Tanggungjawab menganjakkan struktur ekonomi negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi adalah tanggungjawab kerajaan.


Kita bayar menteri-menteri untuk melaksanakan ini tetapi mereka gagal.


Sebab itu, bagi saya, kerajaan baru selepas PRU15 mesti meletakkan penyelesaian krisis gaji sebagai keutamaan tertinggi dan campur tangan dalam penetapan gaji purata, bukan sahaja gaji minima, seperti berikut:


1) Kerajaan menetapkan sasaran gaji purata yang perlu dijadikan dasar utama ekonomi negara


2) Kerajaan bersetuju menyuntik dana untuk memastikan pertumbuhan gaji tahunan mengikut sasaran 10 tahun yang ditetapkan


3) Insentif kewangan dan percukaian kepada majikan distrukturkan supaya berkait dengan sasaran gaji purata nasional


4) Kenaikan gaji tahunan berpandu kepada nilai tambah ekonomi untuk mengukuhkan pendapatan majikan, kemudiannya diagihkan kepada pekerja secara lebih adil


Saya mungkin golongan ahli politik yang minoriti yang bercakap mengenai gaji rakyat, tapi saya tahu majoriti rakyat di luar sana setuju dengan saya.


Pilih parti yang mengutamakan gaji anda.


#AyuhMalaysia

#IniUsahaKita

#KitaBoleh

#PartiKeadilanRakyat 

#PakatanHarapan



Apa pembangunan Peja buat di Tambun, setakat 'ayor - ayaq' saja kah?

 

Pemimpin Bersatu seharusnya lebih cerdik dalam menanggapi cabaran pemimpin Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke 15.



Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Muhamad Arafat berkata, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu atau Peja seharusnya menunjukkan apakah pembangunan yang dilakukan di parlimen Tambun kepada rakyat sebelum mempersoalkan pencabarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tidak tahu perbezaan antara perkataan 'ayor dan ayaq'.



"Kita berada di parlimen Tambun, iaitu (kawasan) kepala pengkhianat di Perak. Baru baru ini beliau keluarkan benda viral 'ayor dan ayaq'. Ini sangat memalukan. Apa standard wakil rakyat di sini?



"Kalau kamu pemimpin hebat, terbukti membela rakyat sepatutnya kamu keluarkan report card wakil rakyat kamu selama 4 tahun di Tambun



"Kalau pemimpin hebat harus berikan maklumat apa yang kamu bangunkan di Tambun selama ini. Ini macam lawak, (orang tanya) apa kamu buat di Tambun?, 'ayor - ayaq'. Ini saja dia tahu," katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Perak untuk memperkenalkan Datuk Seri Anwar sebagai calon di Tambun.



Arafat yang juga penyandang ADUN Hulu Kinta itu menegaskan rakyat sangat perlu memilih kerajaan terbaik yang mampu memberikan kepimpinan berkualiti, mengawal rasuah dan perkauman pada PRU kali ini. Bukan kerajaan yang hanya pandai beretorik sehingga harga barang pun gagal dikawal.



"Tiga faktor (pilih kerajaan). Pertama kita perlukan pemimpin yang berkebolehan mentadbir negara. Kedua kita perlukan kerajaan yang boleh mengawal rasuah. Kita juga perlukan kerajaan yang boleh kawal perkauman



"Ini mereka tubuh pasukan jihad tangani inflasi. Sebelum tubuh inflasi 2.8%. Selepas tubuh inflasi naik 6.7%. Inilah kehebatan mereka tadbir negara. Kita banding dengan pemimpin kita, Anwar Ibrahim dia telah terbukti diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik.



"Saya dalam sidang DUN Perak, tanya apa yang Kerajaan Negeri buat untuk kawal harga barang. Bila saya tanya Exco lari, tanya Exco lari, tak reti jawab. Akhirnya apa saya buat? Ketika itu harga telur naik, ayam naik. Saya bawa ayam dalam DUN bagi hadiah kepada Exco," katanya.



Beliau sebaliknya menyeru rakyat Malaysia agar memastikan Anwar diangkat sebagai PM ke 10 kerana beliau satu satunya pemimpin yang boleh memastikan tidak berlaku rasisme dalam negara.



"Apa berlaku di Malaysia, soal rasis ini adalah untuk kepentingan politik Umno BN. Umno kata anak Melayu saja anak aku. MCA kata anak Cina saja anak aku. MIC kata anak India saja anak aku




"Tetapi Datuk Seri Anwar kata anak Melayu anak aku, anak Cina anak aku, anak India anak aku.



"Inilah kekuatan kita untuk membangun dari sudut ekonomi dan pastikan rakyat dijaga, rasuah di kawal. Tanggungawab rakyat Tambun (dalam PRU 15) bukan memilih Ahli Parlimen Tambun saja tetapi memilih orang yang hebat untuk mentadbir negara kita," katanya lagi.

 

'Apa penduduk Tambun dapat: Tengok rekod saya di Port Dickson, Permatang Pauh' - Anwar




 

Penghijrahan Presiden KEADILAN ke kerusi parlimen Tambun bukan semata mata satu strategi politik untuk menawan Perak atau batu loncatan menjadi Perdana Menteri kemudian berakhir di situ.



Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya pengundi Tambun dihadapkan tohmahan seperti itu maka mereka boleh menyemak rekod perkhidmatan beliau di Port Dickson dan Permatang Pauh untuk menilai apakah perbezaan antara calon Pakatan Harapan, BN atau PN.



"Sekarang Tambun. Nak ayaq ke ayor? Saya anak Pulau Pinang, betul. Kemudian 7 tahun di Kuala Kangsar (Kolej Melayu), kemudian 2 tahun tahanan ISA di Kamunting kes tolong petani miskin di Kedah.



"Itu yang kita mahu pemimpin yang wakili seluruh rakyat. Tetapi Tambun dapat apa? Saudara kena tengok rekod di Port Dickson dan Permatang Pauh.



"Kena tengok bantuan rakyat, tandas sekolah seluruh Port Dickson kita repair. Sekolah kebangsaan, sekolah Tamil, semua kita bantu.



"Dua minggu sekali pasukan peguam bagi nasihat percuma, ada orang miskin ada masalah cerai, gaduh ada duit, lawyer datang. Dua bulan sekali ada rombongan pasukan perubatan percuma di Port Dickson. Menang 20 November ini bagi sebulan, kemudian kita mulakan program ini di Tambun yang belum pernah dilakukan di sini.



"Tambun ini saya tengok luar biasa potensi dan cantiknya jika majukan pusat pelancongan di Tambun. Bagi saya peluang, saya akan buat Tambun menjadi pusat pelancongan utama," katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Perak di Tambun malam tadi.



Menurut Anwar, beliau bukan sahaja seperti yang disebut banyak pihak terkenal di peringkat antarabangsa tetapi tetap mengutamakan rakyat kawasan parlimen sendiri kerana mereka itulah yang melantiknya sebagai Ahli Parlimen.



Manakala kata beliau, pengaruh di peringkat antarabangsa pula boleh digunakan untuk memajukan ekonomi Malaysia.



"Saya bukan Menteri, saya Ahli Parlimen Port Dickson tetapi kalau perli Indonesia dapat undangan pergi jumpa Jokowi, di Singapura jumpa Hsien Loong. Saya pergi cuti dekat Filipina, Dutarte masa itu presiden dia minta datang jumpa.



"Saya pergi India, PM Narendra Modi hantar 6 menteri. Menteri Luar, Menteri Ekonomi, saya pun serba salah. Dunia boleh bagi pengiktirafan, kita ada peluang. Pergi China masa itu tak mahu hebahan, sensitif. Mahathir belum lawat China. Tetapi dapat telefon Menteri Luar Wang Yi minta saya jumpa. Jadi ini akan beri manfaat kepada rakyat Malaysia (sekiranya terpilih sebagai PM)," katanya.



Mantan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, cukuplah rakyat sejak berdekad lalu masuk pilihan raya cerita isu barang mahal, pelaburan tidak masuk atau kadar kemiskinan tinggi.



Kali ini, katanya perlu ubah semua masalah itu dengan mengambil kepimpinan baharu yang lebih berwibawa dan bersih.



"Pilihan raya ini peluang kita tentukan masa depan kita. Sampai bila kita bersyarah pilihan raya dok gaduh pasal harga barang tak selesai, ekonomi tak bangkit, pelabur tak datang, sampai bila?



"Selagi kita tak ambil tindakan untuk ubah, keadaan ini kekal. Sampai bila kita nak gaduh. Ada orang kata ini sebab Melayu pimpin, sebab Cina DAP, jadi komunis dan sebagainya.



"Ini bukan fakta. Apa sebab kita mundur? Apa sebab kerajaan tak dapat tarik pelabur asing, apa sebab barang naik? Mengapa masa depan anak muda kita tidak cerah, mengapa kemudahan kesihatan kita tidak baik?



"Kalau kita tengok semua ini kerana pimpinan negara kita. PM dan kabinet kita lembab dan tidak layak memimpin negara ini.



"Untuk selesai bukan masalah isu pendidikan, kesihatan sahaja. Kena selesai isu pimpinan dahulu. Ini mengenai tadbir urus. Masalah bukan Melayu, Cina, India tetapi pemimpin yang tidak berwibawa BN - PN dalam negara ini," katanya.



Oleh itu tegas Anwar, kalau masih ada pihak yang kata kerajaan 22 bulan dahulu rakyat tidak dapat apa, maka boleh lihat harga ayam, bekalan telur, tindakan anti korupsi, semua dilakukan sewaktu 22 bulan.



"Harga ayam dan telur masa PH perintah rendah atau tidak? Maknanya kita boleh buat. Badan kehakiman mula bebas. Kalau tidak PH menang, orang tahu atau tidak berlian dan wang tunai di rumah Najib? tak tahu. Itu permulaan. Bagi peluang kepada saya untuk sambung dan tentukan negara ini diselamatkan untuk rakyat.



"Untuk itu kita mesti kerja keras. Kalau tak sanggup berjalan sikit lagi sampaikan kepada kawan yang kerja di Kuala Lumpur atau Singapura kita nak menang, no way. Sebab kita lawan gergasi kaya.



"Dari mana mereka dapat duit ratus juta? Dari rasuah. Orang Tambun, Manjoi ke Ulu Kinta curi basikal, kena dakwa masuk jel. Kamu curi ratus juta dapat Tan Sri. Apa punya sistem?



"Beri kami mandat, inshaAllah kami akan hentikan semua hal mengarut dalam negara ini," kata Anwar lagi.

 

18% BOLEH- SIKIT LAGI SAHAJA BILA KORUP DIBANTERAS DAN PENYAMUN MASUK DALAM

 

Tiada tol di Lebuh Raya Utara Selatan jika PH jadi kerajaan, janji Guan Eng




Sebelum PRU 2018 Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata tol di Lebuh Raya Utara-Selatan akan dimansuhkan secara ‘berperingkat’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuhkan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.

Pada majlis makan malam kempen sebelum PRU15 di Jelapang, Perak, semalam, Lim berkata, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18% semasa ia memerintah selama 22 bulan.

Menurut China Press, bekas menteri kewangan itu berkata, PH “boleh memansuhkan tol” di lebuh raya jika ia mendapat masa lima tahun lagi menjadi kerajaan.

Lim sebelum ini dipetik berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan bersejarah PH pada 9 Mei 2018. Bagaimanapun, kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah.

Pemansuhan tol di lebuh raya adalah antara janji gabungan itu untuk PRU 2018, dengan PH berkata, ia akan dilakukan “secara berperingkat”.

Pada 2020, kerajaan PH ketika itu melaksanakan pengurangan tol sebanyak 18% di lebuh raya itu, menyatakan ia selaras dengan manifestonya.

Lim turut menyebut pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini, seperti kegawatan ekonomi dan skandal kapal tempur pesisir (LCS). Malaysia memerlukan kerajaan yang mampu menguruskan isu-isu ini, katanya.

Beliau menggesa pengundi menyokong PH supaya ia boleh membentuk kerajaan dan pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

WRAP UP- “ASAL BUKAN UMNO”


*Posting panjang. Tarik nafas dan mohon baca dengan fikiran terbuka*

1. Sepanjang hujung minggu lepas, saya upkan posting pandangan saya mengenai setiap parti gabungan Pembangkang. Saya highlightkan kelemahan dan kebaikan mereka. Their strengths dan their flaws.

2. Posting2 itu bukan untuk penyokong tegar parti. Posting tersebut ialah untuk 51% pengundi Malaysia yang bukan ahli dan penyokong parti politik. Senang cerita pengundi atas pagar. Mereka golongan terbesar.

3. Setiap kali saya berbicara tentang satu2 parti, saya dapat backlash daripada penyokong mereka. Dicaci dan dikeji. Ada juga yang kata saya dibeli. Astaga. Itu fitnah yang besar sekali.

4. Tapi ada juga orang sama parti, text saya dan ucapkan terima kasih. Kerana benda ni mereka tak boleh nak cakap. Dan mereka harap pemimpin mereka dapat buck up. Perbaiki keadaan sebelum terlambat.

5. Tujuan saya menulis dan komen sebegitu, saya nak tunjukkan:

i. Tiada parti yang sempurna, tiada pemimpin yang maksum. Makanya, kalau boleh elakkan taksub dan totok. Kita sokong mana baik, bantah mana salah. Ini mesej untuk pengundi muda.

ii. Demokrasi yang paling baik, bilamana majoriti pengundi dapat maklumat yang menyeluruh. They made informed decision on facts and knowledge of real politics. Perlu kaji baik dan buruk setiap pemimpin dan parti lalu pilih yang terbaik. Bukan kerana nak menangkan parti semata2. Undi kita untuk kebaikan negara.

iii. Saya sudah tunjukkan saya tahu banyak perkara baik dan buruk semua parti utama Pembangkang, tapi saya tetap rasakan mereka tetap the LESSER EVIL/ mudarat kecil kepada negara.

6. Apa saja flaws yang mereka ada, adalah sangat kecil berbanding “the mother of all evil: CORRUPTION”. Ini kanser paling cepat yang akan memusnahkan negara.

7. Ini yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun, 600 tahun lepas, dalam bukunya Muqaddimah. Jadi rujukan ramai pemimpin di dunia. Beliau katakan hedonism (cinta kebendaan), rasuah dan salahgunakuasa akan meranapkan empayar. Ini terbukti dalam sejarah sekian lama. Negara tidak meranap kerana retorik bangsa dan agama.

8. Venezuela, antara negara paling kaya rizab minyak pada tahun 90an, hancur dan lebur ekonominya dalam masa 30 tahun. Cepat sekali. Kerana korupnya pemimpin mereka. Generasi dulu tak melawan dan tak buat apa, generasi sekarang merasa bahananya.

9. Sri Lanka, 50 tahun permainkan politik kaum dan agama. Namun yang membinasakan negara, adalah parti korup juga. Bila negara porak peranda, pemimpin mereka lari ke Singapura. Bawa wang berjuta. Rakyat yang tanggung akibatnya.

10. Oleh itu, saya sedar dan tahu, apa pun kelemahan pihak pembangkang taklah sebesar mudarat mengundi Parti yang teruk terpalit dengan rasuah dan salahgunakuasa. Memandangkan mereka masih tak berubah, mereka perlulah disekat dari kuasai Malaysia. The very least, undi kita untuk elak mereka menang 2/3.

11. Truth be told, saya penyokong dan pengundi UMNO sejak PRU11. Saya tukar pada PRU14 kerana saya tahu kalau saya biarkan mereka berkuasa, negara akan sengsara.

12. PRU15, saya akan tetap mengundi the lesser evil iaitu Blok Pembangkang. Kerana saya percaya BN masih tidak berubah dan lubuk segala rasuah. Ini kerana:

I. Banyaknya pemimpin mereka terlibat dalam kes rasuah. Ada yang dah jatuh hukum, ada yang dah prima facie. Banyak lagi yang masih berjalan.

II. Presiden nya awal2 lagi sudah cakap, mereka nak PRU kerana kes2 ini. Kalau dapat jadi Kerajaan, mereka nak AG sendiri. Ini sudah nampak mereka nak cuci kes. Nescaya Merpati dan Rosmah Mansor akan kembali. Macam tiada apa2 terjadi.

III. Ketua Pemudanya sendiri cakap “Kalau tiada rasuah, dunia ni kiamat”. Seolah2 budaya rasuah itu diterima. Tiada usaha untuk membenamkannya.

IV. Parti komponen BN, MIC juga terpalit dengan skandal rasuah PENJANA bernilai RM100 juta, maknanya rasuah ini bukan dalam UMNO sahaja.

13. Saya dengan ini menyeru, semua pengundi atas pagar yang masih ragu2 nak mengundi, keluarlah mengundi. Defeat the greater evil. Jangan buat untuk parti, buat untuk negara.

14. Kena ingat, no vote from us is one vote to them. Tu yang mereka nakkan. #PRUBanjir ini kita kena redah dan tunjukkan kuasa kita besar2an.

15. Mulai saat ini, saya akan terus menulis mengenai pemimpin SAFT. Untuk pertimbangan pengundi atas pagar.

16. ASAL BUKAN UMNO pilihan kita untuk PRU ini. Kalau mereka tambah baik dan jadi lesser evil kembali, kita boleh undi lain kali.

Salam hormat,

Liyana Marzuki

 

TAK MUNASABAH MAHIADDIN LEBIH DISUKAI DAN POPULAR BERBANDING ISMAIL SABRI

 

Berdasarkan dapatan atau tinjauan terbaru oleh Merdeka Center, sebagaimana dilaporkan media semalam, Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin didapati merupakan pemimpin politik paling popular dan disukai sekali.

Beliau dilaporkan mendapat 51 peratus undian daripada keseluruhan responden yang ditinjau pendapat mereka.

Populariti Mahiaddin dengan itu digambarkan mengatasi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mendapat undian 46 peratus, diikuti Anwar Ibrahim 33 peratus, Mohamad Hasan 32 peratus dan Ahmad Zahid Hamidi sekadar 13 peratus.

Selain menggambarkan kedudukan Mahiaddin sebagai paling disukai dan paling berpotensi untuk kembali sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, dapatan Merdeka Center juga mencadangkan Ismail Sabri harus dikekalkan sebagai calon Perdana Menteri bagi BN.

“Adalah suatu langkah strategik yang baik untuk terus mengekalkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri memandangkan popularitinya lebih tinggi berbanding Zahid Hamidi,” tambah laporan itu lagi.

Menggambarkan Ismail Sabri lebih popular daripada Zahid Hamidi barangkali tidaklah begitu menghairankan kerana beliau memang telah disahkan sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri bagi BN selepas PRU15 nanti.

Tetapi, meletakkan Mahiaddin lebih disukai berbanding Ismail Sabri mungkin membuatkan ramai yang tersengih sinis mendengarnya.

Sebagai pemimpin yang gagal ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama 17 bulan, kemudian gagal lagi selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, tidak munasabah langsung kedudukannya boleh terangkat sebagai paling disukai dan paling popular sekali.

Ketika Mahiaddin melabel Ismail Sabri sebagai gagal dan Ismail Sabri membalas dengan mengatakan jika beliau gagal bererti Mahiaddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara juga gagal.

Ini kerana, menurut beliau, Mahiaddin dan Majlis Pemulihan Negara adalah sebahagian daripada kerajaan yang dipimpinnya.

Bererti dalam hal ini, Mahiaddin dua kali gagal – pertama sebagai Perdana Menteri dan kedua, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Lebih daripada itu, tindakan Mahiaddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana hilang sokongan juga menunjukkan beliau sendiri mengakui dirinya adalah pemimpin yang gagal.

Lalu, bagaimana pemimpin yang gagal boleh bertukar menjadi paling disukai?

Begitu juga dengan dapatan yang meletakkan Mahiaddin jauh meninggalkan Anwar dari segi populariti dan disukai, turut menunjukkan tidak ia tidak munasabah sama sekali.

Di pelbagai medium media sosial dan ke mana saja Anwar pergi dalam program bertemu rakyat, dibuktikan dengan gambar dan video bagaimana sambutan hangat yang diterimanya.

Dengan itu, bagaimana Anwar boleh digambarkan jauh lebih tidak popular berbanding Mahiaddin?

Ehhh….Merdeka Center dipunyai oleh siapa dan di belakang tabirnya pula ada siapa? – ShahbudinHusin 31/10/2022.

 

BYE..BYE ZURAIDA - MASA DEPAN ZURAIDA DIKIRA SUDAH DIKEBUMI SEBELUM KUBURNYA DIGALI

 

Nasib dan masa depan politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin setelah keluar daripada Bersatu dan sebelum itu bangga bertindak khianat kepada PKR, nampaknya terus jadi tidak menentu.

Parti Bangsa Malaysia atau PBM yang mahu dijadikan landasan perjuangan barunya dilihat tidak menjanjikan laluan cerah buat masa depannya.

Zuraida yang sebelum ini cuba diangkat menjadi Presiden PBM bukan saja berbalah dengan Larry Sng yang mendakwa dirinya juga sebagai Presiden PBM, malah dua hari lalu turut digantung keahliannya daripada parti itu bersama 12 pimpinan parti yang lain.

Larry Sng mendakwa, tindakan penggantungan itu diambilnya kerana pembabitan mereka terbabit secara berterusan menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Selepas tindakan penggantungan itu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS pula mengesahkan Larry Sng masih merupakan Presiden PBM yang sah.

Kata RoS, pertikaian yang berlaku dalam PBM adalah masalah dalaman parti itu dan ia tidak membabitkan mereka sebagai sebuah agensi kerajaan.

Bermakna dalam hal ini dan setakat ini, bukan saja Larry Sng diakui sebagai peneraju PBM yang sah, bahkan tindakannya menggantung keahlian Zuraida bersama 12 pemimpin lain juga adalah sah.

Dalam keadaan tersebut, memandangkan hari penamaan calon hanya tinggal beberapa hari saja lagi, persoalan paling besar kini ialah Zuraida mahu bertanding atas tiket apa bagi mempertahankan kerusi Parlimen Ampang pada PRU15 ini?

Sudahlah permohonan PBM untuk menyertai BN telah ditolak, kini dengan penggantungannya itu, Zuraida seolah-olah hilang sama sekali tempat bergantung untuk mengharungi masa depan politiknya.

Mujur juga kedudukan menterinya masih dikekalkan oleh Ismail Sabri Yaakob, meski telah keluar daripada Bersatu dan diasak berkali-kali oleh Mahiaddin Md Yasin agar segera diganti.

Jika tidak, pasti lagi malang nasib yang menimpanya.

Mahu tidak mahu, menjelang hari penamaan calon pada 5 November ini, Zuraida harus mencari jalan sehabis baik bagi menyelesaikan pertelingkahannya dengan Larry Sng berkaitan kepimpinan PBM itu.

Gagal berbuat demikian atau jika Larry Sng enggan berdamai dengannya serta akhirnya terpaksa bertanding atas tiket Bebas di Ampang dan bersendirian tanpa sebarang pakatan dengan mana-mana gabungan, harapannya untuk menang boleh dikira sudah melayang bak debu-debu berterbangan.

Masa depan politik beliau dengan itu tak ubah seperti sudah dikebumi sebelum pun kuburnya digali dan tanpa perlu menunggu tarikh pengundian pada 19 November nanti.

Adakah semua ini balasan Tuhan atas pengkhianatannya selama ini?

Dalam satu rakaman video selepas bertindak khianat kepada PKR dan seolah-olah berjaya menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020 dahulu, Zuraida pernah dengan bangga menyanyi sambil mengungkapkan kata-kata “bye-bye Anwar”.

Dengan nasib yang menimpanya sekarang, siapa lebih dulu bye-bye? – ShahbudinHusin 31/10/2022.